email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Wednesday, July 25, 2007

Nikah Kontrak

Nikah menurut syarak adalah sesuatu akad perjanjian yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan.(ruj Kitab Umdah As-Salik Wa Uddatu An-Nasik oleh Ibn Naqib bab nikah)

Kontrak adalah perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih.(Kamus Dewan)

Di antara syarat sah pernikahan ialah

Bentuk ijab dan qabul pernikahan hendaklah dibuat secara muabbadah (selamanya) dan bukanlah dalam bentuk muaqqatah (bertempoh).Sekiranya pernikahan itu (dibuat dengan syarat) bertempoh maka batallah pernikahan tersebut.(ruj Kitab Feqh Islami Wa Adillatuhu Dr Wahbah Az Zuhaili jilid.9 ms 6551)

Para ulama telah bersepakat bahawa sesuatu pernikahan yang dibuat dengan syarat bertempoh itu adalah tidak sah.Tidak kira sama ada pernikahan yang dibuat dengan syarat tempoh yang diketahui seperti lafaz"aku bernikah dengan engkau dalam tempoh setahun"atau syarat tempoh yang tidak diketahui seperti lafaz "aku bernikah dengan engkau sehingga aku selesai belajar atau selesai bekerja",begitu juga sama ada syarat pernikaan itu dibuat dengan syarat tempoh yang sekejap atau lama.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65)


Nikah kontrak termasuk di dalam pernikahan muaqqat (bertempoh):iaitu sesorang lelaki bernikah dengan wanita dalam tempoh sepuluh hari atau sebulan atau setahun.Perkahwinan ini adalah batil kerana ianya termasuk apa yang dikatakan nikah Mut'ah


Nikah mut'ah pula adalah sesuatu persetujuan atau persepakatan antara lelaki dan perempuan untuk tamatta'(berseronok) salah satu daripada kedua-duanya dengan tempoh yang tertentu kemudian ditinggalkan tanpa talaq.Pernikahan mut'ah adalah batil menurut persepakatan jumhur sahabat ,tabien,dan a'immah mazahib selain dari imamiah.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65)


عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن نكاح المتعة يوم خيبروعن لحوم الحمر الأهلية الأنسية

Maksudnya: Dari Saidina Ali bin Abi Thalib r.a bahwa Rasulullah SAW telah melarang nikah mut'ah dengan wanita pada perang Khaibar dan makan himar ahliyah. (HR Imam Al Bukhari ruj.kitab Umdatul Ahkam).

Rasulullah s.a.w bersabda :

يا أيها الناس،إني كنت أذنت لكم في الاستمتاع بالنساء،وإن الله قد حرم ذلك إلى يوم القيامة

Maksudnya : "Wahai manusia, dahulu aku mengizinkan kamuistimta dengan wanita( nikah mut'ah). Ketahuilah bahwa Allah SWT telah mengharamkannya sampai hari kiamat." (HR Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah).

Perbezaan nikah mut'ah dan muaqqat adalah pada lafaz tamatta' bagi nikah mut'ah dan lafaz zawaj (nikah) bagi nikah muaqqat.


Contoh lafaz bagi nikah mut'ah.

تمتعت بكِ يوما بدينار،فقالت قبلت المتعة

Aku bertamatta' (berseronok) dengan kamu untuk satu hari dengan satu dinar maka perempuan itu menjawab :Aku terima mut'ah tersebut.

Contoh lafaz bagi nikah muaqqat atau kontrak.

تزوجتك مدة كذا،كعشرة أيام مثلا على مهر قدره كذا فتقول:قبلت

Aku bernikah (berkahwin) dengan kamu dengan tempoh sekian,seperti sepuluh hari sebagai contoh (dan) dengan kadar mahar sekian.,kemudian perempuan itu menjawab Aku terima.

(ruj.kitab Al Mufassal Fi Al-Ahkam Al-Mar'ah Wa Bait Al-Muslim Dr. Karim Zaidan jilid 6 ms 162)

Bagaimana sekiranya pernikahan itu disyaratkan tempoh umur salah satu daripada suami atau isteri?

Sebagai contoh:Aku bernikah dengan kamu dengan tempoh umur kamu atau, aku bernikah dengan kamu dengan tempoh umurku.Kemudian, perempuan tersebut menjawab :Aku terima

Adakah pernikahan ini batal kerana diiringi dengan tempoh?

Al Imam Khatib As-Syirbini rahimahullah di dalam kitabnya Mughni Al-Muhtaj dan Al-Imam Al-Ramli rahimahullah dalam kitabnya Nihayah Al-Muhtaj.Kedua-dua kitab syarah Minhaj At-Thalibin karangan Imam Nawawi rahimahullah ini menyebutkan bahawa, batal pernikahan sekiranya nikah dengan (syarat) tempoh umur suami atau umur isterinya.

Di dalam mazhab As-syafieah telah mengatakan dengan jelas dalam bab jual beli.Sekiranya seseorang itu mengatakan:Aku menjual barang ini kepada kamu dengan tempoh hayat kamu.Jual beli seperti ini tidak sah.Maka (dalam) pernikahan lebih utama.(kalaulah jual beli dengan tempoh hayat sesorang sahaja batal apatah lagi nikah)

(rujuk Kitab Mughni Al-Muhtaj jilid 4 ms 239 dan Kitab Nihayah Al-Muhtaj jilid 6 ms 215)

Bagaimana sekiranya seseorang lelaki yang bernikah dengan niat akan talak perempuan tersebut tanpa menentukan waktu akan talak perempuan tersebut?

Mungkin beberapa kemungkinan yang boleh kita buat dari persoalan di atas.

-Sekiranya seseorang lelaki berniat akan talak isterinya setelah berkahwin,kemudian disampaikan niatnya kepada bakal isteri tersebut, atau pada walinya lalu dipersetujui. Maka jelaslah disini,perkahwinan tersebut adalah perkahwinan muaqqat (bertempoh) yang tidak diketahui.Ini bermakna perkahwinan tersebut adalah batal.

-Manakala sekiranya lelaki tersebut berniat akan talak isterinya setelah berkahwin tetapi hanya memendamkan niatnya tanpa makluman bakal isteri atau walinya, mungkin perkahwinan yang ingin dilaksanakan itu kerana dendam atau sesuatu kepentingan peribadi maka nikahnya adalah sah tetapi berdosa.

Mazhab Maliki Hanbali dan Syafie mengatakan :sekiranya seseorang lelaki menikahi perempuan tanpa syarat tetapi di dalam hatinya sudah berniat untuk mentalak perempuan tersebut setelah tempoh sebulan (perkahwinan),atau setelah sempurna keinginannya di negara tersebut maka nikah tersebut adalah sah.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65/ Kitab Al Mughni)

Bagaimana nasab anak hasil daripada hubungan perkahwinan kontrak?

Penentuan nikah kontrak sama ada batil atau fasid memberi kesan pada nasab anak.Apa yang saya dapati, kebanyakan ulama mengakatan nikah Muaqqat adalah batil.Justeru itu, untuk kepastian, bagi menjawab persoalan ini, saya telah menghantarkan khidmat pesanan ringkas (sms) kepada Al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki hafizahullah melalui telefon bimbit rakan saya,

Beliau menjawab :Di nasabkan kepada ibunya sebab nikah itu batil, tidak sah,hubungan mereka itu zina.

[scene-r] Kalau begitu apakah contoh nikah fasid sebab saya tidak dapat bezakan nikah fasid dan batil

[Syaikh] Nikah muhallil,nikah kontrak,nikah syagar ni contoh nikah fasid

[scene-r] Mungkin soalan ana yang terakhir.ana musykil.bukankah sabit nasab itu pada nikah soheh,nikah fasid dan watie syubhah.

Nikah kontrak termasuk dalam nikah fasid.Mengapa tidak sabit nasab pada nikah kontrak malah pada ibu sedangkan rosaknya nikah kontrak pada syarat sah nikah bukan pada rukun.Mohon bimbingan dari syaikh.Jazakumullah Khairan

[Syaikh] Fasid fi haqiqatil amri sementara pasangan tidak tahu- seperti dinikahkan oleh wali atau saksi yang fasik sedangkan mereka tidak tahu.

Kalau mereka tahu maka mereka tidak boleh berkumpul -kalau kontrak, mereka tahu dan semua tahu hukumnya batil. (messeges send 25/6/1428)

Wallahu A'lam.

Sebarang teguran dipersilakan.

No comments: