email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Friday, October 1, 2010

Gold mug, Silver mug, Crystal mug



Pernah lihat iklan ini? Mungkin anda pemenangnya.

Memang silau mata apabila melihat emas bernilai RM100,000 menjadi habuan pemenang utama Exclusive Nescafe Gold Mug.

Tentunya orang ramai berpusu-pusu, berbondong-bondong memasuki pusat membeli belah untuk menyertai peraduan yang bermula hari ini 1/10/2010 sehingga 31/12/2010.

Jika andalah pemenang hadiah utama itu nanti. Jangan tanya saya soalan cepu emas, apa hukum berkaitan dengannya, sepatutnya soalan itu di tanya sebelum memilikinya bukan setelah memilikinya.

Sebelum anda berangan-angan untuk memiliki Gold Mug itu, ruangkan seminit-dua untuk melihat dan membaca artikel kali ini dengan kaca mata hitam kerana blog ini ber ‘sinar’ (scene-r) lebih daripada sinaran gold mug :-)

Bagi yang tidak berangan untuk memiliki, jadikan ia sebagai pengetahuan dan peringatan.

Baiklah, bagi menghargai masa yang lebih bernilai daripada emas. Kita senaraikan persoalan-persoalan berkaitan cawan emas.

1) Menjadikan cawan emas sebagai perhiasan.

2) Minum menggunakan cawan emas.

3) Menerima cawan emas.

4) Menjual cawan emas

5) Adakah menyimpan cawan emas perlu dizakatkan?

6) Jika kita dihadiahkan cawan emas, apa yang perlu kita lakukan?. Tidak menerimanya? Meleburkan? Menjual?

7) Kalaulah ia diharamkan, bagaimana sekiranya seseorang mencuri cawan emas, adakah dia akan dikenakan hukuman potong tangan?

Saya tidak berhasrat untuk menjawab satu persatu persoalan yang saya lontarkan. Cukup sekadar menukilkan beberapa nas penting untuk menjawab persoalan di atas. Perlu di ingatkan bahawa nas di bawah tidak hanya tertumpu pada cawan. Ia termasuk pinggan mangkuk, sudu, jug, serta alatan perabot yang lain.

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْرَبَ فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَأَنْ نَأْكُلَ فِيهَا وَأَنْ نَلْبَسَ الْحَرِيرَ وَالدِّيبَاجَ وَقَالَ هِيَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ -مسند أحمد

Daripada Huzaifah r.a berkata: Baginda Rasulullah s.a.w melarang kami minum pada bekas yang diperbuat daripada emas dan perak dan melarang makan menggunakannya. Begitu juga melarang memakai sutera dan hamparan sutera. Kemudian bersabda: Ia untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kalian di akhirat.

وعن أم سلمة رضي الله عنها أن النَّبي صلى الله عليه وسلم، قال: "إن الذي يشرب في آنية الفضة إنما يجرجر في بطنه نار جهنم" متفق عليه. وفي رواية لمسلم: "إن الذي يأكل أو يشرب في إناء الذهب والفضة إنما يجرجر في بطنه نار جنهم"

Daripada Ummu Salamah r.a Baginda Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya seseorang yang minum menggunakan bekas perak, akan dituang ke dalam perutnya api neraka.-Muttafaq Alaih. Dan pada riwayat Imam Muslim. Sesungguhnya seseorang yang makan atau minum menggunakan bekas emas dan perak, akan dituang ke dalam perutnya api neraka.

Daripada Umum Hadis di atas. Ulama menyimpulkan bahawa haram menggunakan bejana daripada emas dan perak sama ada untuk makanan, minuman mahupun perhiasan rumah ataupun perabot.

قال الشيخ أبو محمد المقدسي رحمه الله تعالى في المغني ويحرم اتخاذ الآنية من الذهب والفضة واستصناعها؛ لأن ما حرم استعماله حرم اتخاذه على هيئة الاستعمال كالطنبور والمزمار ويستوي في ذلك الرجال والنساء لعموم الحديث

Syaikh Abu Muhammad Al Maqdisi Rahimahullah ta’ala berkata di dalam Kitabnya Al-Mughni: Diharamkan mengambil bejana daripada emas dan perak serta membuatnya kerana apa yang diharamkan unutk menggunakannya haram juga untuk mengambilnya sebagaimana bentuk penggunaan gendang (yang digunakan untuk hiburan) dan seruling. (Pengharaman ini) meliputi lelaki dan perempuan dengan pengambilan umum hadis.

Dalam Kaedah Feqhiah menyebutkan

ما حرم استعماله حرم اتخاذه

Apa yang diharamkan untuk menggunakannya haram juga mengambilnya.

Imam Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam Al-Majmuk

قال أصحابنا أواني الذهب والفضة المعدة للاستعمال يجب فيها الزكاة قولا واحدا لانها محرمة- المجموع شرح المهذب

Berkata Ashab Syafie bahawa bekas/bejana yang diperbuat daripada emas dan perak yang dibuat untuk digunakan maka diwajibkan zakat menurut satu pendapat kerana ia diharamkan. – Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab

Imam Nawawi Rahimahullah menaqalkan di dalam matan Al-Minhaj

وَيَحِلُّ اسْتِعْمَالُ كُلِّ إنَاءٍ طَاهِرٍإلَّا ذَهَبًا وَفِضَّةً فَيَحْرُمُ، وَكَذَا اتِّخَاذُهُ فِي الْأَصَحِّ

Di bolehkan untuk menggunakan setiap bekas yang bersih kecuali emas dan perak dan ianya diharamkan. Begitu juga mengambilnya menurut pendapat yang Asoh.

Oleh itu, bekas yang diperbuat daripada bahan bernilai seperti permata, zamrud, Kristal, Fairuz, Lu’lu’,Marjan kesemuanya dibolehkan walaupun harganya lebih mahal daripada emas Berkat Imam Nawawi Rahimahullah lagi dalam Al-Majmuk


وان سرق أواني الذهب والفضة قطع، لانها تتخذ للزينة لا المعصية – المجموع شرح المهذب

Sekiranya seseorang mencuri bekas daripada emas dan perak maka akan dipotong (hudud) kerana ia dibuat untuk perhiasan bukan untuk maksiat.

Pengunjung yang dihormati,

Perlu diketahui bahawa, di dalam Islam, EMAS dan PERAK mempunyai hukum yang tersendiri, tidak sewenang-wenangnya ia dijual beli, disimpan, dipakai, ditampal, dijadikan perhiasan, dilabur dan sebagainya.

Hadirin yang dihormati,

Tidak menjadi masalah jika hadiah itu adalah rantai berloket cawan emas kerana ramai yang mengetahui bahawa hukum rantai emas diharamkan untuk lelaki dan dibolehkan untuk wanita.

Pada asalnya saya kira hadiah utama juga loket, rupa-rupanya ia betul-betul cawan emas yang ditawarkan. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan saya untuk menyampaikan bahawa cawan emas itu diharamkan untuk lelaki dan wanita.

Wallahua’lam