email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Wednesday, July 16, 2008

Istiwa matahari di atas Kaabah v2

Assalamualaikum,
Sidang pengunjung yang dirahmati ِAllah sekalian,

Sempena fenomena istiwa matahari di atas Kaabah yang akan berlaku pada hari ini (16 Julai) sebagaimana artikal sebelum ini.(Ahad 12 Julai 2008).

Justeru itu,terlebih dahulu kita tetapkan jam mengikut lokasi anda masing-masing melalui peta di bawah :

Monday, July 14, 2008

Menuduh seseorang melakukan liwat

Assalamualaikum

Sidang pengunjung yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,

Tajuk untuk kali ini saya pilih, untuk mengulas serba sedikit persoalan yang di ditimbulkan oleh saudara Fazel melalui shout box pada 13 Jul 08, 06:06.. terima kasih saudara Fazel.

[ Fazel :Harap sdr dpt memberi komen ttg liwat dan qazaf drp pandangan Mazhab Syafie ]

Untuk mengulas tentang liwat dan qazaf,saya rasa tajuk ini terlalu besar untuk di kupas termasuklah syarat-syarat qazaf.Sekadar yang termampu, saya nukilkan beberapa pandangan Ulama tentang persoalan adakah menuduh sesesorang itu melakukan liwat perlu di qazaf sebagaimana menuduh seseorang melakukan zina?.

Jika ia sama seperti menuduh seseorang melakukan zina, maka kita perlu merujuk semula syarat bagi penuduh,syarat bagi orang yang dituduh dan syarat bagi lafaz qazaf (sama ada lafaz itu merupakan lafaz yang mewajibkan had atau tidak seperti zina,liwat dan lian).


Sidang pengunjung yang dikasihi,

Kesalahan qazaf termasuk daripada dosa-doa besar serta mewajibkan had ke atas penuduh yang gagal mengemukakan saksi.

Firman Allah s.w.t

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (melakukan zina) kemudian mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (penuduh lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima penyaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ( Surah An-Nur : 4)

Adakah menuduh sesesorang itu melakukan liwat perlu di qazaf sebagaimana menuduh seseorang melakukan zina?.

Menjawab persoalan ini saya nukilkan kalam mazhab Syafieah oleh Imam Syirazi di dalam Al-Muhazzab serta syarah oleh Imam Al-Imrani di dalam kitabnya Al-Bayan jilid 12 muka surat 404 cetakan Dar Al-Minhaj

وإن قال رجل لرجل أو امرأة : لُطتَ ، أو لاط بك فلان باختيارك .. فهو قذف لأنه قذفه بزنا يوجب الحد ، فهو كما لو قذفه في الفرج.

وإن قال لرجل : يا لوطي ..فقال القاضي أبو طيب والشيخ أبو إسحاق : يرجع إليه :فإن قال : أردت أنه على دين قوم لوط .. لم يجب عليه الحد ، لأنه يحتمل ذلك .وإن قال : أردت أنه يعمل عمل قوم لوط .. وجب عليه الحد.

قال إبن الصباغ : وهذا فيه نظر، لأن هذا مستعمل في الرمي بالفاحشة ، فينبغي أن لا يقبل قوله : (إني أردت أنه على دينهم) ، بل يكون قذفا ، وبه قال مالك .

وقال أبو حنيفة : ( لا يكون قذفا بحال ) وبناه على أصله : أن اللواط لا يوجب الحد ، فكذلك القذف به ، وقد مضى الدليل علي أنه يوجب الحد.

Maksudnya : [Perkataan Imam Syirazi pada matan Al-Muhazzab] Sekiranya seseorang lelaki berkata kepada seorang lelaki atau perempuan(dengan lafaz) kamu telah meliwat , atau seseorang telah meliwat kamu dengan kerelaanmu.. maka dia telah berqazaf kerana menuduhnya melakukan zina mewajibkan had sebagaimana sekiranya menuduhnya (berbuat zina) pada kemaluan.

