email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Saturday, May 30, 2009

Sahaja

Apa pula tajuk entry kali ni tentang “sahaja” yang memang sahaja saya buat rentetan daripada apa yang saya maksudkan di short box di dalam blog kak CT (kak Norhafizah Madzlan) untuk menjawab soalan tetamunya linimarlini yang bertanyakan tentang persediaan sebelum mendirikan rumahtangga.saya katakan berniatlah kerana ramai pasangan yang mendirikan rumahtangga tanpa niat.

Alangkah eloknya jika sesuatu perkahwinan dijadikan suatu ibadah dan bukan tujuan nafsu semata-mata.Sesuatu yang membezakan antara adat dan ibadat adalah dengan niat.Ulama membahaskan lebih daripada kesemua masalah adalah berdasarkan dengan niat.

Sebagai contoh : apakah yang membezakan di antara membasuh muka biasa dengan membasuh muka untuk tujuan berwudhuk? tentulah dengan niat.Perbezaan di antara berdiri biasa dengan berdiri ketika solat,perbezaan di antara menahan diri tidak makan dengan berpuasa,begitu juga makan untuk tujuan ibadat,tidur untuk ibadat,bekerja mencari rezeki yang halal lagi baik kepada keluarga untuk ibadat,dan banyak lagi contoh lain yang kesemuanya bergantung kepada niat setiap individu.Justeru itulah, pernikahan juga perlu dimulakan dengan niat “sahaja”.

Apa yang saya pelajari daripada ulama mesir dan yaman, mereka selalunya menekankan terhadap niat perkahwinan.Saya pernah mendengar dari masyaikh Yaman bahawa lebih daripada 20 niat untuk kahwin.Kalaupun seseorang itu sudah tahu niat-niat kahwin, biasanya dia dianjurkan untuk berjumpa ulama atau bertanyakan apakah niat kahwin sebelum majlis akad dilangsungkan bagi mentathbitkan (menetapkan) hati terhadap tujuan dan matlamat sesuatu pernikahan.

Apabila kita perhatikan suasana dimajlis ijab dan qabul di tempat kita,mempelai akan diusik oleh rakan-rakan dan bersenda gurau sedangkan hari itu merupakan hari proses penyerahan tanggungjawab dan amanah yang besar yang bakal dipikul oleh kedua-dua mempelai.Bagaimana keadaan kita apabila kita menerima sesuatu tanggungjawab atau sesuatu watikah? Sempat lagi untuk ketawa suka, gembira, riang ria.

Bukan saya katakan tidak boleh gembira ketika itu,kerana hari itu merupakan hari yang paling gembira buat pasangan mempelai.

Alangkah eloknya, waktu yang singkat itu diperuntukkan sedikit masa untuk beristighfar dan menanam niat di dalam hati agar benar-benar kehidupan kita ini penuh dengan ibadat yang kita tidak sia-siakan.Setelah ijab qabul dilangsungkan, silakan sahaja untuk berkompang dan kenduri kendara mengisytiharkan perkahwinan tetapi biarlah mengikut landasan yang dibenarkan oleh syarak.

Pengunjung yang saya kasihi,

Memang benar apa yang kak CT katakan."berniatlah atau perbetulkan niat kerana apakah kita mahu berkahwin. Jika niat kita berkahwin adalah baik, maka baiklah jadinya insya ALLAH.."

Ada juga orang yang berkahwin untuk tujuan hasad dengki, ada juga kerana ingin merampas harta, membalas dendam ,menyiksa dsb tentulah kesemua niat ini menjadikan HARAM sesuatu perkahwinan kerana pernikahan untuk tujuan seperti ini boleh membawa mudharat kepada orang lain.

Pengunjung yang dihormati sekalian,

Senaraikanlah berapa banyak niat berkahwin.Bagi yang sudah berkahwin,tajdidkanlah (perbaharuilah) niat masing-masing moga kehidupan rumahtangga yang dibina berlandaskan dengan niat yang solehah.Mudah-mudahan juga kita semua dimasukkan ke dalam syurga dengan sebab perkahwinan kerana perkahwinan itu merupakan suatu ibadat.(insyaAllah moga Allah beri kekuatan pada saya untuk membincangkan bahawa perkahwinan itu suatu ibadat dipertemuan akan datang .InsyaAllah amin Ya Rabb)

Antara niatnya yang pertama ialah untuk menuruti perintah Allah s.a.w melalui jalan yang disyariatkan iaitu akad pernikahan yang sah.Bukan dengan jalan yang dimurkai itu zina.

Seterusnya ialah untuk mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w
Nabi kita bersabda

النكاح سنتى فمن رغب عن سنتي فقد رغب عنى وفى رواية فليس منى

Maksudnya : Nikah itu adalah Sunnahku.Barang sesiapa yang mengingkari sunnahku maka telah mengingkariku.Dalam riwayat lain maka dia bukanlah dari golonganku .

Berkahwinlah untuk tujuan mengikut sunnah Baginda s.a.w.

Lihatlah perkahwinan itu ibadat dan mendekatkan kita pada Allah s.w.t.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w kepada kaummu (katakan kepada kita) ) sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutlah aku (ikutlah Rasulullah s.a.w) nescaya Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni dosa kesalahan kamu

Mengikuti Baginda s.a.w tanda kita cinta pada Allah dan diantara cabang mengikuti Baginda s.a.w adalah dengan perkahwinan.
(jika kawan-kawan mengatakan mengapa scene-r sendiri belum beramal dengan sunnah yang satu ini? –scene-r cakap tak serupa bikin.Jawapannya mudah,bacalah entry sebelum ini)

Selain itu,niat berkahwin berharap untuk mendapatkan zuriat yang soleh dan solehah yang mendoakan kedua-dua orang tuanya.

Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud :
Setiap amalan anak adam akan terputus kecuali tiga : (antaranya)..anak soleh yang mendoakannya –al hadis

(scene-r mendoakan pembaca yang sudah memiliki anak,mudah-mudahan mendapat doa dari anak masing-masing, tidak lupa kita sebagai anak sepatutnya dan selayaknya mendoakan kedua-dua orang tua kita.Mereka juga mengharapkan doa daripada kita mudah-mudahan diterima Allah.)

اللهم اغفر لنا ذنوبنا ولوالدينا وارحم هما كما ربيانا ضغيرا أمين

Amin.
[usah resah dan putus asa dengan anak.mudah-mudahan mereka juga akan mendoakan kita kelak.amin.Teguran buat diri peribadi scene-r]

Dengan meniatkan supaya mendapat ramai zuriat tentunya dapat membanggakan Baginda s.a.w kerana memiliki umat yang ramai.Kesemua ini terhasil melalui satu jalan yang disyariatkan iaitu pernikahan yang sah.

Rasulullah s.a.w bersabda :

تناكحوا تكثروا فانى أباهى بكم الأمم يوم القيامة

Bernikahlah dan perbanyakkanlah (zuriat) sesunggunya aku berbangga kerana memiliki umat yang ramai di hari kiamat.

Kalaupun anak itu mati keguguran atau mati semasa kecil mudah-mudahan dia menjadi syafaat kepada kedua-dua orang tuanya.
Baginda s.a.w bersabda :

ان الطفل يجر بأبويه الى الجنة

Sesungguhnya bayi akan membawa kedua-dua orang tuanya ke syurga.

[alamak terpanjang pulak, saya cuba ringkaskan memandangkan waktu saya kini begitu berharga]

Antara niat lain ialah utuk menjaga pandangan baik pandangan dan hati sama ada buat bakal suami/ isteri.

Menyempurnakan separuh daripada agama.

Menjaga kehormatan lelaki dan perempuan.

Saling bantu membantu

Menyambung silaturahim antara keluarga lelaki dan keluarga perempuan.

Untuk memperoleh sakinah, mawaddah dan rahmah

Ada juga orang berkahwin niatnya adalah untuk tujuan menjaga pasangan.

Satu situasi seseorang lelaki warga tua yang hidup bersendirian dan seorang wanita yang kerap membantu menguruskan kehidupan hariannya.Daripada timbul fitnah ada yang sanggup berkahwin demi membantu menguruskan lelaki itu.Bagitu juga sebaliknya.

Ada juga yang berkahwin untuk tujuan ta’annus ( bersuka,bermesra atau bermanja)
Situasi yang hampir sama dengan situasi di atas iaitu situasi dimana seseorang lelaki dan perempuan yang sudah tiada nafsu lagi tetapi memerlukan pendamping hidup untuk menguruskan kehidupan harian.Ada tempat untuk bermanja dan ada tempat untuk meluahkan rasa dan berteman.Nama pun teman hidup.

Apapun,itulah serba sedikit niat dan matlamat berkahwin.Selamat pengantin baru buat Saudara Saiful (apull) my best friend dengan pasangannya serta Alin dan pasangannya pada 31 mei 2009 ( esok )
Barakallahu lakum wa baraka Alaikum , wajama’a bainakum fi khair –Amin.

No comments: