email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Wednesday, May 11, 2011

PUTUS RISIK?


Assalamualaikum.

Soalan dari Chat box scene-r

irna: sye blum btunang ttapi pihak lelaki ingin memutuskan dan menuntut segala yg dihadiahkan sepa njang perkenalan apakah hak saya?? boleh bantu ustaz? - 7 May 11, 20:58

irna: erti kata lain cincin risik dan sbg nya - 7 May 11, 20:58

Sidang pengunjung scene-r yang dirahmati Allah s.w.t. semoga Allah s.w.t memelihara kita dengan limpah rahmat-Nya amin.

Menjadi suatu adat di tempat kita, seseorang yang ingin melamar wanita pilihannya mengadakan majlis merisik sebelum majlis pertunangan. Suatu suasana yang hampir sama dengan majlis pertunangan. Walau bagaimana pun, ada juga yang menggabungkan antara khitbah (Pertunangan) dengan merisik, malah ada juga yang hanya bertunang tanpa merisik. Ada juga yang terus “terjah” untuk mengadakan walimah.

Majlis merisik bertujuan untuk mengenal serta memastikan identiti dan latar belakang keluarga masing-masing. Ia meliputi:

-Adakah wanita yang akan ditunangkan itu isteri orang atau bukan. Begitu juga adakah dia sudah bertunang dengan orang lain atau belum.

-Melihat adakah mereka mempunyai hubungan mahram.

-Mengenal pasti adakah wanita yang akan ditunangkan itu menjalani tempoh iddah atau tidak.

Manakala majlis pertunangan bertujuan untuk menyatakan hasrat untuk menikah.

Cincin disarungkan ke jari wanita sebagai tanda ikatan pertunangan sudah berlangsung.

Persetujuan menjalinkan ikatan pertunangan mengharamkan orang lain untuk “bersaing” di atas tunangan orang lain, melainkan setelah mendapat keizinan daripada tunang wanita tersebut.

Di dalam tempoh ini, mereka boleh saling berkenalan antara satu sama lain dan perlu menjaga batas antara lelaki dan perempuan sebagai ajnabi.

Apa yang terjadi zaman ini, majlis merisik diadakan mirip majlis pertunangan.

Persoalannya, adakah melalui merisik seseorang itu tidak boleh lagi untuk merisik wanita tersebut apatah lagi bertunang dengannya.

Adakah merisik itu bertunang? Bagaimana pula untuk membezakannya?

Menjawab persoalan ini. Saya nukilkan definisi khitbah (khitbah) dari kitab Feqh Islami Wa Adillah- Dr Wahbah Zuhaili katanya:

معنى الخِطْبة: الخطبة: هي إظهار الرغبة في الزواج بامرأة معينة، وإعلام المرأة وليها بذلك. وقد يتم هذا الإعلام مباشرة من الخاطب، أو بواسطة أهله.

فإن وافقت المخطوبة أو أهلها، فقد تمت الخطبة بينهما.

Makna Khitbah (Bertunang): ialah menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan wanita yang ditentukan. dan wali wanita tersebut mengetahui tentang hasrat itu. Dan sempurna pemberitahuan itu secara langsung daripada tunang (lelaki) atau melalui keluarganya. Apabila pihak perempuan atau keluarganya bersetuju, maka sempurnalah pertunangan antara mereka berdua.

Dari sini kita dapati syarat pertunangan itu mestilah menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan wanita yang telah ditentukan itu di bawah pengetahuan dan persetujuan daripada wali wanita tersebut. Pertunangan bermula setelah mendapat persetujuan daripada wanita itu atau keluarganya.

Oleh yang demikian, sekiranya berlaku syarat-syarat di atas dalam majlis merisik maka ia sebenarnya adalah pertunangan dan berlakulah hukum-hukum berkaitan khitbah (pertunangan). Manakala sekiranya di dalam majlis risikan itu hanya semata-mata ingin bertanya adakah “si dia” sudah berpunya lalu memberikan cincin dan sebagainya maka ia belum dikategorikan sebagai bertunang.

Cincin apakah itu?

Dalam adat melayu kini, majlis merisik dan pertunangan biasanya wanita akan disarungkan dengan cincin beserta barang hantaran.

Semasa penyerahan di buat, perlu diperhatikan sama ada cincin dan hantaran yang diberikan itu merupakan

-Hadiah?

-Barang amanah?

- atau pun pendahuluan mahar?

Sekiranya hadiah, perlu disyaratkan terima daripada pihak yang dihadiahkan. Apabila hadiah itu sudah diterima maka pemberi tiada hak lagi di atas barangan tersebut. Perbuatan meminta memulangkan barang yang telah dihadiahkan itu umpama anjing yang menelan muntahnya sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Hadis.

Sekiranya barang tersebut adalah barang amanah ataupun barang hantaran sebagai pendahuluan mahar atau barang belanja untuk perkahwinan, maka hendaklah dipulangkan kepada pemberi atau menggantikan seumpamanya sekiranya rosak. Begitu juga dengan barangan yang berjenis mudah lupus seperti makanan dan pakaian perlulah diganti atau ditaksirkan sebagai ganti rugi.

Di Malaysia, tuntutan ganti rugi juga boleh dibuat dengan memfailkan tuntutan di mahkamah syariah sekiranya salah satu pihak menggagalkan atau memungkiri pertunangan setelah proses persiapan perkahwinan dibuat.

[rujukan: al- Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Kifayatul Akhyar, al-Fatawa Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam- Dr Athiah Saqar- Allah Yarhamuh]

Wallahu A'lam

Friday, October 1, 2010

Gold mug, Silver mug, Crystal mug



Pernah lihat iklan ini? Mungkin anda pemenangnya.

Memang silau mata apabila melihat emas bernilai RM100,000 menjadi habuan pemenang utama Exclusive Nescafe Gold Mug.

Tentunya orang ramai berpusu-pusu, berbondong-bondong memasuki pusat membeli belah untuk menyertai peraduan yang bermula hari ini 1/10/2010 sehingga 31/12/2010.

Jika andalah pemenang hadiah utama itu nanti. Jangan tanya saya soalan cepu emas, apa hukum berkaitan dengannya, sepatutnya soalan itu di tanya sebelum memilikinya bukan setelah memilikinya.

Sebelum anda berangan-angan untuk memiliki Gold Mug itu, ruangkan seminit-dua untuk melihat dan membaca artikel kali ini dengan kaca mata hitam kerana blog ini ber ‘sinar’ (scene-r) lebih daripada sinaran gold mug :-)

Bagi yang tidak berangan untuk memiliki, jadikan ia sebagai pengetahuan dan peringatan.

Baiklah, bagi menghargai masa yang lebih bernilai daripada emas. Kita senaraikan persoalan-persoalan berkaitan cawan emas.

1) Menjadikan cawan emas sebagai perhiasan.

2) Minum menggunakan cawan emas.

3) Menerima cawan emas.

4) Menjual cawan emas

5) Adakah menyimpan cawan emas perlu dizakatkan?

6) Jika kita dihadiahkan cawan emas, apa yang perlu kita lakukan?. Tidak menerimanya? Meleburkan? Menjual?

7) Kalaulah ia diharamkan, bagaimana sekiranya seseorang mencuri cawan emas, adakah dia akan dikenakan hukuman potong tangan?

Saya tidak berhasrat untuk menjawab satu persatu persoalan yang saya lontarkan. Cukup sekadar menukilkan beberapa nas penting untuk menjawab persoalan di atas. Perlu di ingatkan bahawa nas di bawah tidak hanya tertumpu pada cawan. Ia termasuk pinggan mangkuk, sudu, jug, serta alatan perabot yang lain.

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْرَبَ فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَأَنْ نَأْكُلَ فِيهَا وَأَنْ نَلْبَسَ الْحَرِيرَ وَالدِّيبَاجَ وَقَالَ هِيَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ -مسند أحمد

Daripada Huzaifah r.a berkata: Baginda Rasulullah s.a.w melarang kami minum pada bekas yang diperbuat daripada emas dan perak dan melarang makan menggunakannya. Begitu juga melarang memakai sutera dan hamparan sutera. Kemudian bersabda: Ia untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kalian di akhirat.

وعن أم سلمة رضي الله عنها أن النَّبي صلى الله عليه وسلم، قال: "إن الذي يشرب في آنية الفضة إنما يجرجر في بطنه نار جهنم" متفق عليه. وفي رواية لمسلم: "إن الذي يأكل أو يشرب في إناء الذهب والفضة إنما يجرجر في بطنه نار جنهم"

Daripada Ummu Salamah r.a Baginda Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seseorang yang minum menggunakan bekas perak, akan dituang ke dalam perutnya api neraka.-Muttafaq Alaih. Dan pada riwayat Imam Muslim. Sesungguhnya seseorang yang makan atau minum menggunakan bekas emas dan perak, akan dituang ke dalam perutnya api neraka.

Daripada Umum Hadis di atas. Ulama menyimpulkan bahawa haram menggunakan bejana daripada emas dan perak sama ada untuk makanan, minuman mahupun perhiasan rumah ataupun perabot.

قال الشيخ أبو محمد المقدسي رحمه الله تعالى في المغني ويحرم اتخاذ الآنية من الذهب والفضة واستصناعها؛ لأن ما حرم استعماله حرم اتخاذه على هيئة الاستعمال كالطنبور والمزمار ويستوي في ذلك الرجال والنساء لعموم الحديث

Syaikh Abu Muhammad Al Maqdisi Rahimahullah ta’ala berkata di dalam Kitabnya Al-Mughni: Diharamkan mengambil bejana daripada emas dan perak serta membuatnya kerana apa yang diharamkan unutk menggunakannya haram juga untuk mengambilnya sebagaimana bentuk penggunaan gendang (yang digunakan untuk hiburan) dan seruling. (Pengharaman ini) meliputi lelaki dan perempuan dengan pengambilan umum hadis.

Dalam Kaedah Feqhiah menyebutkan

ما حرم استعماله حرم اتخاذه

Apa yang diharamkan untuk menggunakannya haram juga mengambilnya.

Imam Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam Al-Majmuk

قال أصحابنا أواني الذهب والفضة المعدة للاستعمال يجب فيها الزكاة قولا واحدا لانها محرمة- المجموع شرح المهذب

Berkata Ashab Syafie bahawa bekas/bejana yang diperbuat daripada emas dan perak yang dibuat untuk digunakan maka diwajibkan zakat menurut satu pendapat kerana ia diharamkan. – Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab

Imam Nawawi Rahimahullah menaqalkan di dalam matan Al-Minhaj

وَيَحِلُّ اسْتِعْمَالُ كُلِّ إنَاءٍ طَاهِرٍإلَّا ذَهَبًا وَفِضَّةً فَيَحْرُمُ، وَكَذَا اتِّخَاذُهُ فِي الْأَصَحِّ

Di bolehkan untuk menggunakan setiap bekas yang bersih kecuali emas dan perak dan ianya diharamkan. Begitu juga mengambilnya menurut pendapat yang Asoh.

Oleh itu, bekas yang diperbuat daripada bahan bernilai seperti permata, zamrud, Kristal, Fairuz, Lu’lu’,Marjan kesemuanya dibolehkan walaupun harganya lebih mahal daripada emas Berkat Imam Nawawi Rahimahullah lagi dalam Al-Majmuk


وان سرق أواني الذهب والفضة قطع، لانها تتخذ للزينة لا المعصية – المجموع شرح المهذب

Sekiranya seseorang mencuri bekas daripada emas dan perak maka akan dipotong (hudud) kerana ia dibuat untuk perhiasan bukan untuk maksiat.

Pengunjung yang dihormati,

Perlu diketahui bahawa, di dalam Islam, EMAS dan PERAK mempunyai hukum yang tersendiri, tidak sewenang-wenangnya ia dijual beli, disimpan, dipakai, ditampal, dijadikan perhiasan, dilabur dan sebagainya.

Hadirin yang dihormati,

Tidak menjadi masalah jika hadiah itu adalah rantai berloket cawan emas kerana ramai yang mengetahui bahawa hukum rantai emas diharamkan untuk lelaki dan dibolehkan untuk wanita.

Pada asalnya saya kira hadiah utama juga loket, rupa-rupanya ia betul-betul cawan emas yang ditawarkan. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan saya untuk menyampaikan bahawa cawan emas itu diharamkan untuk lelaki dan wanita.

Wallahua’lam

Tuesday, August 10, 2010

Scene-r kembali...

Assalamualaikum
setelah sekian lama tak update blog yang bersawang ni.
InsyaAllah kali ni scene-r ingin memperkenalkan serba sedikit tempat scene-r ikut belajar di Maahad Az-Zein yang dibangunkan sendiri oleh Syeikhuna Al-Murabbi Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki hafizahullah.

Ini dia..


Yayasan Az-Zein Al-Makky atau Maahad Az-Zein Al-Makkiy Al-Aali Littafaqquh Fiddin wa Tahfizul Quran yang terletak di Tegalwaru, Cheampea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Perjalanan dari lapangan terbang Suekarno Hatta -Jakarta mengambil masa sekitar 2 - 3 jam untuk sampai ke Maahad bergantung kepada kemacetan (kesesakan lalu lintas).

Di hadapan Maahad kita akan dapati Madrasah Ibtida'iah Az-Zein.

Panorama di pintu masuk Maahad


Kehadiran tetamu dari pelbagai tempat, daerah,pelbagai bangsa tidak dibiarkan begitu sahaja malah disambut baik oleh Syeikh dan seluruh santri di sana. Ada penempatan khusus untuk tetamu yang ingin bermalam di sana di namakan "Rumah Kolam" .

Rumah Kolam terletak di sebelah kanan pintu masuk

Di sebelah kiri pintu masuk terdapat bangunan yang di beri nama Aula. Dewan dan juga dijadikan surau maahad untuk seluruh warga Az-Zein yang banyak menjadi saksi solat, tilawah Al-Quran, kelas pengajian, zikir, burdah, dan sebagainya buat warganya.

Di sinilah Aula utama Maahad yang terbina di atas kolam yang dipenuhi ikan.

Di sini jugalah tempat untuk seluruh warga Az-Zein wajib solat berjamaah, solat tahajjud setiap malam, berwirid dan berzikir setiap kali solat fardhu, berbuka puasa bersama isnin dan khamis, serta santri Tahfiz menghafal dan belajar.

Bagi santri yang masbuk solat, tidak bertahajjud, masbuk tahajjud di kehendaki berdiri di belakang Aula untuk petugas mencatat kelengahan mereka. Manakala yang mengantuk atau dilihat tidak berzikir akan diminta untuk mengulang zikirannya.

Keseluruhan santri mengamalkan adab yang tinggi di bawah pimpinan Syaikhul Maahad Syeikhuna Muhammad Nuruddin sendiri. Bukan sekadar itu, mereka dilatih tawadhuk dan khidmat kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Lanskap yang indah menghiasi ruangan jalan menuju Bait Syaikhul Maahad dan "Aula Atas" yang menjadi tempat pengajian bagi Santri Tafaqquh.


Telah menjadi kebiasaan, Syeikhuna akan dikunjungi oleh tetamu terhormat dari seluruh pelusuk dunia dari kalanganUlama. Tidak kurangnya orang ramai yang berasal dari pelbagai latar belakang juga turut datang bertandang, bersilaturahim dengan beliau.


Udara segar dan pemandangan yang lapang di atas bukit serta lanskap yang cantik menyamankan suasana di ruangan beranda rumah Syaikhuna ketika menyambut dan melayan tetamu yang hadir.

Di sinilah tempat penginapan saya dan isteri sepanjang 3 bulan berada di sana. Terdapat dua buah rumah lagi yang sebaris dengan rumah penginapan kami ini merupakan kediaman akhawat. Kedudukannya pula bertentangan dengan rumah Syaikhul Maahad dan Aula Atas untuk kelas tafaqquh.

Aula Atas yang terletak bersambung dengan rumah Syaikh menjadi ruang untuk santri tafaquh menadah kitab menuntut ilmu, mempelajari pelbagai kitab turath dan kontemporari serta diskusi-diskusi kitab bersama Syekhuna Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki Hafizahullah dan seorang lagi rakan beliau iaitu Ust Ahmad Hafizahullah.

Di Aula ini saya dan isteri hanya sempat mengikuti sebahagian daripada beberapa pembelajaran yang berlangsung, antaranya Kitab Fathul Mu'in, Soheh Bukhari, Sunan Tirmizi, Tarikh Khulafa', Bustan Arifin, Qawaid Fiqhiah, Rawai' Al-Bayan, As-Sunnah wal Bid'ah, Al-Jami' As-Soghir, Musnad Ahmad, Tuhfatul Ahwazi, Umdah As-Salik, Misykah Al-Masobih, Al-Kaba'ir, Khususiat Rasul, Risalah Mustarsyidin, Al-Bayan, Haza Halal wa Haza Haram, Musalsal dll.

Peluang dan keistimewaan sebagai santri Az-Zein tidak dapat dinafikan lagi kerana mereka dapat mempelajari serta bertanya secara langsung dengan guru Murabbi mereka sama ada apa yang dipelajari daripada kitab mahupun daripada ahwal perilaku kedua-dua guru mereka yang saya kagumi.

Di ruangan atas Aula ini terdapat maktabah (perpustakaan) yang menempatkan kitab-kitab sebagai rujukan santri.



Maktabah Az-Zein

Dari sudut hadapan di belakang Rumah Kolam yang disebutkan di awal tadi terdapat kantin dan mini market untuk jualan kitab-kitab karangan Syaikh, kitab-kitab yang dipelajari dan kitab-kitab rujukan.



Disusuli pula dengan asrama santri Tafaqquh dan Tahfiz


Tidak terhenti di sini, Maahad Az-Zein sebagaimana yang diketahui merupakan Maahad 'Ali (Pengajian Tinggi). Apabila pengajian tinggi, kebiasaanya terdapat santri yang sudah berumahtangga. Begitu juga di Az-Zein, ada santrinya yang sudah berumah tangga dan ada yang sudah dikurniakan beberapa orang cahayamata. Justeru itu, penempatan untuk mereka yang sudah berumahtangga turut disediakan. Rumah-rumah ini disebut Bait Usrah.


Tidak ketinggalan terdapat kandang kambing di hujung Maahad sebagai tempat menternak kambing. Kambing itu kemudiannya di jual atau di sembelih sendiri untuk beberapa majlis di Maahad.

Rasanya cukuplah sekadar paparan ini, terdapat beberapa lagi kawasan yang tidak saya tunjukkan.(penat nak upload gambar huhu..)

Baiklah, itu sahaja untuk kali ini,
Selamat berpuasa.
Wassalam.

Sunday, January 3, 2010

Walimatul Arus


Assalamualaikum.

Pengunjung scene-r yang dihormati,

InsyaAllah saya akan melagsungkan akad nikah pada 21 Safar 1431 bersamaan 6 Februari 2010.Dijemput kepada semua yang mengenali untuk sama-sama memeriahkan majlis walimah kami pada 7hb Februari 2010 bertempat di Dewan Kompleks Belia Cheras Kuala Lumpur. Doakan semoga pernikahan kami ini diberkati Allah dan berkekalan selamanya.Amin Ya Rabbal A'lamin.

Ucapan Doa untuk pengantin:

بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير

Terima kasih atas doa kalian..Jazakumullah khairan

Tuesday, September 29, 2009

Daripada bersalaman berpindah kepada pernikahan

Assalamualaikum
Taqabbalallah minna wa minkum kepada pengunjung yang di kasihi.

Ramai orang yang balik beraya. Ramai juga yang mengirim soalan melalui sms kepada saya (ada ke patut kirim soalan…kirimla kad raya ke..duit raya ke..kuih raya ke..baju raya ke..) tentang boleh tak salam dengan makcik ni, boleh tak salam dengan pakcik ini, nenek saudara ke, kakak nenek, isteri pakcik dsb.

Soalan ini adalah soalan ramalan yang biasanya keluar setiap tahun.(muqarrar)

Jadi, di sini saya nyatakan keutamaan bersalaman dan batasan bersalaman.


عن حذيفة بن اليمان – رضى الله عنه - عن النبى صلى الله عليه وسلم قال :
إن المؤمن إذا لقى المؤمن فسلم عليه و أخذ بيده فصافه تناثرت خطاياهما كما يتناثر ورق الشجر – رواه طبرانى-

Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a daripada Baginda Nabi s.a.w berkata:
Seorang mu’min apabila bertemu dengan seorang mu’min kemudian memberi salam kepadanya dan mengambil tangannya kemudian bersalaman. Maka berguguranlah dosa kesalahan mereka berdua sebagaimana berguguran daunan pokok.

عن البراء -رضى الله عنه - قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يتفرقا

Daripada Al-Barra’ r.a – Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak berlaku dua orang muslim yang berjumpa kemudian bersalaman melainkan akan diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah.

Banyak lagi hadis yang menerangkan tentang keutamaan bersalaman. Namun ia di batasi dengan hadis

قالت عائشة أم المؤمنين – رضى الله عنها :-
وما مست كف رسول الله صلى الله عليه وسلم كف امرأة قط

Berkata Saidatina ‘Aisyah Ummul Mu’minin r.a:
Tidak pernah langsung telapak tangan Baginda Rasulullah s.a.w menyentuh telapak tangan wanita.

Ini menunjukkan bahawa ada panduan dalam bersalaman. Bukanlah harus semata-mata dan bukan haram semata-mata berdasarkan kaedah.


كل عضو حرم النظر إليه : حرم مسه ولا عكس إلا الفرج فإنه يحرم نظره في وجه و يجوز مسه بلا خلاف

Setiap anggota yang haram dilihat haram juga disentuh, berbeza dengan sebaliknya (iaitu setiap anggota yang haram disentuh tidak semestinya haram dilihat) kecuali kemaluan, kerana kemaluan itu haram dilihat - menurut sesuatu pandangan - dan boleh disentuh tanpa khilaf.
(ruj. Al-Asybah wa An-Nazo’ir m.s811 cet Dar-Salam)

Baiklah, untuk mengetahui siapa yang boleh dan siapa yang tidak boleh kita bersalaman, perlulah kita mengetahui siapakah mahram kita.

(mahram yer bukan muhrim..muhrim itu maknanya orang yang berihram, jangan salah tanya lagi)

Rumusan mahram bagi lelaki.

Mahram hubungan tali kekeluargaan.

1. Ibu
2. Anak perempuan
3. Adik beradik perempuan
4. Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki.
5. Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan.
6. Makcik (adik beradik ibu)
7. Makcik (adik beradik bapa)

Mahram dengan sebab susuan dan musoharah (perkahwinan)

1. Ibu mertua
2. Anak tiri perempuan
3. Isteri bapa (ibu tiri)
4. Menantu perempuan.
5. Isteri atuk (nenek tiri)

(ruj. Al-Majmuk jilid 2 m.s 35 Dar-Fikr cet.2000)


Huraian mahram bagi lelaki.

Haram nikah kerana nasab iaitu kerabat ada 7
(perincian dari surah An-Nisak ayat 23)

1) Ibu
- Setiap yang melahirkan kamu – iaitu ibu kandung kamu
- Begitu juga ibu kepada ibu kamu (nenek) dan ke atas (ibu kepada nenek dan ke atas)
- Begitu juga dari bahagian bapa – seperti ibu kepada bapa (iaitu nenek sebelah bapa) dan nenek-nenek bapa.

2) Anak perempuan

- Setiap anak perempuan kandung kamu.
- Setiap anak perempuan yang lahir daripada anak kandung kamu (iaitu cucu perempuan)


3) Adik beradik perempuan

- Setiap perempuan yang lahir daripada ibu bapa kamu atau salah seorang daripada kedua-duanya.
- Bernikah dengan mereka haram sama ada adik beradik perempuan sebapa atau seibu atau adik beradik sebapa dan seibu.

4) ‘Ammah - Makcik (adik beradik bapa)

- Mereka adalah adik beradik bapa, sama ada adik beradik sebapa seibu atau adik beradik sebapa atau adik beradik seibu.
- Kemudian ‘Ammah (makcik) kepada bapa dan ‘Ammah (makcik) kepada ibu.
- ‘Ammah (makcik) kepada atuk dan ‘Ammah (makcik) kepada nenek.

5) Kholah - Makcik (adik beradik ibu)

- Mereka adalah adik beradik ibu, sama ada adik beradik sebapa seibu atau adik beradik sebapa atau adik beradik seibu.
- Kemudian kholah (makcik) kepada bapa dan kholah (makcik) kepada ibu.
- Kholah (makcik) kepada atuk dan kholah (makcik) kepada nenek.

6) Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki.

- Anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki, sama ada adik beradik lelaki sebapa seibu atau adik beradik lelaki sebapa atau adik beradik lelaki seibu
-Kemudian, anak perempuan kepada anak lelaki daripada adik beradik lelaki (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik lelaki).
-Anak perempuan kepada anak perempuan daripada adik beradik lelaki (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik lelaki).
-Dan ke bawah (iaitu cicit perempuan daripada adik beradik lelaki).


7) Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan.

- Anak saudara perempuan daripada adik beradik perempuan, sama ada adik beradik perempuan sebapa seibu atau adik beradik perempuan sebapa atau adik beradik perempuan seibu.
- Begitu juga anak perempuan kepada anak lelaki daripada adik beradik perempuan (iaitu cucu perempuan daripada adik beradik perempuan).
- Anak perempuan kepada anak lelaki daripada anak perempuan daripada adik beradik perempuan (iaitu cicit perempuan daripada adik beradik perempuan)
- Dan ke bawah.


Haram sebab Musoharah (perkahwinan)


1) Ibu kepada isteri (ibu mertua)

-sama ada sudah bergaul dengan isteri atau belum.
-Ibu mertua seperti ibu kandung kamu.
-sama ada ibu kandung isteri kerana nasab atau ibu susuan.
-Begitu juga haram ke atas lelaki setiap yang bersambung kepada isterinya dari kalangan nenek (iaitu nenek-nenek yang bersambung daripada isteri). Nenek daripada bapa isteri atau nenek daripada ibu isteri.

2) Anak perempuan isteri (anak tiri)

-Tidak menjadi haram (muabbad) kecuali setelah bersama dengan isteri.

Masalah:
[Berkahwin dengan seseorang wanita tetapi tidak dukhul (tidak jimak) kemudian bercerai, maka dia boleh berkahwin dengan anak perempuannya (bekas anak tiri).

Tetapi jika sudah dukhul, maka dia tidak boleh berkahwin dengan anak tirinya walaupun setelah diceraikan ibunya.

Manakala apabila berkahwin dengan seorang perempuan maka tidak boleh berkahwin dengan ibunya buat selama-selamanya (ibu mertua adalah haram muabbad) sama ada dukhul atau tidak dukhul]

3) Isteri anak lelaki (menantu)

- Begitu juga isteri kepada anak lelaki anak kamu (isteri cucu kamu)
-Dan ke bawah dengan sebab nasab atau susuan.

4) Isteri bapa (ibu tiri)

- Termasuk juga isteri bapa (ibu tiri) dan isteri atuk (nenek tiri) dan ke atas daripada pihak bapa atau ibu atau kedua-duanya. Diharamkan juga berkahwin dengan isteri bapa daripada susuan.

5) Menghimpunkan isteri antara dua adik beradik.

Kelima-lima pengharaman tersebut bersumber dari Al-Quran dan terdapat dua sumber pengharaman daripada Sunnah iaitu:

1) Menghimpunkan antara isteri dan ‘Ammahnya (makcik daripada adik beradik bapa)
2) Menghimpunkan antara isteri dan Kholahnya (makcik daripada adik beradik ibu)

(ruj. Al-Majmuk jilid 17 m.s 377- 379 Dar-Fikr cet.2000)


[Contoh masalah]

1.Bolehkah biras (pihak lelaki) berkahwin dengan biras (pihak perempuan)?

Contoh: Ayah isteri telah lama meninggal manakala ibu suami juga telah lama meniggal. Bolehkah ayah isteri berkahwin dengan ibu suami?

Jawapan: Boleh

2.Seorang ayah berkahwin dengan seorang wanita janda yang mempunyai anak perempuan. Bolehkah anak lelakinya berkahwin dengan akak atau adik tirinya?

Jawapan:

a) Boleh sekiranya akak atau adik tirinya itu adalah anak hasil perkahwinan ibu tiri dengan bekas suami lamanya.

b) Tidak boleh sekiranya akak atau adik tirinya itu adalah anak hasil daripada perkahwinan ayahnya dengan ibu tirinya. Kerana mereka adalah adik beradik sebapa.

3. Bolehkah suami berkahwin dengan bekas ibu tiri isteri?

Jawapan: Boleh kerana ibu tiri isteri bukanlah ibu kandung isteri dan bukanlah ibu susuan isteri.

4. Bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan bekas ibu tirinya?

Jawapan: Tidak boleh kerana ibu tiri adalah haram muabbad.

5.Bolehkah seorang anak berkahwin dengan salah seorang adik beradik ibu tirinya?

Jawapan: Boleh.

6. Bilakah saya akan berkahwin?

Jawapan: …hurm…bila sampai jodoh.


Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Taqabbalallah minna wa minkum, selamat hari raya dan selamat juga hari-hari yang lain selama-lamanya kepada semua.

Kosong : Kosong

Maaf tidak sempat untuk meletak artikel terkini kerana kesibukan.
Terima kasih atas kunjungan kalian.

Friday, August 7, 2009

Apabila Imam sudah berdiri di atas mimbar

Jam menunjukkan pukul 1:05 petang.

Kedengaran azan jumaat berkumandang menerusi corong-corong pembesar suara Masjid Abu Bakar yang merupakan sebuah masjid negeri yang terletak bersebelahan dengan Maahad.

Dalam masa yang sama Ariff salah seorang pelajar Maahad Johor tampak segak bersongkok hitam, berbaju melayu putih teluk belanga bersamping sekolah berwarna ungu , sambil mengenakan minyak wangi jenis misk asfar dari mesir yang lembut aromanya bersiap-siap untuk ke masjid.

Dia terus bergegas keluar dari asrama setelah mendengar azan kedua berkumandang.Tidak seperti rakan-rakannya yang lain, Ariff terlewat sedikit akibat sakit perut kesan daripada termakan kuih bom berminyak pagi itu.

Sementara itu Ariff terserempak dengan jiran rumahnya yang baru turun dari teksi sedang membayar wang tambang di hadapan pintu masuk gerbang masjid.

“Assalamualaikum.Eh, makcik Bedah rupanya. Makcik buat apa kat sini?.” Ariff menyapa.

“Waalaikumussalam. Ini ha, makcik nak belikan cincau untuk Pak Mat kamu. Dia mengidam cincau pula.Itu yang makcik ke sini.” Ariff menganggukkan kepalanya.

Pak Mat merupakan suami kepada makcik Bedah yang ditimpa kemalangan jalan raya minggu lalu terlantar di Hospital Sultanah Aminah yang terletak tidak jauh dari masjid.

Seketika Ariff mengalihkan pandangannya melihat sekumpulan rombongan satu bas berhenti singgah untuk membeli minuman di sebuah van berwarna putih milik Mak Mah dan suaminya Pak Leman penjual minuman cendol dan cincau ais di penjuru pagar masjid.Turut kelihatan beberapa orang jemaah lain yang tidak ketinggalan sibuk beratur menunggu giliran untuk membeli air minuman Mak Mah dan Pak Leman yang sedap itu.

“Baiklah makcik, saya nak masuk ke dalam. Sudah lewat ni. Saya minta diri dulu.”

“Baiklah.” jawab makcik Bedah.

“Sampaikan salam saya pada Pak Mat. Syafahullah. Assalamualaikum “ sambil mengangkat tangan dan mengukir senyuman ke arah makcik Bedah Ariff terus beredar masuk ke masjid.

“Waalaikumusalam” jawab makcik Bedah.

-tamat-

Hadirin pengunjung scene-r yang dihormati,

Sebenarnya saya tidak bercadang untuk menulis cerpen apatah lagi membuat drama.Namun, apa yang saya cuba ketengahkan ialah beberapa hukum jual beli pada hari jumaat yang boleh di ambil menerusi cerita yang saya lakarkan sebentar tadi.

Para Ulama tidak berselisihan dalam pensyariatan azan sejurus selepas imam berdiri di atas mimbar. Malahan, azan inilah sebagai tanda larangan sebarang bentuk transaksi jual beli dan perintah untuk bersegera mengingati Allah s.w.t.

Sebagaimana Firman Allah s.w.t :

يا أيها الذين آمنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

Maksudnya : “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (pergi ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli .Yang demikian itu adalah baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9).

Azan pada zaman Rasulullah s.a.w ialah azan selepas Imam duduk di atas mimbar.

Terdapat perselisihan ulama dalam menentukan waktu larangan jual beli pada hari jumaat. Imam Ahmad berpendapat bahawa jual beli diharamkan bermula dari tergelincirnya matahari walaupun imam belum duduk di atas mimbar. Pendapat ini tidak diterima oleh sebahagian ulama kerana Allah s.w.t telah mengaitkan (ayat kewajipan bersegera itu) dengan seruan azan, bukanlah dengan waktu tergelincirnya matahari (rumusan Al-Mughni ms 162-163).

Melalui kisah yang saya paparkan sebentar tadi, Ariff keluar selepas azan kedua berkumandang menandakan imam telah duduk di atas mimbar.Ini bermakna, segala bentuk transaksi jual beli yang berlaku pada waktu itu adalah diharamkan.

Perlu kita ketahui bahawa larangan ataupun pengharaman jual beli ini hanyalah khusus kepada mereka yang diwajibkan jumaat keatasnya.

Persoalan : Jikalau begitu, siapakah yang tidak termasuk di dalam larangan jual beli tersebut?

Orang yang tidak termasuk di dalam larangan ini ialah mereka yang tidak diwajibkan jumaat seperti wanita, kanak-kanak, orang yang bermusafir dan orang yang sakit.

Melalui contoh cerita tadi, mereka yang tidak diwajibkan jumaat ialah : Makcik Bedah (wanita) , Pak Mat (orang yang sakit), sekumpulan rombongan yang bermusafir.

Persoalan : Bagaimana pula dengan Mak Mah. Bukankah Mak Mah juga wanita?

Sekiaranya Mak Mah menjual air kepada Makcik Bedah, sekumpulan orang yang bermusafir, kanak-kanak maka ia dibolehkan.

Manaka, sekiranya Mak Mah menjual kepada jemaah lain yang terdiri daripada mereka yang diwajibkan jumaat maka hukumnya adalah makruh bagi Mak Mah dan haram bagi pembeli. Namun, ada pendapat yang mengatakan kedua-dua transaksi jual beli antara Mak Mah dan jemaah yang diwajibkan jumaat adalah haram kerana membantu dalam membuat dosa.

Firman Allah s.w.t :

ولا تعاونوا على الإثم والعدوان
Maksudnya : “ Dan Janganlah kamu saling bantu membantu dalam membuat dosa dan permusuhan” (surah Al- Maidah :2).(rujukan Al-Mughni m.s 174, Al-Fiqh Islami m.s 1284)

Rumusan masalah ini :

1) Makruh atau haram bagi orang yang tidak diwajibkan jumaat berurusniaga dengan orang yang diwajibkan jumaat.

2) Harus orang yang tidak diwajibkan jumaat berurusniaga dengan orang yang tidak diwajibkan jumaat. Contohnya : wanita – wanita , wanita- musafir.

3) Haram bagi orang yang diwajibkan jumaat berurusniaga dengan sesiapa sahaja.

Persoalan : Jika berlaku juga transaksi jual beli tersebut setelah azan. Adakah jual beli ketika itu sah atau menjadi batil ?

Ulama berbeza pendapat dalam perkara ini antaranya :

Pendapat Hanafiah mengatakan : Jual beli tersebut sah tetapi makruh tahriman.

Manakala pendapat Syafieah: Jual beli tersebut sah tetapi haram.

Pendapat Malikiah pula mengatakan : Jual beli tersebut adalah fasid dan perlu difasakhkan dan

Pendapat Hanabilah mengatakan : Jual beli tersebut tidak sah. (ruj . Fiqh Islami m.s 1248)

Hadirin pengunjung yang dikasihi,

Perlu kita ketahui, terdapat akad lain selain daripada akad jual beli seperti akad sewa, nikah , suluh dan sebagainya.

Dalam cerita di atas, Makcik Bedah menyerahkan wang tambang kepada pemandu teksi merupakan akad ijarah (sewa).

Persoalan : Adakah akad sewa termasuk dalam larangan ini?. Bagaimana pula pemandu-pemandu teksi yang masih berurusniaga waktu itu?.

Ulama berbeza pendapat dalam perkara ini kepada beberapa pendapat :

Pendapat Hanafiah mengatakan : Makruh Tahriman

Jumhur Ulama mengatakan haram menyibukkan diri daripada menghadiri jumaat dengan (segala bentuk ) jual beli ataupun akad selainnya seperti sewa, nikah , suluh dan seluruh bentuk pekerjaan setelah disyariatkan azan. (ulama mengatakan haram kerana mengkiaskan akad jual beli dengan akad yang lain).

Walauagaimanapun, Ulama Hanabilah berpendapat : tidak haram selain daripada akad jual beli seperti sewa,suluh dan nikah kerana larangan hanya dikhusukan untuk jual beli sahaja.

(ruj .Fiqh Islami m.s 1283, Al-Mughni m.s 164 , Mughni Muhtaj m.s 651)

Hadirin sekalian,

Sampai bilakah pengharaman jual beli ini?

Pengharaman jual beli kepada mereka yang wajib jumaat hanyalah sehingga selesai solat jumaat sahaja. Pengharaman ini tidaklah berterusan sampai ke malam.

Firman Allah s.w.t :

فإذا قضيت الصلاة فانتشروا في الأرض وابتغوا من فضل الله واذكروا الله كثيرا لعلكم تفلحون
Maksudnya : “Apabila kamu telah selesai menunaikan solat (Jumaat) maka bertebaranlah kamu di permukaan bumi dan carilah kurnia Allah serta ingatlah Allah sebanyaknya,semoga kamu mendapat kejayaan". (Al-Jumuah :10)

Cukuplah sekadar itu paparan untuk kali ini.

Apabila Imam sudah berdiri di atas mimbar
Diperintah diam bukan tidur
Apatah lagi sampai berdengkur
Dengarlah dengan khusyuk bertafakkur
Ta`ammul dan tadabbur.

Wallahu a`lam.

Sunday, August 2, 2009

Sudah ditakdirkan dia lahir berkepala dua


Assalamualaikum,

Sidang pengunjung sekalian,

Tatkala saya membaca akhbar bertajuk “Lagi bayi dua kepala dilahirkan” yang disiarkan di layar http://www.kosmo.com.my 30 Julai lalu membuatkan saya terkenang suatu ketika dahulu tentang pengajian berkenaan wudhuk bagi manusia berkepala dua.Allah s.w.t Maha Berkuasa menciptakan sesuatu dengan kehendakNya.

Ulama silam telah membahaskan permasalahan wudhuk bagi manusia berkepala dua atau berwajah dua dsb yang berkemungkinan masalah ini wujud pada zaman mereka ataupun suatu andaian ia berlaku di zaman kita seperti yang kita lihat kewujudannya silih berganti sebagaimana yang dilaporkan di dada akhbar tersebut.

 “Selepas bayi dua kepala meninggal dunia di Pekanbaru, Indonesia kini muncul bayi yang sama tetapi dilahirkan di Filipina kelmarin. Secara kebetulan, bayi dua kepala di Filipina itu lahir pada hari kematian bayi berkepala dua lelaki di Indonesia”.

Baiklah,
Berbalik kepada permasalahan wudhuk untuk mereka yang ditakdirkan lahir sebegini.Mari kita buka bersama kitab Muqaddimah Hadhramiah di dalamnya, kita akan menemukan nas

“Apabila di ciptakan seseorang itu berwajah dua maka perlulah dibasuh kedua-dua wajahnya ataupun seseorang yang diciptakan berkepala dua maka perlulah diusap salah satu daripada kedua-dua kepala tersebut kerana kedua-duanya itu disebut sebagai wajah dan kepala”

Di sini kita menemukan beberapa permaslahan :

Pertama : membasuh muka bagi seseorang berwajah dua –tidak kira sama ada seseorang itu memiliki satu kepala dan dua wajah ataupun dua kepala dan dua wajah dalam satu jasad.

Kedua : membasuh kepala bagi seseorang yang berkepala dua.

Untuk merungkai nas di atas, saya cuba merumuskan daripada kitab Al-Hawasyi Al-Madaniyyah halaman 65.


Sebahagian ulama membezakan di antara wajib membasuh kedua-dua wajah dan memadai dengan mengusap salah satu daripada kepala.Tiada beza pada (wajib basuhan pada wajah) sama ada kedua-dua wajah itu adalah wajah asal ataupun salah satunya wajah asal dan yang satu lagi adalah wajah tambahan walaupun wajah itu terbentuk.

Rumusan pendapat ini : untuk basuhan muka, wajib membasuh keseluruh wajah sama ada wajah itu ada dua ataupun salah satunya wajah asal dan satu lagi adalah wajah tambahan,walaupun tambahan itu berbentuk wajah.Wajib basuh keseluruhan apa yang dinamakan sebagai wajah termasuk wajah tambahan.

Sebagai contoh : Di andaikan seseorang yang memiliki satu kepala dan dua wajah maka wajib ke atasnya membasuh kesemua wajahnya termasuk wajah tambahan. Begitu juga seseorang yang memiliki dua kepala dan dua wajah maka wajib ke atasnya membasuh kedua-dua wajahnya.

Berbeza dengan pendapat Imam Al-Jamal Ar-Ramli yang mengatakan:

“Sekiranya seseorang itu diciptakan dua wajah dan salah satu daripadanya adalah wajah tambahan tetapi dapat dibezakan (antara wajah asli dan wajah tambahan) maka wajib membasuh wajah yang asli sahaja (tidak wajib membasuh wajah tambahan).Manakala sekiranya wajah tambahan itu serupa dengan wajah yang asli maka wajib membasuh kedua-dua wajah tersebut (wajib membasuh wajah asli dan wajah tambahan)”

Sebagai tambahan pecahan masalah.

Sekiranya seseorang itu diciptakan dua wajah; salah satunya menghadap hadapan manakala wajah satu lagi menghadap belakangnya.

Imam Asy-Syihab Ar-Ramli memfatwakan bahawa yang wajib dibasuh adalah wajah yang menghadap hadapan.

Namun , ulama berikutnya memperincikan lagi nas ini dengan menambah :benar, itu sekiranya wajah tersebut merupakan pancaindera yang tidak berderia atau tidak berfungsi manakala sekiranya pancaindera wajah tersebut berfungsi maka wajib membasuhnya.

Rumusan;
Kebanyakan pendapat Ulama mengatakan wajib membasuh kesemua yang disebutkan sebagai wajah

Sebagaimana firman Allah s.w.t 
“Apabila kamu ingin mendirikan solat maka basuhlah wajah kamu”

Bermakna, seseorang yang memiliki satu kepala dan dua wajah ataupun dua kepala dan satu wajah maka wajib keatasnya membasuh kedua-dua wajahnya.

Berbeza dengan usapan kepala kerana usapan kepada memadai dengan mengusap salah satu daripada dua kepala kerana ia disebut kepala.

Sebagaimana firman Allah s.w.t 

“….dan usaplah kepala kamu ”

Perbezaannya jika berwajah dua : kedua-duanya disebut sebagai wajah manakala kepala, memadai dengan satu kepala kerana ia disebut kepala (salah satunya kepala dan satu lagi juga kepala).Namun untuk mendapatkan sunnah usaplah keseluruhan kepala kerana ia akan bersinar (scene-r) pada hari kiamat.Baginda Rasulullah s.a.w akan mengenal umatnya pada hari kiamat dengan tanda ”Ghurrun Muhajjalun” kesan daripada basuhan wudhuk.

Cukuplah sekadar itu perkongsian tentang tatacara basuhan wudhuk wajib kepada manusia berkepala dua atau berwajah dua.

Terfikir juga bagaimana mereka yang berkepala dua ini mungkin berlaku satu melihat di sini satu melihat di sana, satu makan satu minum, sama-sama bersembang dengan dirinya atau dengan orang yang berasingan.Mungkin ada mudahnya masa-masa peperiksaan tatkala kesuntukan waktu satu membacaa muka surat sebelah satu lagi membaca muka berikutnya.Maklumlah ada dua kepala dua otak,empat mata dan kelebihan-kelebihan yang lain.Allah sahaja Maha mengetahui hikmah di sebalik ciptaanNya.

Wallahu A’lam.

Tuesday, June 16, 2009

Talaqqi -Program Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki di Negeri Sembilan

Assalamualaikum,

Sidang pengunjung yang dikasihi sekalian,

bersumberkan dari blog http://majlisilmu.blogspot.com/2009/06/program-syaikh-nuruddin-marbu-al.html

maklumat pengajian bersama Guru Murabbi saya iaitu Syaikhuna Maulana Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al- Makki adalah sebagaimana di bawah :

**************************************************************************


Program Syaikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki di Negeri Sembilan

Program Tuan Guru Syaikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki di Negeri Sembilan Darul Khusus adalah seperti berikut:

Tarikh: 25 Jumadilakhir 1430H/19 Jun 2009 (Jum'at)
Masa: Selepas Maghrib
Lokasi: Taman Kiambang Indah, Seremban - bersama mufti baru N9 dan mantan mufti N9

Tarikh: 26 Jumadilakhir 1430H/ 20 Jun 2009 (Sabtu)
Masa: Selepas sholat Shubuh (kuliah shubuh)
Lokasi: Surau al-Amin, Taman Cempaka, Seremban

Masa: 9.00 pagi - 11-00 pagi
Lokasi: Pusat Da'wah Islamiah, Seremban (bersama Mufti Negeri Sembilan)

Masa: Lepas sholat Maghrib
Lokasi: Masjid Sendeng, Jalan Ampangan - Jelebu, Seremban

Pada 27 Jumadilakhir 1430H/21 Jun 2009 (Ahad) - beliau akan berada di Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor, Darul Ehsan. Pengajian bermula jam 9.00pagi - 12.30 tengahari.

****************************************************************************

Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki merupakan guru yang paling banyak mendidik scene-r dan beliau merupakan guru yang "MURABBI"

"tidak kenal maka tidak cinta"

Jadi, bagi pengunjung yang belum mengenali beliau bolehlah melihat sendiri biografi beliau serba sedikit di sini , di sini , dan di sini.

Bagi mereka yang masih diberikan Allah kesempatan waktu, tempat, tenaga , wang , kenderaan dsb.

Apa tunggu lagi?

Rebutlah peluang keemasan untuk bertalaqqi bersama beliau kerana majlis ilmu itu merupakan taman-taman syurga.Syurga itu pula, di dalamnya terdapat pohonan dan buah-buahan serta terdapat sungai yang mengalir tanpa penghujungnya yang tiada bandingannya di muka bumi ini.

Beruntunglah mereka yang mendapatkan doa daripada seluruh makhluk ciptaan Allah s.w.t di langit dan di bumi yang terdiri daripada Malaikat ,tumbuh-tumbuhan , haiwan, burung, ikan, dsb. Ketahuilah bahawa, kesemuanya ini mendoakan kepada mereka yang bergelar "PENUNTUT ILMU".Berbahagialah.

[maaflah kepada kawan-kawan yang tidak puas hati dengan makluman yang scene-r buat ni terkadang macam iklan jual produk, tapi bukankah iklan sebegini lebih menguntungkan kerana menanam saham akhirat itu lebih tinggi nilainya.- bukan apa, scene-r cuma teringat massej di shout box pada 22 May 09, 22:04 oleh: hari mau hujan: haiya lu suh semak alah kiblat mcm mahu plomote lu pny blg jualan lo..]

wassalam

Monday, June 1, 2009

Rukun Syahadah (persaksian)

Sidang pengunjung yang saya kasihi,

InsyaAllah pada pertemuan kali ini saya cuba mengupas serba sedikit tentang rukun Syahadah.

InsyaAllah saya cuba sampaikan dalam bentuk yang ringan supaya mudah difahami oleh orang awam.

Sedia maklum solat ada rukunnya,puasa ada rukunnya,zakat ada rukunnya, haji juga ada rukunnya, begitu juga dengan masalah Syahadah (persaksian).

Persaksian boleh berlaku di dalam perniagaan, kes-kes kekeluargaan, jenayah dsb.Malah ketika Al-Quran dibukukan juga persaksian sangat diperlukan untuk memastikan kebenaran ayat yang hendak dibukukan.Jadi dalam semua jenis persaksian ada beberapa rukun yang mesti ada dalam sesuatu persaksian.

Rukun Syahadah di bahagikan kepada 5 :
1) Syahid. (orang yang bersaksi)
2) Masyhud Lahu. (sesuatu yang diperjuangkan dalam persaksian)
3) Masyhud Alaih. (sesuatu yang ditentang dalam persaksian)
4) Masyhud Bihi. (isi atau tujuan persaksian)
5) Sighah. (teks persaksian)

Sebagai contoh mudah :

Baru-baru ni penyokong-penyokong bolasepak seluruh dunia menyaksikan bahawa MU dibantai teruk oleh BARCA dengan 2-0.

Persoalannya, adakah ada orang lain yang menentang kebenaran bahawa barca menang?

Jika ada,maka barulah boleh buat persaksian.

dengan lafaz "Kami bersaksi bahawa BARCA menang menentang MU"

"Walaupun saya tidak minat bola dan tidak juga menyokong mana-mana pemain tetapi saya secara sengaja atau sahaja aku mendatangkan contoh ini untuk mudah difahami."


(scene-r bukan kaki bangku eih, scene-r tak minat bola.tak baik tau tuduh2 orang, nanti masuk bab persaksian baru tau).

Baiklah,berbalik kepada topik

Syahid dalam contoh ini ialah KAMI "penonton atau penyokong seluruh dunia yang bersaksi kemenangan BARCA".


Masyhud Lahu ialah BARCA

Masyhud Alaih ialah penyokong MU (penentang-penentang BARCA yang tidak mengakui kemenangan BARCA sehingga menuduh yang bukan-bukan.Ada yang menuduh orang-orang BARCA rasuah.Ada yang menuduh MU sahaja memberi peluang pada BARCA sebab MU dah banyak kali menang,MU dah banyak piala dah.

Masyhud bihi ialah ithbat kemenangan BARCA

Sighah ialah "Kami bersaksi bahawa BARCA menang "

Di sini kita dapati walaupun BARCA menang menewaskan MU, namun ada juga penentang yang menafikan kemenangan mereka, walaupun sudah jelas-jelas ramai orang yang menyaksikan kemenangan dalam pertarungan tersebut dengan bukti-bukti yang kukuh melalui siaran langsung yang bersumberkan daripada media cetak dan eletronik.

(scene-r yakin ramai yang tidak puas hati dengan scene-r,biasalah, untuk menzahirkan kebenaran ini biasanya memang ramai sahaja yang menentang.Bermakna penentang-penentang scene-r di sini disebut sebagai Al-Masyhud Alaih)

Pengunjung boleh mendatangkan sendiri contoh-contoh lain seperti politik di tanahair ada yang menang dan ada juga yang mengingkari dsb.

Sidang pengunjung yang disayangi lagi dihormati,

Di dalam persaksian keimanan, kita bersaksi bahawa keesaan Allah s.w.t dan kerasulan Baginda s.a.w namun dalam masa yang sama, ada orang yang menafikannya dengan mewujudkan pertikaian oleh orang-orang yang syirik dan kafir mengingkarinya.

Suka saya mendatangkan kalam Ulama yang saya nukilkan daripada kitab Al-Thimar Al-Yani'ah fi Riyadhi Al-Badi'ah oleh Syaikh Muhammad Nawawi Al-Jawi Al-Bantani (Jakarta) At-Tanawi (nama wilayah) yang merupakan Alimul HIjjaz.


Beliau mengatakan bahawa,




Rukun syahadah itu ada lima = Syahid, Masyhud Lahu ,Masyhud Alaihi, Masyhud Bihi dan Sighah.

As-Syahid ialah orang yang mengesakan Allah s.w.t dan orang yang beriman dengan Risalah Rasulullah s.a.w.

Al-Masyhud Lahu ialah Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w

Al-Masyhud Alaihi ialah penentang keesaan Allah s.w.t (orang-orang yang Syirik dan Kafir)dan penentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Al-Masyhud Bihi ialah Ithbat (penetapan,pengakuan, mensabitkan) Keesaan Allah s.w.t dan Ithbat kerasulan Nabi Muhammad s.a.w

Sighah ialah pengakuan dengan lisan (lafaz dua kalimah Syahadah)

Hadirin yang dihormati,

Melihat kepada keesaan Allah s.w.t dan kerasulan Baginda s.a.w. Semua orang telah tampil membuat persaksian namun tetap ada penentang-penentangnya yang kufur dan syirik walaupun telah didatangkan bukti-bukti yang kukuh melalui Asdiqal Hadith iaitu kitabullah (Al-Quran) dan melalui Penyampai yang tidak pernah bercakap mengikut hawa (Kalam Lisan Rasulullah s.a.w).

Cukup sekadar itu,

Mudah-mudahan ada manfaatnya.
Wassalam.

Saturday, May 30, 2009

Sahaja

Apa pula tajuk entry kali ni tentang “sahaja” yang memang sahaja saya buat rentetan daripada apa yang saya maksudkan di short box di dalam blog kak CT (kak Norhafizah Madzlan) untuk menjawab soalan tetamunya linimarlini yang bertanyakan tentang persediaan sebelum mendirikan rumahtangga.saya katakan berniatlah kerana ramai pasangan yang mendirikan rumahtangga tanpa niat.

Alangkah eloknya jika sesuatu perkahwinan dijadikan suatu ibadah dan bukan tujuan nafsu semata-mata.Sesuatu yang membezakan antara adat dan ibadat adalah dengan niat.Ulama membahaskan lebih daripada kesemua masalah adalah berdasarkan dengan niat.

Sebagai contoh : apakah yang membezakan di antara membasuh muka biasa dengan membasuh muka untuk tujuan berwudhuk? tentulah dengan niat.Perbezaan di antara berdiri biasa dengan berdiri ketika solat,perbezaan di antara menahan diri tidak makan dengan berpuasa,begitu juga makan untuk tujuan ibadat,tidur untuk ibadat,bekerja mencari rezeki yang halal lagi baik kepada keluarga untuk ibadat,dan banyak lagi contoh lain yang kesemuanya bergantung kepada niat setiap individu.Justeru itulah, pernikahan juga perlu dimulakan dengan niat “sahaja”.

Apa yang saya pelajari daripada ulama mesir dan yaman, mereka selalunya menekankan terhadap niat perkahwinan.Saya pernah mendengar dari masyaikh Yaman bahawa lebih daripada 20 niat untuk kahwin.Kalaupun seseorang itu sudah tahu niat-niat kahwin, biasanya dia dianjurkan untuk berjumpa ulama atau bertanyakan apakah niat kahwin sebelum majlis akad dilangsungkan bagi mentathbitkan (menetapkan) hati terhadap tujuan dan matlamat sesuatu pernikahan.

Apabila kita perhatikan suasana dimajlis ijab dan qabul di tempat kita,mempelai akan diusik oleh rakan-rakan dan bersenda gurau sedangkan hari itu merupakan hari proses penyerahan tanggungjawab dan amanah yang besar yang bakal dipikul oleh kedua-dua mempelai.Bagaimana keadaan kita apabila kita menerima sesuatu tanggungjawab atau sesuatu watikah? Sempat lagi untuk ketawa suka, gembira, riang ria.

Bukan saya katakan tidak boleh gembira ketika itu,kerana hari itu merupakan hari yang paling gembira buat pasangan mempelai.

Alangkah eloknya, waktu yang singkat itu diperuntukkan sedikit masa untuk beristighfar dan menanam niat di dalam hati agar benar-benar kehidupan kita ini penuh dengan ibadat yang kita tidak sia-siakan.Setelah ijab qabul dilangsungkan, silakan sahaja untuk berkompang dan kenduri kendara mengisytiharkan perkahwinan tetapi biarlah mengikut landasan yang dibenarkan oleh syarak.

Pengunjung yang saya kasihi,

Memang benar apa yang kak CT katakan."berniatlah atau perbetulkan niat kerana apakah kita mahu berkahwin. Jika niat kita berkahwin adalah baik, maka baiklah jadinya insya ALLAH.."

Ada juga orang yang berkahwin untuk tujuan hasad dengki, ada juga kerana ingin merampas harta, membalas dendam ,menyiksa dsb tentulah kesemua niat ini menjadikan HARAM sesuatu perkahwinan kerana pernikahan untuk tujuan seperti ini boleh membawa mudharat kepada orang lain.

Pengunjung yang dihormati sekalian,

Senaraikanlah berapa banyak niat berkahwin.Bagi yang sudah berkahwin,tajdidkanlah (perbaharuilah) niat masing-masing moga kehidupan rumahtangga yang dibina berlandaskan dengan niat yang solehah.Mudah-mudahan juga kita semua dimasukkan ke dalam syurga dengan sebab perkahwinan kerana perkahwinan itu merupakan suatu ibadat.(insyaAllah moga Allah beri kekuatan pada saya untuk membincangkan bahawa perkahwinan itu suatu ibadat dipertemuan akan datang .InsyaAllah amin Ya Rabb)

Antara niatnya yang pertama ialah untuk menuruti perintah Allah s.a.w melalui jalan yang disyariatkan iaitu akad pernikahan yang sah.Bukan dengan jalan yang dimurkai itu zina.

Seterusnya ialah untuk mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w
Nabi kita bersabda

النكاح سنتى فمن رغب عن سنتي فقد رغب عنى وفى رواية فليس منى

Maksudnya : Nikah itu adalah Sunnahku.Barang sesiapa yang mengingkari sunnahku maka telah mengingkariku.Dalam riwayat lain maka dia bukanlah dari golonganku .

Berkahwinlah untuk tujuan mengikut sunnah Baginda s.a.w.

Lihatlah perkahwinan itu ibadat dan mendekatkan kita pada Allah s.w.t.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w kepada kaummu (katakan kepada kita) ) sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutlah aku (ikutlah Rasulullah s.a.w) nescaya Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni dosa kesalahan kamu

Mengikuti Baginda s.a.w tanda kita cinta pada Allah dan diantara cabang mengikuti Baginda s.a.w adalah dengan perkahwinan.
(jika kawan-kawan mengatakan mengapa scene-r sendiri belum beramal dengan sunnah yang satu ini? –scene-r cakap tak serupa bikin.Jawapannya mudah,bacalah entry sebelum ini)

Selain itu,niat berkahwin berharap untuk mendapatkan zuriat yang soleh dan solehah yang mendoakan kedua-dua orang tuanya.

Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud :
Setiap amalan anak adam akan terputus kecuali tiga : (antaranya)..anak soleh yang mendoakannya –al hadis

(scene-r mendoakan pembaca yang sudah memiliki anak,mudah-mudahan mendapat doa dari anak masing-masing, tidak lupa kita sebagai anak sepatutnya dan selayaknya mendoakan kedua-dua orang tua kita.Mereka juga mengharapkan doa daripada kita mudah-mudahan diterima Allah.)

اللهم اغفر لنا ذنوبنا ولوالدينا وارحم هما كما ربيانا ضغيرا أمين

Amin.
[usah resah dan putus asa dengan anak.mudah-mudahan mereka juga akan mendoakan kita kelak.amin.Teguran buat diri peribadi scene-r]

Dengan meniatkan supaya mendapat ramai zuriat tentunya dapat membanggakan Baginda s.a.w kerana memiliki umat yang ramai.Kesemua ini terhasil melalui satu jalan yang disyariatkan iaitu pernikahan yang sah.

Rasulullah s.a.w bersabda :

تناكحوا تكثروا فانى أباهى بكم الأمم يوم القيامة

Bernikahlah dan perbanyakkanlah (zuriat) sesunggunya aku berbangga kerana memiliki umat yang ramai di hari kiamat.

Kalaupun anak itu mati keguguran atau mati semasa kecil mudah-mudahan dia menjadi syafaat kepada kedua-dua orang tuanya.
Baginda s.a.w bersabda :

ان الطفل يجر بأبويه الى الجنة

Sesungguhnya bayi akan membawa kedua-dua orang tuanya ke syurga.

[alamak terpanjang pulak, saya cuba ringkaskan memandangkan waktu saya kini begitu berharga]

Antara niat lain ialah utuk menjaga pandangan baik pandangan dan hati sama ada buat bakal suami/ isteri.

Menyempurnakan separuh daripada agama.

Menjaga kehormatan lelaki dan perempuan.

Saling bantu membantu

Menyambung silaturahim antara keluarga lelaki dan keluarga perempuan.

Untuk memperoleh sakinah, mawaddah dan rahmah

Ada juga orang berkahwin niatnya adalah untuk tujuan menjaga pasangan.

Satu situasi seseorang lelaki warga tua yang hidup bersendirian dan seorang wanita yang kerap membantu menguruskan kehidupan hariannya.Daripada timbul fitnah ada yang sanggup berkahwin demi membantu menguruskan lelaki itu.Bagitu juga sebaliknya.

Ada juga yang berkahwin untuk tujuan ta’annus ( bersuka,bermesra atau bermanja)
Situasi yang hampir sama dengan situasi di atas iaitu situasi dimana seseorang lelaki dan perempuan yang sudah tiada nafsu lagi tetapi memerlukan pendamping hidup untuk menguruskan kehidupan harian.Ada tempat untuk bermanja dan ada tempat untuk meluahkan rasa dan berteman.Nama pun teman hidup.

Apapun,itulah serba sedikit niat dan matlamat berkahwin.Selamat pengantin baru buat Saudara Saiful (apull) my best friend dengan pasangannya serta Alin dan pasangannya pada 31 mei 2009 ( esok )
Barakallahu lakum wa baraka Alaikum , wajama’a bainakum fi khair –Amin.