email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Thursday, August 9, 2007

Sihaq (lesbian) / سحاق

Sihaq bermaksud ketidakwajaran hubungan jenis diantara dua orang wanita (iaitu kata berlawanan bagi lelaki : liwat) – Al-Mu'jam Al-Arabi Al-Asasi

Sihaq pada bahasa adalah sihaq dan musahaqah
Manakala sihaq pada istilah adalah : perbuatan wanita antara satu sama lain, dan begitu juga perbuatan orang yang majbub(terpotong seluruh kemaluan lelaki) dengan wanita juga disebut sebagai sihaq.

Perbezaan antara zina dan sihaq adalah:

Sihaq tidak memasukkan kadar hasyafah (kemaluan lelaki) ke dalam faraj(kemaluan wanita) manakala zina sebaliknya.-(rujuk kitab Al-Mustalahat wa Al-Fadzh Al-Feqhiyyah Dr.Mahmud Abd Rahman Abd Mun'im cet. Dar.Alfadhilah jilid 2 ms 234)

Manakala Dr.Wahbah Az –Zuhaili mendefinisikan sihaq sebagai :Perbuatan wanita antara satu sama lain juga merupakan perbuatan yang haram ,dan di takzir bagi pelaku perbuatan sihaq ini walaupun (perbuatan sihaq) diantara lelaki dan wanita, atau (perbuatan sihaq) diantara dua orang lelaki.(rujuk kitab Feqh Islami Wa Adillatuhu Dr.Wahbah Az-Zuhaili jilid 7 ms 5346)

Dalil pengharaman sihaq

Firman Allah s.w.t :

والذين هم لفروجهم حافظون،إلا على أزواجهم أو ما ملكت أيمانهم فإنهم غير ملومين،فمن ابتغى وراء ذالك فأولئك هم العادون
Maksudnya: Dan orang-orang yang menjaga kemaluan mereka,kecuali terhadap isteri mereka ataupun orang yang mereka miliki (hasil dari peperangan dengan orang kafir), maka sesungguhnya mereka dalam keadaan ini tidak tercela.Sesiapa yang mencari yang sebalik dari itu (melalui jalan zina,homoseksual dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.(Surah Al-Mu'minun ayat 6-7 )

Lafaz farj di dalam ayat لفروجهم membawa maksud : aurat lelaki atau wanita yang meliputi qubul dan dubur. - Al-Mu'jam Al-Arabi Al-Asasi pada makna farjul insan.

Dalil ini menunjukkan bahawa umum ayat meliputi lelaki atau wanita pada wajib memelihara kemaluannya kecuali pada suami atau isteri sahaja.Justeru itu, perbuatan sihaq merupakan perbuatan maksiat yang tidak menjaga kemaluannya daripada orang yang sepatutnya dijaga.

Diriwayatkan dari Imam Al-Baihaqi dari Abi Musa Al Asy'ari r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda :
إذا أتى الرجل الرجل فهما زانيان ،وإذا أتت المرأة المرأةفهما زانيتان
Maksudnya :Apabila seorang lelaki mendatangi lelaki maka mereka berdua berbuat zina,dan apabila seorang wanita mendatangi wanita maka mereka berdua berbuat zina

Sabda Rasulullah s.a.w lagi
سحاق النساء بينهن زنا
Maksudnya:Sihaq diantara wanita itu adalah zina (rujuk kitab Feqh Islami Wa Adillatuhu Dr.Wahbah Az-Zuhaili jilid 7 ms 5346)

Para ulama telah berselisih pendapat pada persoalan adakah diwajibkan uqubah (hukuman) ataupun tidak keatas pelaku sihaq kepada tiga pendapat.

Pendapat pertama :Wajib dihukum bagi kedua-dua pelaku sihaq dari wanita dengan sebatan seratus kali sebatan.

Pendapat kedua : Mereka melakukan perbuatan haram dan tidak dikenakan hukuman had,tetapi dikenakan hukuman takzir.

Pendapat ketiga : Tiada hukuman secara mutlak,tiada had dan tiada takzir keatasnya.(pendapat Zahiriah yang diambil dari kitab Al-Muhalla)

Pendapat yang rajih merupakan pendapat yang mengatakan tiada hukuman had

(rujuk nota kaki kitab Qadhaya Feqhiyah Muasirah tahun satu 2003/2004 Universiti Al-Azhar,Kaherah ms 31-32)

Di dalam furu (pecahan) masalah yang saya nukilkan dari kitab Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab jilid 22 ms 64 ada menyatakan
ويحرم اتيان المرأة المرأة لقوله صلى الله عليه وسلم :" إذا أتت المرأة المرأة فهما زانيتان"وقد مضى تخريجه ،فان ساحقت المرأة لم يجب عليهما الحد، وقال مالك : يجب على كل واحد منهما الحد وهو مائة جلدة.دليلنا أنها مباشرة لا ايلاج فيها فلم يجب فيها الحد ،كما لو باشر الرجل المرأة فيما دون الفرج ، ويعزران لأنها معصية لا حد فيها ولا كفارة
Maksudnya : Dan diharamkan wanita mendatangi wanita sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w : " Apabila wanita mendatangi wanita maka mereka berdua berbuat zina" dan telah disebutkan dari mana hadis ini dikeluarkan sebelum ini.Sekiranya wanita mengauli wanita maka tidak diwajibkan ke atas mereka hukuman had.Dan Imam Malik rahimahullah berkata :Diwajibkan ke atas setiap mereka itu hukuman had iaitu seratus kali sebatan.Dalil kami (as-syafieah): Sesungguhnya wanita tersebut menggauli secara langsung tanpa ilaj (memasukkan hasyafah kedalam faraj wanita) maka tidak diwajibkan hukuman keatasnya had.(Begitu juga) Sebagaimana jika seorang lelaki menggauli secara langsung dengan seorang wanita tanpa (memasukkan hasyafah kedalam faraj),mereka itu di takzir kerana perbuatan itu merupakan sesuatu perbuatan maksiat yang tidak dikenakan hukuman had dan kafarah keatasnya.

Perkara yang sama juga diperkatakan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam Kitab Al-Mughni ms 350
وإن تدالكت امرأتان‏,‏ فهما زانيتان ملعونتان لما روى عن النبي صلى الله عليه وسلم - أنه قال‏:"‏‏إذا أتت المرأة المرأة فهما زانيتان"ولا حد عليهما لأنه لا يتضمن إيلاجا فأشبه المباشرة دون الفرج‏، وعليهما التعزير لأنه زنى لا حد فيه، فأشبه مباشرة الرجل المرأة من غير جماع ولو باشر الرجل المرأة،و استمتع بها فيما دون الفرج‏،‏ فلا حد عليه
Maksudnya :Apabila dua orang wanita yang saling bergosok,maka meraka berdua melakukan zina dan dilaknat sebagaimana yang diriwayatkan dari Nabi s.a.w, sesunguhnya Baginda s.a.w bersabda : Apabila seorang wanita mendatangi wanita maka mereka berdua berbuat zina dan tidak dikenakan hukumanhad keatas mereka kerana tiada ilaj(memasukkan hasyafah ke dalam faraj wanita).Umpama menggauli secara langsung (tanpa memasukkan hasyafah kedalam faraj).Mereka berdua perlu di takzir kerana ia merupakan perbuatan zina yang tidak dikenakan hukuman had. Umpama seorang lelaki menggauli wanita secara langsung tanpa jimak walaupun yang menggauli itu lelaki dan wanita.dan berseronok antara mereka tanpa (memasukkan hasyafah kedalam faraj) maka mereka tidak dikenakan hukuman had.

Imam Nawawi rahimahullah menyatakan di dalam Kitab Raudhah At-Thalibin ms 310

Dan wanita yang mendatangi wanita ,mereka itu tidak dikenakan hukuman had, walaupun kita dapati lelaki dan wanita ajnabi yang berada dalam satu selimut,dan tidak diketahui selain dari keadaan itu,kita tidak menjatuhkan hukuman had ke atas mereka ,dengan gambaran ini diwajibkan keatas mereka itu takzir .

Rumusan.

Hukuman takzir merupakan : Suatu hukuman yang dikenakan kepada pesalah bertujuan untuk mengajar (mendidik),celaan,mencegah dan menegur.

Manakala menurut syarak adalah sebagai pengajaran (mendidik) daripada melakukan dosa.Hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah, yang tidak dikenakan hukuman had dan kafarah ke atasnya.Takzir juga disyariatkan bagi setiap maksiat yang tidak sampai ke tahap hukuman had yang disyariatkan ( rujuk kitab Al-Bayan Imam Imrani jilid 12 ms .532 )

Perbuatan Sihaq tidak dikenakan hukuman had tetapi dikenakan hukuman takzir oleh pemerintah.Perbuatan sihaq bukanlah perbuatan zina menurut istilah feqh.Justeru itu, ia merupakan sesuatu perbuatan maksiat sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Mu'minun 6-7 diatas)

Wallahu A'lam.

No comments: