email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Tuesday, July 31, 2007

Wanita hamil kerana zina berkahwin

Di dalam matan kitab Al Muhazzab Imam Al-Syirazi mengatakan :


ويجوز نكاح الحامل من الزنا لان حملها لا يلحق بأحد فكان وجوده كعدمه


Boleh menikahi wanita yang hamil di sebabkan zina kerana kehamilannya itu tidak di sandarkan (nasab) kepada sesiapa.Maka adanya (kehamilan itu ) seperti tiada.
Manakala di dalam furu' (pecahan) masalah di dalam kitab Al Majmuk syarah kitab Al- Muhazzab ada menyebut:


اذا زنت المرأة لم يجب عليها العدة ،سواء كانت حائلا أو حاملا ، فان كانت حائلا جاز للزانى ولغيره عقد نكاح عليها وان حملت من الزنا فيكره نكاحها قبل وضع الحمل،وهو أحد الروايتين عن أبى حنيفة رضى الله عنه وذهب ربيعة ومالك والثورى وأحمد واسحاق رضى الله عنهم الى أن الزانية يلزمها العدةكالموطوءة بشبهة فان كانت حائلا اعتدت ثلاثة أقراء،وان كانت حاملا اعتدت بوضع الحمل ولا يصح نكاحها قبل وضع الحمل


Apabila seseorang wanita berzina maka tidak diwajibkan ke atasnya iddah, sama ada (kesan perzinaanya itu menyebabkan) dia tidak hamil atau hamil.Sekiranya dia tidak hamil maka bolehlah bagi lelaki yang berzina dengannya atau lelaki lain berakad nikah dengannya.(Manakala ) sekiranya wanita tersebut hamil hasil dari perbuatan zina maka makruh bernikah dengannya sebelum perempuan tersebut bersalin.Dan ini merupakan salah satu riwayat dari Abi Hanifah r.a (dan merupakan pendapat mazhab Syafie)

Manakala Rabieah, Imam Malik, Imam Al- Thauri,dan Imam Ahmad serta Imam Ishak semoga Allah meredhai mereka berpendapat : Sesungguhnya wanita yang berzina itu perlu manjalani Iddah sebagaimana digauli secara syubhah (wati syubhah). Sekiranya wanita yang berzina itu tidak hamil maka iddahnya adalah tiga kali suci,Dan sekiranya wanita yang berzina itu hamil maka iddahnya adalah selepas bersalin dan tidak sah nikahnya sebelum bersalin.(rujuk kitab Al-Majmuk syarah Al-Muhazzab jilid 17 ms 348)


Dr.Wahbah Az-Zuhaili mengatakan di dalam Kitab Feqh Al-Islami Wa Adillatuhu jilid ke 9 ms 6648 :

Dibolehkan secara ittifak (sepakat ulama) bahawa boleh bagi penzina mengahwini dengan wanita yang dizinanya.Maka sekiranya lahirnya anak selepas cukup tempoh enam bulan daripada waktu akad nikah dengan wanita tersebut ,maka sabit (nasab) anak tersebut daripadanya, sekiranya anak itu lahir kurang dari tempoh enam bulan daripada waktu akad (maka) tidak dinasabkan kepadanya kecuali dia mengaku bahawa anak itu adalah daripadanya (hasil daripada nikah yang sah) dan dia tidak secara terang mengatakan anak tersebut daripada zina.Pengakuan sabit anak kepadanya kerana ihtimal (pertimbangan) akad sebelumnya atau kerana dukhul (jimak) dengan syubhah.


[edit 9/9/1429 Rumusan kalam Dr Wahbah Az-Zuhaili di atas :

-Pezina boleh mengahwini wanita yang dizinanya.


-Sekiranya anak hasil zina itu lahir selepas cukup tempoh 6 bulan daripada waktu akad nikah maka sabit nasab anak tersebut kepada lelaki. (pensabitan kepada lelaki tersebut boleh terlepas daripada hukum dunia walaupun pada hakikatnya anak tersebut perlu dinasabkan kepada ibunya)


-Sekiranya anak zina itu lahir kurang daripada tempoh 6 bulan daripada waktu akad maka tidak boleh dinasabkan kepada lelaki (anak hendaklah dinasabkan kepada ibunya). Kecuali dia mengaku bahawa anak itu adalah benar-benar daripadanya (hasil daripada nikah yang sah) dan dia tidak secara terang mengatakan anak tersebut daripada zina.[jika secara terang anak daripada zina maka jelas akan dinasabkan kepada ibunya namum jika tidak dia boleh terlepas daripada hukum dunia]

Tambahan edit 9/9/1429 Persoalan nasab anak zina yang terkeluar daripada tajuk “wanita hamil kerana zina berkahwin” memandangkan banyak persoalan nasab ini ditanyakan.


Sebab sabit nasab anak kepada ibunya adalah wiladah (bersalin) sama ada secara syarie atau tidak syarie.Manakala sebab sabit nasab kepada bapa [ruj Fiqh Islami 7256 jilid 10]:

1) 1) Nikah Soheh

2) 2) Nikah Fasid

3) 3) Watie Syubhah


Bermakna semua anak akan dinasabkan kepada ibu kemudian akan sabit kepada bapa dengan sebab nikah soheh, nikah fasid atau watie syubhah.


Anak zina akan dinasabkan kepada ibunya kerana tiada akad nikah yang soheh, bukan nikah fasid mahupun watie syubhah.


Masalah [rumusan masalah nasab oleh scene-r] :

Secara umumnya anak zina akan dinasabkan kepada ibunya sama ada wanita itu berkahwin dengan orang yang berzina dengannya atau dengan lelaki lain. Di bawah permasalahan nasab anak zina yang lahir sebelum dan selepas 6 bulan.

1) Sekiranya anak itu lahir selepas 6 bulan daripada tempoh akad perkahwinan.

a) Suami mengaku bahawa anak tersebut adalah daripada zina maka anak tersebut akan dinasabkan kepada ibunya.

b) Suami mengaku dengan cara menipu bahawa anak tersebut adalah hasil daripada nikah yang soheh maka lelaki tersebut boleh terlepas daripada undang-undang dunia,iaitu dakwaannya boleh diterima. .(dia boleh menang dengan penipuan di dalam dakwaan).[pada hakikatnya anak tersebut perlulah dinasabkan kepada ibunya]

Apabila sudah nasab kepada lelaki maka segala hukum berkaitan dengan nasab akan mengikuti lelaki

2) Sekiranya anak itu lahir kurang 6 bulan daripada tempoh akad perkahwinan.

a) Anak itu akan dinasabkan kepada ibunya.

Sekian itu sahaja,

Wallahu A'lam

No comments: