email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 
Showing posts with label feqh. Show all posts
Showing posts with label feqh. Show all posts

Wednesday, May 11, 2011

PUTUS RISIK?


Assalamualaikum.

Soalan dari Chat box scene-r

irna: sye blum btunang ttapi pihak lelaki ingin memutuskan dan menuntut segala yg dihadiahkan sepa njang perkenalan apakah hak saya?? boleh bantu ustaz? - 7 May 11, 20:58

irna: erti kata lain cincin risik dan sbg nya - 7 May 11, 20:58

Sidang pengunjung scene-r yang dirahmati Allah s.w.t. semoga Allah s.w.t memelihara kita dengan limpah rahmat-Nya amin.

Menjadi suatu adat di tempat kita, seseorang yang ingin melamar wanita pilihannya mengadakan majlis merisik sebelum majlis pertunangan. Suatu suasana yang hampir sama dengan majlis pertunangan. Walau bagaimana pun, ada juga yang menggabungkan antara khitbah (Pertunangan) dengan merisik, malah ada juga yang hanya bertunang tanpa merisik. Ada juga yang terus “terjah” untuk mengadakan walimah.

Majlis merisik bertujuan untuk mengenal serta memastikan identiti dan latar belakang keluarga masing-masing. Ia meliputi:

-Adakah wanita yang akan ditunangkan itu isteri orang atau bukan. Begitu juga adakah dia sudah bertunang dengan orang lain atau belum.

-Melihat adakah mereka mempunyai hubungan mahram.

-Mengenal pasti adakah wanita yang akan ditunangkan itu menjalani tempoh iddah atau tidak.

Manakala majlis pertunangan bertujuan untuk menyatakan hasrat untuk menikah.

Cincin disarungkan ke jari wanita sebagai tanda ikatan pertunangan sudah berlangsung.

Persetujuan menjalinkan ikatan pertunangan mengharamkan orang lain untuk “bersaing” di atas tunangan orang lain, melainkan setelah mendapat keizinan daripada tunang wanita tersebut.

Di dalam tempoh ini, mereka boleh saling berkenalan antara satu sama lain dan perlu menjaga batas antara lelaki dan perempuan sebagai ajnabi.

Apa yang terjadi zaman ini, majlis merisik diadakan mirip majlis pertunangan.

Persoalannya, adakah melalui merisik seseorang itu tidak boleh lagi untuk merisik wanita tersebut apatah lagi bertunang dengannya.

Adakah merisik itu bertunang? Bagaimana pula untuk membezakannya?

Menjawab persoalan ini. Saya nukilkan definisi khitbah (khitbah) dari kitab Feqh Islami Wa Adillah- Dr Wahbah Zuhaili katanya:

معنى الخِطْبة: الخطبة: هي إظهار الرغبة في الزواج بامرأة معينة، وإعلام المرأة وليها بذلك. وقد يتم هذا الإعلام مباشرة من الخاطب، أو بواسطة أهله.

فإن وافقت المخطوبة أو أهلها، فقد تمت الخطبة بينهما.

Makna Khitbah (Bertunang): ialah menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan wanita yang ditentukan. dan wali wanita tersebut mengetahui tentang hasrat itu. Dan sempurna pemberitahuan itu secara langsung daripada tunang (lelaki) atau melalui keluarganya. Apabila pihak perempuan atau keluarganya bersetuju, maka sempurnalah pertunangan antara mereka berdua.

Dari sini kita dapati syarat pertunangan itu mestilah menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan wanita yang telah ditentukan itu di bawah pengetahuan dan persetujuan daripada wali wanita tersebut. Pertunangan bermula setelah mendapat persetujuan daripada wanita itu atau keluarganya.

Oleh yang demikian, sekiranya berlaku syarat-syarat di atas dalam majlis merisik maka ia sebenarnya adalah pertunangan dan berlakulah hukum-hukum berkaitan khitbah (pertunangan). Manakala sekiranya di dalam majlis risikan itu hanya semata-mata ingin bertanya adakah “si dia” sudah berpunya lalu memberikan cincin dan sebagainya maka ia belum dikategorikan sebagai bertunang.

Cincin apakah itu?

Dalam adat melayu kini, majlis merisik dan pertunangan biasanya wanita akan disarungkan dengan cincin beserta barang hantaran.

Semasa penyerahan di buat, perlu diperhatikan sama ada cincin dan hantaran yang diberikan itu merupakan

-Hadiah?

-Barang amanah?

- atau pun pendahuluan mahar?

Sekiranya hadiah, perlu disyaratkan terima daripada pihak yang dihadiahkan. Apabila hadiah itu sudah diterima maka pemberi tiada hak lagi di atas barangan tersebut. Perbuatan meminta memulangkan barang yang telah dihadiahkan itu umpama anjing yang menelan muntahnya sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Hadis.

Sekiranya barang tersebut adalah barang amanah ataupun barang hantaran sebagai pendahuluan mahar atau barang belanja untuk perkahwinan, maka hendaklah dipulangkan kepada pemberi atau menggantikan seumpamanya sekiranya rosak. Begitu juga dengan barangan yang berjenis mudah lupus seperti makanan dan pakaian perlulah diganti atau ditaksirkan sebagai ganti rugi.

Di Malaysia, tuntutan ganti rugi juga boleh dibuat dengan memfailkan tuntutan di mahkamah syariah sekiranya salah satu pihak menggagalkan atau memungkiri pertunangan setelah proses persiapan perkahwinan dibuat.

[rujukan: al- Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Kifayatul Akhyar, al-Fatawa Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam- Dr Athiah Saqar- Allah Yarhamuh]

Wallahu A'lam

Friday, October 1, 2010

Gold mug, Silver mug, Crystal mug



Pernah lihat iklan ini? Mungkin anda pemenangnya.

Memang silau mata apabila melihat emas bernilai RM100,000 menjadi habuan pemenang utama Exclusive Nescafe Gold Mug.

Tentunya orang ramai berpusu-pusu, berbondong-bondong memasuki pusat membeli belah untuk menyertai peraduan yang bermula hari ini 1/10/2010 sehingga 31/12/2010.

Jika andalah pemenang hadiah utama itu nanti. Jangan tanya saya soalan cepu emas, apa hukum berkaitan dengannya, sepatutnya soalan itu di tanya sebelum memilikinya bukan setelah memilikinya.

Sebelum anda berangan-angan untuk memiliki Gold Mug itu, ruangkan seminit-dua untuk melihat dan membaca artikel kali ini dengan kaca mata hitam kerana blog ini ber ‘sinar’ (scene-r) lebih daripada sinaran gold mug :-)

Bagi yang tidak berangan untuk memiliki, jadikan ia sebagai pengetahuan dan peringatan.

Baiklah, bagi menghargai masa yang lebih bernilai daripada emas. Kita senaraikan persoalan-persoalan berkaitan cawan emas.

1) Menjadikan cawan emas sebagai perhiasan.

2) Minum menggunakan cawan emas.

3) Menerima cawan emas.

4) Menjual cawan emas

5) Adakah menyimpan cawan emas perlu dizakatkan?

6) Jika kita dihadiahkan cawan emas, apa yang perlu kita lakukan?. Tidak menerimanya? Meleburkan? Menjual?

7) Kalaulah ia diharamkan, bagaimana sekiranya seseorang mencuri cawan emas, adakah dia akan dikenakan hukuman potong tangan?

Saya tidak berhasrat untuk menjawab satu persatu persoalan yang saya lontarkan. Cukup sekadar menukilkan beberapa nas penting untuk menjawab persoalan di atas. Perlu di ingatkan bahawa nas di bawah tidak hanya tertumpu pada cawan. Ia termasuk pinggan mangkuk, sudu, jug, serta alatan perabot yang lain.

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْرَبَ فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَأَنْ نَأْكُلَ فِيهَا وَأَنْ نَلْبَسَ الْحَرِيرَ وَالدِّيبَاجَ وَقَالَ هِيَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ -مسند أحمد

Daripada Huzaifah r.a berkata: Baginda Rasulullah s.a.w melarang kami minum pada bekas yang diperbuat daripada emas dan perak dan melarang makan menggunakannya. Begitu juga melarang memakai sutera dan hamparan sutera. Kemudian bersabda: Ia untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kalian di akhirat.

وعن أم سلمة رضي الله عنها أن النَّبي صلى الله عليه وسلم، قال: "إن الذي يشرب في آنية الفضة إنما يجرجر في بطنه نار جهنم" متفق عليه. وفي رواية لمسلم: "إن الذي يأكل أو يشرب في إناء الذهب والفضة إنما يجرجر في بطنه نار جنهم"

Daripada Ummu Salamah r.a Baginda Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seseorang yang minum menggunakan bekas perak, akan dituang ke dalam perutnya api neraka.-Muttafaq Alaih. Dan pada riwayat Imam Muslim. Sesungguhnya seseorang yang makan atau minum menggunakan bekas emas dan perak, akan dituang ke dalam perutnya api neraka.

Daripada Umum Hadis di atas. Ulama menyimpulkan bahawa haram menggunakan bejana daripada emas dan perak sama ada untuk makanan, minuman mahupun perhiasan rumah ataupun perabot.

قال الشيخ أبو محمد المقدسي رحمه الله تعالى في المغني ويحرم اتخاذ الآنية من الذهب والفضة واستصناعها؛ لأن ما حرم استعماله حرم اتخاذه على هيئة الاستعمال كالطنبور والمزمار ويستوي في ذلك الرجال والنساء لعموم الحديث

Syaikh Abu Muhammad Al Maqdisi Rahimahullah ta’ala berkata di dalam Kitabnya Al-Mughni: Diharamkan mengambil bejana daripada emas dan perak serta membuatnya kerana apa yang diharamkan unutk menggunakannya haram juga untuk mengambilnya sebagaimana bentuk penggunaan gendang (yang digunakan untuk hiburan) dan seruling. (Pengharaman ini) meliputi lelaki dan perempuan dengan pengambilan umum hadis.

Dalam Kaedah Feqhiah menyebutkan

ما حرم استعماله حرم اتخاذه

Apa yang diharamkan untuk menggunakannya haram juga mengambilnya.

Imam Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam Al-Majmuk

قال أصحابنا أواني الذهب والفضة المعدة للاستعمال يجب فيها الزكاة قولا واحدا لانها محرمة- المجموع شرح المهذب

Berkata Ashab Syafie bahawa bekas/bejana yang diperbuat daripada emas dan perak yang dibuat untuk digunakan maka diwajibkan zakat menurut satu pendapat kerana ia diharamkan. – Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab

Imam Nawawi Rahimahullah menaqalkan di dalam matan Al-Minhaj

وَيَحِلُّ اسْتِعْمَالُ كُلِّ إنَاءٍ طَاهِرٍإلَّا ذَهَبًا وَفِضَّةً فَيَحْرُمُ، وَكَذَا اتِّخَاذُهُ فِي الْأَصَحِّ

Di bolehkan untuk menggunakan setiap bekas yang bersih kecuali emas dan perak dan ianya diharamkan. Begitu juga mengambilnya menurut pendapat yang Asoh.

Oleh itu, bekas yang diperbuat daripada bahan bernilai seperti permata, zamrud, Kristal, Fairuz, Lu’lu’,Marjan kesemuanya dibolehkan walaupun harganya lebih mahal daripada emas Berkat Imam Nawawi Rahimahullah lagi dalam Al-Majmuk


وان سرق أواني الذهب والفضة قطع، لانها تتخذ للزينة لا المعصية – المجموع شرح المهذب

Sekiranya seseorang mencuri bekas daripada emas dan perak maka akan dipotong (hudud) kerana ia dibuat untuk perhiasan bukan untuk maksiat.

Pengunjung yang dihormati,

Perlu diketahui bahawa, di dalam Islam, EMAS dan PERAK mempunyai hukum yang tersendiri, tidak sewenang-wenangnya ia dijual beli, disimpan, dipakai, ditampal, dijadikan perhiasan, dilabur dan sebagainya.

Hadirin yang dihormati,

Tidak menjadi masalah jika hadiah itu adalah rantai berloket cawan emas kerana ramai yang mengetahui bahawa hukum rantai emas diharamkan untuk lelaki dan dibolehkan untuk wanita.

Pada asalnya saya kira hadiah utama juga loket, rupa-rupanya ia betul-betul cawan emas yang ditawarkan. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan saya untuk menyampaikan bahawa cawan emas itu diharamkan untuk lelaki dan wanita.

Wallahua’lam

Tuesday, September 29, 2009

Daripada bersalaman berpindah kepada pernikahan

Assalamualaikum
Taqabbalallah minna wa minkum kepada pengunjung yang di kasihi.

Ramai orang yang balik beraya. Ramai juga yang mengirim soalan melalui sms kepada saya (ada ke patut kirim soalan…kirimla kad raya ke..duit raya ke..kuih raya ke..baju raya ke..) tentang boleh tak salam dengan makcik ni, boleh tak salam dengan pakcik ini, nenek saudara ke, kakak nenek, isteri pakcik dsb.

Soalan ini adalah soalan ramalan yang biasanya keluar setiap tahun.(muqarrar)

Jadi, di sini saya nyatakan keutamaan bersalaman dan batasan bersalaman.


عن حذيفة بن اليمان – رضى الله عنه - عن النبى صلى الله عليه وسلم قال :
إن المؤمن إذا لقى المؤمن فسلم عليه و أخذ بيده فصافه تناثرت خطاياهما كما يتناثر ورق الشجر – رواه طبرانى-

Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a daripada Baginda Nabi s.a.w berkata:
Seorang mu’min apabila bertemu dengan seorang mu’min kemudian memberi salam kepadanya dan mengambil tangannya kemudian bersalaman. Maka berguguranlah dosa kesalahan mereka berdua sebagaimana berguguran daunan pokok.

عن البراء -رضى الله عنه - قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يتفرقا

Daripada Al-Barra’ r.a – Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak berlaku dua orang muslim yang berjumpa kemudian bersalaman melainkan akan diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah.

Banyak lagi hadis yang menerangkan tentang keutamaan bersalaman. Namun ia di batasi dengan hadis

قالت عائشة أم المؤمنين – رضى الله عنها :-
وما مست كف رسول الله صلى الله عليه وسلم كف امرأة قط

Berkata Saidatina ‘Aisyah Ummul Mu’minin r.a:
Tidak pernah langsung telapak tangan Baginda Rasulullah s.a.w menyentuh telapak tangan wanita.

Ini menunjukkan bahawa ada panduan dalam bersalaman. Bukanlah harus semata-mata dan bukan haram semata-mata berdasarkan kaedah.


كل عضو حرم النظر إليه : حرم مسه ولا عكس إلا الفرج فإنه يحرم نظره في وجه و يجوز مسه بلا خلاف

Setiap anggota yang haram dilihat haram juga disentuh, berbeza dengan sebaliknya (iaitu setiap anggota yang haram disentuh tidak semestinya haram dilihat) kecuali kemaluan, kerana kemaluan itu haram dilihat - menurut sesuatu pandangan - dan boleh disentuh tanpa khilaf.
(ruj. Al-Asybah wa An-Nazo’ir m.s811 cet Dar-Salam)

Baiklah, untuk mengetahui siapa yang boleh dan siapa yang tidak boleh kita bersalaman, perlulah kita mengetahui siapakah mahram kita.

(mahram yer bukan muhrim..muhrim itu maknanya orang yang berihram, jangan salah tanya lagi)

Rumusan mahram bagi lelaki.

Mahram hubungan tali kekeluargaan.

1. Ibu
2. Anak perempuan
3. Adik beradik perempuan
4. Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki.
5. Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan.
6. Makcik (adik beradik ibu)
7. Makcik (adik beradik bapa)

Mahram dengan sebab susuan dan musoharah (perkahwinan)

1. Ibu mertua
2. Anak tiri perempuan
3. Isteri bapa (ibu tiri)
4. Menantu perempuan.
5. Isteri atuk (nenek tiri)

(ruj. Al-Majmuk jilid 2 m.s 35 Dar-Fikr cet.2000)


Huraian mahram bagi lelaki.

Haram nikah kerana nasab iaitu kerabat ada 7
(perincian dari surah An-Nisak ayat 23)

1) Ibu
- Setiap yang melahirkan kamu – iaitu ibu kandung kamu
- Begitu juga ibu kepada ibu kamu (nenek) dan ke atas (ibu kepada nenek dan ke atas)
- Begitu juga dari bahagian bapa – seperti ibu kepada bapa (iaitu nenek sebelah bapa) dan nenek-nenek bapa.

2) Anak perempuan

- Setiap anak perempuan kandung kamu.
- Setiap anak perempuan yang lahir daripada anak kandung kamu (iaitu cucu perempuan)


3) Adik beradik perempuan

- Setiap perempuan yang lahir daripada ibu bapa kamu atau salah seorang daripada kedua-duanya.
- Bernikah dengan mereka haram sama ada adik beradik perempuan sebapa atau seibu atau adik beradik sebapa dan seibu.

4) ‘Ammah - Makcik (adik beradik bapa)

- Mereka adalah adik beradik bapa, sama ada adik beradik sebapa seibu atau adik beradik sebapa atau adik beradik seibu.
- Kemudian ‘Ammah (makcik) kepada bapa dan ‘Ammah (makcik) kepada ibu.
- ‘Ammah (makcik) kepada atuk dan ‘Ammah (makcik) kepada nenek.

5) Kholah - Makcik (adik beradik ibu)

- Mereka adalah adik beradik ibu, sama ada adik beradik sebapa seibu atau adik beradik sebapa atau adik beradik seibu.
- Kemudian kholah (makcik) kepada bapa dan kholah (makcik) kepada ibu.
- Kholah (makcik) kepada atuk dan kholah (makcik) kepada nenek.

6) Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki.

- Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki, sama ada adik beradik lelaki sebapa seibu atau adik beradik lelaki sebapa atau adik beradik lelaki seibu
-Kemudian, anak perempuan kepada anak lelaki daripada adik beradik lelaki (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik lelaki).
-Anak perempuan kepada anak perempuan daripada adik beradik lelaki (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik lelaki).
-Dan ke bawah (iaitu cicit perempuan daripada adik beradik lelaki).


7) Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan.

- Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan, sama ada adik beradik perempuan sebapa seibu atau adik beradik perempuan sebapa atau adik beradik perempuan seibu.
- Begitu juga anak perempuan kepada anak lelaki daripada adik beradik perempuan (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik perempuan).
- Anak perempuan kepada anak lelaki daripada anak perempuan daripada adik beradik perempuan (iaitu cicit perempuan daripada adik beradik perempuan)
- Dan ke bawah.


Haram sebab Musoharah (perkahwinan)


1) Ibu kepada isteri (ibu mertua)

-sama ada sudah bergaul dengan isteri atau belum.
-Ibu mertua seperti ibu kandung kamu.
-sama ada ibu kandung isteri kerana nasab atau ibu susuan.
-Begitu juga haram ke atas lelaki setiap yang bersambung kepada isterinya dari kalangan nenek (iaitu nenek-nenek yang bersambung daripada isteri). Nenek daripada bapa isteri atau nenek daripada ibu isteri.

2) Anak perempuan isteri (anak tiri)

-Tidak menjadi haram (muabbad) kecuali setelah bersama dengan isteri.

Masalah:
[Berkahwin dengan seseorang wanita tetapi tidak dukhul (tidak jimak) kemudian bercerai, maka dia boleh berkahwin dengan anak perempuannya (bekas anak tiri).

Tetapi jika sudah dukhul, maka dia tidak boleh berkahwin dengan anak tirinya walaupun setelah diceraikan ibunya.

Manakala apabila berkahwin dengan seorang perempuan maka tidak boleh berkahwin dengan ibunya buat selama-selamanya (ibu mertua adalah haram muabbad) sama ada dukhul atau tidak dukhul]

3) Isteri anak lelaki (menantu)

- Begitu juga isteri kepada anak lelaki anak kamu (isteri cucu kamu)
-Dan ke bawah dengan sebab nasab atau susuan.

4) Isteri bapa (ibu tiri)

- Termasuk juga isteri bapa (ibu tiri) dan isteri atuk (nenek tiri) dan ke atas daripada pihak bapa atau ibu atau kedua-duanya. Diharamkan juga berkahwin dengan isteri bapa daripada susuan.

5) Menghimpunkan isteri antara dua adik beradik.

Kelima-lima pengharaman tersebut bersumber dari Al-Quran dan terdapat dua sumber pengharaman daripada Sunnah iaitu:

1) Menghimpunkan antara isteri dan ‘Ammahnya (makcik daripada adik beradik bapa)
2) Menghimpunkan antara isteri dan Kholahnya (makcik daripada adik beradik ibu)

(ruj. Al-Majmuk jilid 17 m.s 377- 379 Dar-Fikr cet.2000)


[Contoh masalah]

1.Bolehkah biras (pihak lelaki) berkahwin dengan biras (pihak perempuan)?

Contoh: Ayah isteri telah lama meninggal manakala ibu suami juga telah lama meniggal. Bolehkah ayah isteri berkahwin dengan ibu suami?

Jawapan: Boleh

2.Seorang ayah berkahwin dengan seorang wanita janda yang mempunyai anak perempuan. Bolehkah anak lelakinya berkahwin dengan akak atau adik tirinya?

Jawapan:

a) Boleh sekiranya akak atau adik tirinya itu adalah anak hasil perkahwinan ibu tiri dengan bekas suami lamanya.

b) Tidak boleh sekiranya akak atau adik tirinya itu adalah anak hasil daripada perkahwinan ayahnya dengan ibu tirinya. Kerana mereka adalah adik beradik sebapa.

3. Bolehkah suami berkahwin dengan bekas ibu tiri isteri?

Jawapan: Boleh kerana ibu tiri isteri bukanlah ibu kandung isteri dan bukanlah ibu susuan isteri.

4. Bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan bekas ibu tirinya?

Jawapan: Tidak boleh kerana ibu tiri adalah haram muabbad.

5.Bolehkah seorang anak berkahwin dengan salah seorang adik beradik ibu tirinya?

Jawapan: Boleh.

6. Bilakah saya akan berkahwin?

Jawapan: …hurm…bila sampai jodoh.


Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Taqabbalallah minna wa minkum, selamat hari raya dan selamat juga hari-hari yang lain selama-lamanya kepada semua.

Kosong : Kosong

Maaf tidak sempat untuk meletak artikel terkini kerana kesibukan.
Terima kasih atas kunjungan kalian.

Friday, August 7, 2009

Apabila Imam sudah berdiri di atas mimbar

Jam menunjukkan pukul 1:05 petang.

Kedengaran azan jumaat berkumandang menerusi corong-corong pembesar suara Masjid Abu Bakar yang merupakan sebuah masjid negeri yang terletak bersebelahan dengan Maahad.

Dalam masa yang sama Ariff salah seorang pelajar Maahad Johor tampak segak bersongkok hitam, berbaju melayu putih teluk belanga bersamping sekolah berwarna ungu , sambil mengenakan minyak wangi jenis misk asfar dari mesir yang lembut aromanya bersiap-siap untuk ke masjid.

Dia terus bergegas keluar dari asrama setelah mendengar azan kedua berkumandang.Tidak seperti rakan-rakannya yang lain, Ariff terlewat sedikit akibat sakit perut kesan daripada termakan kuih bom berminyak pagi itu.

Sementara itu Ariff terserempak dengan jiran rumahnya yang baru turun dari teksi sedang membayar wang tambang di hadapan pintu masuk gerbang masjid.

“Assalamualaikum.Eh, makcik Bedah rupanya. Makcik buat apa kat sini?.” Ariff menyapa.

“Waalaikumussalam. Ini ha, makcik nak belikan cincau untuk Pak Mat kamu. Dia mengidam cincau pula.Itu yang makcik ke sini.” Ariff menganggukkan kepalanya.

Pak Mat merupakan suami kepada makcik Bedah yang ditimpa kemalangan jalan raya minggu lalu terlantar di Hospital Sultanah Aminah yang terletak tidak jauh dari masjid.

Seketika Ariff mengalihkan pandangannya melihat sekumpulan rombongan satu bas berhenti singgah untuk membeli minuman di sebuah van berwarna putih milik Mak Mah dan suaminya Pak Leman penjual minuman cendol dan cincau ais di penjuru pagar masjid.Turut kelihatan beberapa orang jemaah lain yang tidak ketinggalan sibuk beratur menunggu giliran untuk membeli air minuman Mak Mah dan Pak Leman yang sedap itu.

“Baiklah makcik, saya nak masuk ke dalam. Sudah lewat ni. Saya minta diri dulu.”

“Baiklah.” jawab makcik Bedah.

“Sampaikan salam saya pada Pak Mat. Syafahullah. Assalamualaikum “ sambil mengangkat tangan dan mengukir senyuman ke arah makcik Bedah Ariff terus beredar masuk ke masjid.

“Waalaikumusalam” jawab makcik Bedah.

-tamat-

Hadirin pengunjung scene-r yang dihormati,

Sebenarnya saya tidak bercadang untuk menulis cerpen apatah lagi membuat drama.Namun, apa yang saya cuba ketengahkan ialah beberapa hukum jual beli pada hari jumaat yang boleh di ambil menerusi cerita yang saya lakarkan sebentar tadi.

Para Ulama tidak berselisihan dalam pensyariatan azan sejurus selepas imam berdiri di atas mimbar. Malahan, azan inilah sebagai tanda larangan sebarang bentuk transaksi jual beli dan perintah untuk bersegera mengingati Allah s.w.t.

Sebagaimana Firman Allah s.w.t :

يا أيها الذين آمنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

Maksudnya : “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (pergi ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli .Yang demikian itu adalah baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9).

Azan pada zaman Rasulullah s.a.w ialah azan selepas Imam duduk di atas mimbar.

Terdapat perselisihan ulama dalam menentukan waktu larangan jual beli pada hari jumaat. Imam Ahmad berpendapat bahawa jual beli diharamkan bermula dari tergelincirnya matahari walaupun imam belum duduk di atas mimbar. Pendapat ini tidak diterima oleh sebahagian ulama kerana Allah s.w.t telah mengaitkan (ayat kewajipan bersegera itu) dengan seruan azan, bukanlah dengan waktu tergelincirnya matahari (rumusan Al-Mughni ms 162-163).

Melalui kisah yang saya paparkan sebentar tadi, Ariff keluar selepas azan kedua berkumandang menandakan imam telah duduk di atas mimbar.Ini bermakna, segala bentuk transaksi jual beli yang berlaku pada waktu itu adalah diharamkan.

Perlu kita ketahui bahawa larangan ataupun pengharaman jual beli ini hanyalah khusus kepada mereka yang diwajibkan jumaat keatasnya.

Persoalan : Jikalau begitu, siapakah yang tidak termasuk di dalam larangan jual beli tersebut?

Orang yang tidak termasuk di dalam larangan ini ialah mereka yang tidak diwajibkan jumaat seperti wanita, kanak-kanak, orang yang bermusafir dan orang yang sakit.

Melalui contoh cerita tadi, mereka yang tidak diwajibkan jumaat ialah : Makcik Bedah (wanita) , Pak Mat (orang yang sakit), sekumpulan rombongan yang bermusafir.

Persoalan : Bagaimana pula dengan Mak Mah. Bukankah Mak Mah juga wanita?

Sekiaranya Mak Mah menjual air kepada Makcik Bedah, sekumpulan orang yang bermusafir, kanak-kanak maka ia dibolehkan.

Manaka, sekiranya Mak Mah menjual kepada jemaah lain yang terdiri daripada mereka yang diwajibkan jumaat maka hukumnya adalah makruh bagi Mak Mah dan haram bagi pembeli. Namun, ada pendapat yang mengatakan kedua-dua transaksi jual beli antara Mak Mah dan jemaah yang diwajibkan jumaat adalah haram kerana membantu dalam membuat dosa.

Firman Allah s.w.t :

ولا تعاونوا على الإثم والعدوان
Maksudnya : “ Dan Janganlah kamu saling bantu membantu dalam membuat dosa dan permusuhan” (surah Al- Maidah :2).(rujukan Al-Mughni m.s 174, Al-Fiqh Islami m.s 1284)

Rumusan masalah ini :

1) Makruh atau haram bagi orang yang tidak diwajibkan jumaat berurusniaga dengan orang yang diwajibkan jumaat.

2) Harus orang yang tidak diwajibkan jumaat berurusniaga dengan orang yang tidak diwajibkan jumaat. Contohnya : wanita – wanita , wanita- musafir.

3) Haram bagi orang yang diwajibkan jumaat berurusniaga dengan sesiapa sahaja.

Persoalan : Jika berlaku juga transaksi jual beli tersebut setelah azan. Adakah jual beli ketika itu sah atau menjadi batil ?

Ulama berbeza pendapat dalam perkara ini antaranya :

Pendapat Hanafiah mengatakan : Jual beli tersebut sah tetapi makruh tahriman.

Manakala pendapat Syafieah: Jual beli tersebut sah tetapi haram.

Pendapat Malikiah pula mengatakan : Jual beli tersebut adalah fasid dan perlu difasakhkan dan

Pendapat Hanabilah mengatakan : Jual beli tersebut tidak sah. (ruj . Fiqh Islami m.s 1248)

Hadirin pengunjung yang dikasihi,

Perlu kita ketahui, terdapat akad lain selain daripada akad jual beli seperti akad sewa, nikah , suluh dan sebagainya.

Dalam cerita di atas, Makcik Bedah menyerahkan wang tambang kepada pemandu teksi merupakan akad ijarah (sewa).

Persoalan : Adakah akad sewa termasuk dalam larangan ini?. Bagaimana pula pemandu-pemandu teksi yang masih berurusniaga waktu itu?.

Ulama berbeza pendapat dalam perkara ini kepada beberapa pendapat :

Pendapat Hanafiah mengatakan : Makruh Tahriman

Jumhur Ulama mengatakan haram menyibukkan diri daripada menghadiri jumaat dengan (segala bentuk ) jual beli ataupun akad selainnya seperti sewa, nikah , suluh dan seluruh bentuk pekerjaan setelah disyariatkan azan. (ulama mengatakan haram kerana mengkiaskan akad jual beli dengan akad yang lain).

Walauagaimanapun, Ulama Hanabilah berpendapat : tidak haram selain daripada akad jual beli seperti sewa,suluh dan nikah kerana larangan hanya dikhusukan untuk jual beli sahaja.

(ruj .Fiqh Islami m.s 1283, Al-Mughni m.s 164 , Mughni Muhtaj m.s 651)

Hadirin sekalian,

Sampai bilakah pengharaman jual beli ini?

Pengharaman jual beli kepada mereka yang wajib jumaat hanyalah sehingga selesai solat jumaat sahaja. Pengharaman ini tidaklah berterusan sampai ke malam.

Firman Allah s.w.t :

فإذا قضيت الصلاة فانتشروا في الأرض وابتغوا من فضل الله واذكروا الله كثيرا لعلكم تفلحون
Maksudnya : “Apabila kamu telah selesai menunaikan solat (Jumaat) maka bertebaranlah kamu di permukaan bumi dan carilah kurnia Allah serta ingatlah Allah sebanyaknya,semoga kamu mendapat kejayaan". (Al-Jumuah :10)

Cukuplah sekadar itu paparan untuk kali ini.

Apabila Imam sudah berdiri di atas mimbar
Diperintah diam bukan tidur
Apatah lagi sampai berdengkur
Dengarlah dengan khusyuk bertafakkur
Ta`ammul dan tadabbur.

Wallahu a`lam.

Sunday, August 2, 2009

Sudah ditakdirkan dia lahir berkepala dua


Assalamualaikum,

Sidang pengunjung sekalian,

Tatkala saya membaca akhbar bertajuk “Lagi bayi dua kepala dilahirkan” yang disiarkan di layar http://www.kosmo.com.my 30 Julai lalu membuatkan saya terkenang suatu ketika dahulu tentang pengajian berkenaan wudhuk bagi manusia berkepala dua.Allah s.w.t Maha Berkuasa menciptakan sesuatu dengan kehendakNya.

Ulama silam telah membahaskan permasalahan wudhuk bagi manusia berkepala dua atau berwajah dua dsb yang berkemungkinan masalah ini wujud pada zaman mereka ataupun suatu andaian ia berlaku di zaman kita seperti yang kita lihat kewujudannya silih berganti sebagaimana yang dilaporkan di dada akhbar tersebut.

 “Selepas bayi dua kepala meninggal dunia di Pekanbaru, Indonesia kini muncul bayi yang sama tetapi dilahirkan di Filipina kelmarin. Secara kebetulan, bayi dua kepala di Filipina itu lahir pada hari kematian bayi berkepala dua lelaki di Indonesia”.

Baiklah,
Berbalik kepada permasalahan wudhuk untuk mereka yang ditakdirkan lahir sebegini.Mari kita buka bersama kitab Muqaddimah Hadhramiah di dalamnya, kita akan menemukan nas

“Apabila di ciptakan seseorang itu berwajah dua maka perlulah dibasuh kedua-dua wajahnya ataupun seseorang yang diciptakan berkepala dua maka perlulah diusap salah satu daripada kedua-dua kepala tersebut kerana kedua-duanya itu disebut sebagai wajah dan kepala”

Di sini kita menemukan beberapa permaslahan :

Pertama : membasuh muka bagi seseorang berwajah dua –tidak kira sama ada seseorang itu memiliki satu kepala dan dua wajah ataupun dua kepala dan dua wajah dalam satu jasad.

Kedua : membasuh kepala bagi seseorang yang berkepala dua.

Untuk merungkai nas di atas, saya cuba merumuskan daripada kitab Al-Hawasyi Al-Madaniyyah halaman 65.


Sebahagian ulama membezakan di antara wajib membasuh kedua-dua wajah dan memadai dengan mengusap salah satu daripada kepala.Tiada beza pada (wajib basuhan pada wajah) sama ada kedua-dua wajah itu adalah wajah asal ataupun salah satunya wajah asal dan yang satu lagi adalah wajah tambahan walaupun wajah itu terbentuk.

Rumusan pendapat ini : untuk basuhan muka, wajib membasuh keseluruh wajah sama ada wajah itu ada dua ataupun salah satunya wajah asal dan satu lagi adalah wajah tambahan,walaupun tambahan itu berbentuk wajah.Wajib basuh keseluruhan apa yang dinamakan sebagai wajah termasuk wajah tambahan.

Sebagai contoh : Di andaikan seseorang yang memiliki satu kepala dan dua wajah maka wajib ke atasnya membasuh kesemua wajahnya termasuk wajah tambahan. Begitu juga seseorang yang memiliki dua kepala dan dua wajah maka wajib ke atasnya membasuh kedua-dua wajahnya.

Berbeza dengan pendapat Imam Al-Jamal Ar-Ramli yang mengatakan:

“Sekiranya seseorang itu diciptakan dua wajah dan salah satu daripadanya adalah wajah tambahan tetapi dapat dibezakan (antara wajah asli dan wajah tambahan) maka wajib membasuh wajah yang asli sahaja (tidak wajib membasuh wajah tambahan).Manakala sekiranya wajah tambahan itu serupa dengan wajah yang asli maka wajib membasuh kedua-dua wajah tersebut (wajib membasuh wajah asli dan wajah tambahan)”

Sebagai tambahan pecahan masalah.

Sekiranya seseorang itu diciptakan dua wajah; salah satunya menghadap hadapan manakala wajah satu lagi menghadap belakangnya.

Imam Asy-Syihab Ar-Ramli memfatwakan bahawa yang wajib dibasuh adalah wajah yang menghadap hadapan.

Namun , ulama berikutnya memperincikan lagi nas ini dengan menambah :benar, itu sekiranya wajah tersebut merupakan pancaindera yang tidak berderia atau tidak berfungsi manakala sekiranya pancaindera wajah tersebut berfungsi maka wajib membasuhnya.

Rumusan;
Kebanyakan pendapat Ulama mengatakan wajib membasuh kesemua yang disebutkan sebagai wajah

Sebagaimana firman Allah s.w.t 
“Apabila kamu ingin mendirikan solat maka basuhlah wajah kamu”

Bermakna, seseorang yang memiliki satu kepala dan dua wajah ataupun dua kepala dan satu wajah maka wajib keatasnya membasuh kedua-dua wajahnya.

Berbeza dengan usapan kepala kerana usapan kepada memadai dengan mengusap salah satu daripada dua kepala kerana ia disebut kepala.

Sebagaimana firman Allah s.w.t 

“….dan usaplah kepala kamu ”

Perbezaannya jika berwajah dua : kedua-duanya disebut sebagai wajah manakala kepala, memadai dengan satu kepala kerana ia disebut kepala (salah satunya kepala dan satu lagi juga kepala).Namun untuk mendapatkan sunnah usaplah keseluruhan kepala kerana ia akan bersinar (scene-r) pada hari kiamat.Baginda Rasulullah s.a.w akan mengenal umatnya pada hari kiamat dengan tanda ”Ghurrun Muhajjalun” kesan daripada basuhan wudhuk.

Cukuplah sekadar itu perkongsian tentang tatacara basuhan wudhuk wajib kepada manusia berkepala dua atau berwajah dua.

Terfikir juga bagaimana mereka yang berkepala dua ini mungkin berlaku satu melihat di sini satu melihat di sana, satu makan satu minum, sama-sama bersembang dengan dirinya atau dengan orang yang berasingan.Mungkin ada mudahnya masa-masa peperiksaan tatkala kesuntukan waktu satu membacaa muka surat sebelah satu lagi membaca muka berikutnya.Maklumlah ada dua kepala dua otak,empat mata dan kelebihan-kelebihan yang lain.Allah sahaja Maha mengetahui hikmah di sebalik ciptaanNya.

Wallahu A’lam.

Saturday, August 16, 2008

Menyapu muka selepas solat

InsyaAllah pada kali ini scene-r cuba berkongsi dengan sidang pembaca berhubung persoalan yang sering ditanyakan iaitu menyapu muka sambil berdoa sejurus selepas memberi salam selesai solat.

Saya mengingatkan kepada pembaca supaya jangan mudah melatah apa lagi melenting seterusnya membidaah dan menghalang amalan yang dilakukan oleh orang ramai. Walaupun sesuatu amalan itu mempunyai sandaran daripada hadis yang dhaif ,amalan tersebut masih lagi boleh diguna pakai untuk fadhail a’mal. Jika anda tidak mahu melakukan jangan pula menghalang. Justeru, mengapa perlu bertikam lidah?

InsyaAllah saya bawakan kepada anda apa kalam ulama tentang perkara ini. Saya mulakan kalamdaripada Syaikh Syed Abdul Rahman bin Muhammad Husain bin Umar Ba’alawi di dalam himpunan kitab Bughyatul Mustarsyidin muka surah 49


(Faedah) Ibn Mansur telah meriwayatkan bahawa apabila Baginda s.a.w selesai solat.Baginda s.a.w akan menyapu dahinya (yang mulia) dengan telapak tangan kanannya, kemudian melalukannya ke wajah Baginda s.a.w sehingga sampai ke janggut Baginda s.a.w yang mulia seraya melafazkan :

بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب و الشهادة الرحمن الرحيم اللهم أذهب عني الهم و الحزن و الغم اللهم بحمدك انصرفت و بذنبي اعترفت أعوذ بك من شر ما اقترفت و أعوذ بك من جهد بلاء الدنيا و عذاب الآخرة


Dengan nama Allah yang tiada tuhan (yang layak disembah) selainNya, (Allah) yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan perkara yang nyata.(Allah)Maha Pengasih ,Maha Penyayang. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kerisauan (kegundahan, keresahan), kesedihan dan kekesalan.Ya Allah, dengan pujianMu aku berpaling daripada dosa yang kulakukan. Aku tahu dosa yang aku lakukan (Aku mengaku). Aku berlindung dengan Mu ( Ya Allah) daripada segala kejahatan yang aku lakukan. Aku juga berlindung denganMu (Ya Allah) daripada kesukaran bala’ dunia dan azab akhirat.


Seterusnya saya nukilkan kalam daripada Syaikh Daud Fathani di dalam kitab Munyatul Musolli muka surat 18


Adapun sunat yang dikerjakan kemudian daripada sembahyang maka adalah Nabi s.a.w. apabila selesai daripada sembahyang menyapu dengan tangannya di atas kepalanya dan dibacanya:

بسم الله الذي لا إله إلا هو الرحمن الرحيم. اللهم اذهب عني الهم و الحزن

Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kerisauan dan kesedihan.

Sidang pembaca sekalian,
Amalan menyapu muka sambil berdoa setelah solat merupakan amalan para ulama kita terdahulu. Mereka adalah ulama yang tahu hukum.Ulama bagai bintang menjadi penunjuk arah panduan orang ramai. Alangkah indah lafaz doa memohon agar segala belenggu kegusaran yang kita lalui dihilangkan, mengakui segala kesilapan dan berazam tidak mengulanginya, memohon perlindungan daripada Allah s.w.t daripada segala kejahatan, kesukaran bala’ dunia dan akhirat.


Bagi anda yang tidak mahu melakukan, itu pilihan anda. Anda tahu apa yang dinamakan fadhail a’mal. Kalau anda tidak mahu beramal dengan fadhail a’mal paling tidak beradablah dengan ulama.
Baiklah cukup sekadar itu.


Wassalam.