[Syarah matan] Sekiranya seseorang berkata kepada seorang lelaki : "Wahai Luthi".. Maka berkata Al-Qadhi Abi Thaib dan Syaikh Abu Ishaq : Kembalikan kepadanya ( tanyakan kepada orang yang mengatakan Wahai Luthi itu tadi.Apakah yang dia inginkan (apakah yang dia maksudkan) dengan panggilan "Wahai Luthi" tersebut). Sekiranya dia berkata : Aku inginkan (maksudkan dengan lafaz Luthi itu) ialah agama kaum Nabi Luth. (Maka) tidak wajib ke atasnya had kerana berkemungkinan begitu (apa yang dimaksudkannya tadi ialah kaum Nabi Luth).

(Namun) sekiranya dia berkata : Aku inginkan (maksudkan dengan lafaz Wahai Luthi itu) ialah perbuatan kaum Nabi Luth .. (maka) wajib keatasnya had. ( 80 kali sebatan)

(Manakala) berkata Ibn Sibagh : Dalam perkara ini (memanggil seseorang dengan lafaz "Wahai Luthi" ) ada pandangan (perlu di lihat terlebih dahulu). Kerana ia (perkataan itu) digunakan untuk melontarkan dengan perbuatan yang keji (liwat). Maka hendaklah tidak boleh diterima perkataanya : Aku kehendaki (apa yang aku maksudkan dengan perkataan Luthi) itu adalah agama mereka (agama Nabi Luth) tetapi ia (perkataan itu) merupakan qazaf. Begini juga pendapat Imam Malik rahimahullah.

Berkata Imam Abu Hanifah (An-Nukman) Bukanlah (dikira sebagai ) qazaf dalam keadaan ini dan dibina (melihat) kepada asalnya : Sesungguhnya (perbuatan) liwat itu tidak mewajibkan had begitu juga dengan qazaf terhadap perbuatan liwat (tidak mewajibkan had).

Dan telah dikemukakan dalil kewajipan had sebelum ini(pendapat Syafieah)

Saudara pengunjung yang dihormati.

Perkara yang sama juga disebutkan di dalam kitab Al-Mughni karangan Imam Ibn Qudamah pada m.s 389 jilid 12 cet.Dar. Alam Kutub masalah ke 1568


قال‏:‏ ‏( ‏وإذا قال له‏:‏ يا لوطي سئل عما أراد‏,‏ فإن قال‏:‏ أردت أنك من قوم لوط فلا شيء عليه وإن قال أردت أنك تعمل عمل قوم لوط فهو كمن قذف بالزنا )

Maksudnya : Imam Ibnu Qudamah berkata: Apabila berkata seseorang kepadanya (orang yang dituduh) : Wahai Luthi .(Maka perlu) ditanya dengan apa yang dia kehendaki (apa yang dia maksudkan dengan perkataan tersebut),sekiranya dia (penuduh) berkata : Aku kehendaki (maksudkan) sesungguhnya engkau daripada kaum Nabi Luth maka (dia) tidak dikenakan apa-apa( tetapi) sekiranya dia berkata (Apa yang ) aku kehendaki (maksudkan) sesungguhnya engkau mengamalkan perbuatan kaum Nabi Luth maka ia sebagaimana orang yang qazaf dengan (perbuatan) zina


Bagaimana pula sekiranya ada yang menuduh sesesorang telah mendatangi haiwan. Adakah dia juga dikira sebagai qazaf?

Menjawab persoalan ini kita boleh rujuk sekali lagi kalam Imam Ibn Qudamah pada muka surat seterusnya sebagaimana yang di nukilkan.


فأما إن قذفه بإتيان بهيمة‏,‏ انبنى ذلك على وجوب الحد على فاعله فمن أوجب الحد على فاعله أوجب حد القذف على القاذف به‏,‏ ومن لا فلا وكل ما لا يجب الحد بفعله لا يجب الحد على القاذف به كما لو قذف إنسانا بالمباشرة دون الفرج‏,‏ أو بالوطء بالشبهة أو قذف امرأة بالمساحقة أو بالوطء مستكرهة‏,‏ لم يجب الحد على القاذف


Maka apabila sekiranya (seseorang) mengqazaf dengan telah mendatangi(menggauli) haiwan. Sesungguhnya (asasnya) dibina ke atas diwajibkan had ke atas pelakunya ,maka sesiapa yang (berpendapat ) mewajibkan had ke atas pelakunya (pelaku yang mendatangi haiwan) maka wajib (juga) had qazaf ke atas penuduh yang menuduhnya (diwajibkan had kepada penuduh yang menuduh seseorang mendatangi haiwan).

Manakala bagi sesiapa yang (berpendapat) mengatakan tidak wajib had (kepada pelaku yang mendatangi haiwan) maka si penuduh tidak di qazaf.

Dan setiap (lafaz) yang tidak mewajibkan had kerana perbuatannya (maka) tidak diwajibkan had ke atas penuduh.

Sebagaimana (contoh) sekiranya seseorang mengqazaf seseorang menggauli selain dari faraj, atau kerana wati syubhah atau qazaf perempuan lesbian atau dengan wati di paksa, (maka) tidak diwajibkan had ke atas penuduh. (kerana kesemua contoh ini merupakan qazaf kepada perkara-perkara yang tidak mewajibkan had ke atas penuduh)

Baiklah,cukup sekadar itu sahaja untuk posting kali ini.

Wallahu A'lam

Saturday, July 12, 2008

Istiwa matahari di atas Kaabah

Maha suci Allah yang menjadikan matahari sebagai petanda buat orang yang beriman.Matahari sebagai penerang permukaan bumi ini, makanan bagi tumbuhan, panduan bagi pelayar, perkiraan waktu untuk beribadat, perkiraan waktu untuk sesuatu perjanjian dan banyak lagi fungsi matahari kepada manusia.

Subhanallah walhamdulillah.


Pengunjung scene-r yang dirahmati Allah s.w.t.

Mari kita melihat fungsi matahari dalam menentukan arah kiblat yang merupakan perkara wajib dan syarat sah solat kita seharian, sunat ketika tidur,zikir,dan membaca al quran ,haram ketika qada hajat,makruh mengunjurkan kaki mengarah kiblat dan lain-lain.

Matahari hanya boleh berada di langit utara sehingga garisan latitud 23.5 ْ utara pada (garisan sartan) dan begitu juga di langit selatan sehingga garisan latitud 23.5ْ selatan (pada garisan jadi). Kaabah berada di kedudukan :

Ardhul Balad 21' ْ 26'

Thul Balad 39' 49'

[catatan scene-r semasa mengikuti seminar ilmu falak anjuran Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir pada 18-19 Julai 2007]

Atau boleh kita rujuk pada laman http://www.hilal-sighting.com/Qiblah-Direction-With-Sun.html koordinat kaabah.

The Coordinates for the KABAH (in Makkah, Saudi Arabia) are:

KABAH Latitude: 21 deg 27 minutes North

KABAH Longitude: 39 deg 49 minutes East

Oleh yang demikian kaabah merupakan kawasan laluan matahari yang akan mengalami istiwa dua kali setiap tahun.

Matahari akan berada tegak di atas kaabah pada 12.16 PM (28 Mei) atau 12.28 PM (16 Julai) waktu Mekah

Manakala waktu di Malaysia (Kuala Lumpur) ialah pada 5.16 PM (28 Mei) atau 5.28 PM (16 Julai)

Justeru , fenomena ini merupakan peluang yang terbaik untuk kita membuat semakan dan menentukan arah kiblat secara manual,selain daripada melihat buruj atau menggunakan rubu’ mujayyab, tongkat istiwa, lintasan matahari, kompas, jam kiblat , kompas kiblat,dan telefon dan lain-lain.

Caranya :

1) Dirikan sesuatu objek tegak seperti tiang dan sebagainya di atas permukaan yang rata.

2) Pastikan tiang atau objek itu tegak 90 darjah.Untuk memastikan ketegakan tiang itu, letakkan tali yang diikat dengan pemberat dihujung tiang sepert gambarajah di bawah.

3) Pastikan bayang-bayang kayu itu jelas kelihatan di atas permukaannya yang rata.

4) Pastikan kawasan tersebut tidak terlindung dengan sesuatupun

5) Tunggu sehingga jam 5.16 pm pada 28 Mei atau 5.28 pm pada 16 Julai (waktu Malaysia)

6) Apabila tiba waktunya,perhatikan pada bayang-bayang objek atau kayu yang di tegakkan tadi.

7) Buat satu garisan daripada bayang-bayang ke arah matahari.

8) Garisan itu mengarah ke kiblat.


Sekian,

Selamat mencuba.


Rujukan :

1) http://www.falak-online.net/myportal/images/artikel/istiwamataharikaabah.ppt

2) http://www.muftiselangor.gov.myPortalFalakSyarieSelangorhtmlKoleksiArtikelFalakArtikelFalak7.htm

3) http://www.hilal-sighting.com/Qiblah-Direction-With-Sun.html

4) http://www.falak.udm.edu.my/?news=yes&alink=20080515115113

Friday, July 4, 2008

Ahlan Ya Rejab


Assalamualaikum, salam hormat pengunjung yang di rahmati Allah swt sekalian,

Sempena kehadiran salah satu daripada bulan " haram" di dalam Islam selain daripada bulan Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram iaitu bulan Rejab yang jatuh pada hari ini,saya mengingatkan diri saya dan pengunjung sekalian untuk sama-sama meningkatkan amalan soleh dan memperbanyakkan doa

اَللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَاشَهْرَرَمَضَانَ

Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahkanlah kepada kami keberkatan pada bulan Rajab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan

Allahumma Amin

IKLAN SEMENTARA : SEMINAR PENGUKUHAN DAN KEFAHAMAN AQIDAH AHLUSSUNNAH WAL JAMA'AH


SEMINAR PENGUKUHAN DAN KEFAHAMAN AQIDAH AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH

OBJEKTIF

  1. Menjelaskan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berdasarkan metadologi ulama muktabar
  2. Menghuraikan sumber-sumber pegangan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang muktabar
  3. Menonjolkan kepentingan ilmu tasawuf sebagai ilmu yang sah dalam aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah
  4. Menjelaskan beberapa cabaran pengukuhan akidah umat islam di Malaysia dan cara mengatasinya

PEMBENTANG KERTAS KERJA

al-Muhaddits Syaikh Muhammad Ibrahim Abdul Baa’its al-Husaini al-Kattani (Mesir)

Beliau dilahirkan di Iskandariah, Mesir dari kalangan keluarga ulama dan pernah menjadi murid kanan kepada muhadits yang terkenal iaitu Syaikh. Abdullah Siddiq al-Ghumari. Beliau adalah merupakan seorang ulama hadits yang terkemuka di Mesir masakini.

Dr. Osama al-Said (Universiti Al-Azhar, Mesir)

Beliau seorang pensyarah Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Mesir dan sering mewakili mufti Mesir, Professor Dr. Ali Jum’ah bagi menghadiri seminar-seminar di peringkat antarabangsa. Beliau juga sering menggantikan mufti Mesir dalam menyampaikan khutbah-khutbah jumaat di Mesir. Beliau juga pernah menyunting kitab-kitab yang diamanahkan kepada mufti Mesir

Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Hamat (Universiti Malaya)

Beliau seorang Professor Madya merangkap Ketua Jabatan di Jabatan Akidah & Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau juga adalah seorang Ahli Jawatankuasa Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Kelulusan:- Ijazah Sarjana Muda, Universiti Al-Azhar dalam bidang Pengajian Islam & Bahasa Arab (1992); Sarjana Usuluddin dalam bidang Falsafah Islam, Universiti Malaya, K.Lumpur (1997); PhD, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (2002)

Pernah menjadi Pengurus Jurnal Usuluddin, terbitan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (2003 – 2005) dan Ketua Editor Jurnal Akidah & Pemikiran Islam (AFKAR) (2006 – 2009)

Ustaz Mahfuz Muhammad Al Khalil (Pendakwah Bebas)

Beliau dilahirkan di Selangor, dan merupakan lulusan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir dalam Fakulti Bahasa Arab. Beliau juga memiliki Diploma Fatwa dari Darul Ifta’ Mesir


JADUAL SEMINAR

Tarikh 8 Julai 2008

9.00 – 10.30 - Perasmian dan Pembentangan Kertas 1 - APAKAH DALIL-DALIL AKAL DALAM MASALAH KETUHANAN, PEGANGAN AL-ASYA’IRAH BERTENTANGAN DENGAN AL HADITS? Oleh : al-Muhaddits Syaikh Muhammad Ibrahim Abdul Baes al-Kattami (Mesir)

10.30 – 11.00 – Rehat

11.00 – 12.30 - Pembentangan Kertas 2 - CABARAN PENGUKUHAN AKIDAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA DAN CARA-CARA MENGATASINYA. Oleh : Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Hamat (Universiti Malaya)

12.30 – 2.00 ptg – Makan tengahari dan sholat dzuhur

2.30 – 4.30 – Perbincangan. Wacana isu-isu aqidah semasa (1). Pengerusi Sesi : Prof Madya Mohd. Kamil Bin Abd. Majid

Tarikh 9 Julai 2008

8.30 – 10.30 pagi – Pembentangan kertas kerja 3 - KEDUDUKAN TASAWUF DALAM DISIPLIN ILMU ISLAM. Oleh : Dr. Osama al-Said (Universiti Al-Azhar, Mesir)

10.30 – 11.00 – Rehat

11.00 – 12.30 – Pembentangan kertas kerja 4 - PENGERTIAN SALAFI MENURUT ULAMA ISLAM. Oleh : Ustaz Mahfuz Muhammad al-Khalil (Pendakwah Bebas)

12.30 – 2.00 – Makan Tengahari dan sholat dzuhur

2.00 – 4.00 – Perbincangan. Wacana isu-isu aqidah semasa (2). Pengerusi Sesi: Dr Luqman bin Abdullah


Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
URUSETIA SEMINAR
APIUM Jabatan Akidah
Ustaz Siddiq - Tel No: 03-7967 6096/6014 - Handphone No: 017-291 5476

P/S - Difahamkan para peserta akan dikenakan bayaran. Sila hubungi urusetia seminar untuk maklumat lanjut.

Tuesday, July 1, 2008

Implikasi nikah fasid menurut syarak

Assalamualaikum sidang pengunjung scene-r yang di rahmati Allah sekalian,

Soalan yang saya ambil daripada pengunjung scene-r melalui Shout Box

[ jue.j: salam ustaz..sy ada 1 soalan di sini,apakah kesan bagi perkahwinan fasid menurut syarak dan undang2? 29 Jun 08, 06:02 ]

terima kasih jue.j di atas kunjungan dan soalan yang diberikan,saya cuba menjawab kesan bagi pernikahan fasid menurut syarak namun saya tidak dapat menjawab kesannya menurut undang-undang kerana saya belum menceburi bidang undang-undang.

Sidang pengunjung yang di rahmati Allah s.wt sekalian,

Di dalam membina sesebuah institusi kekeluargaan melalui suatu akad perkahwinan yang sah,tentunya kita akan dapati beberapa kesan daripada akad pernikahan yang sah.

Justeru itu, sebagai rumusan,saya cuba nukilkan buat pengunjung sekalian melalui Mabhas keempat –Kesan Perkahwinan,Kitab Al-Usrah Al-Muslimah fi Al-‘Alam Al-Mu’asir Dr.Wahbah Az-Zuhaili m.s 70-71 di antaranya seperti berikut:

1) Boleh saling berseronokan di antara suami dan isteri sebagaimana yang di syarakkan,termasuklah mencium dan hubungan suami isteri selain dubur.

2) Hak isteri ke atas suami seperti nafkah ( pakaian,tempat tinggal dan pakaian) dan hak suami ke atas isteri seperti taat kepada suami,meminta izin untuk keluar rumah, menjaga rahsia, menjaga harta, dan hak-hak bersama suami dan isteri.

3) Sabit hak melahirkan dan sabit hak nasab daripada kedua-dua ibu bapanya,hak anak untuk ditarbiah,penyusuan ,nafkah, dan selainnya .

4) Hak isteri terhadap mahar.

Namun begitu,bagaimana pula kesan sekiranya sesebuah perkahwinan itu dibina daripada asas akad perkahwinan yang fasid?

Terlebih dahulu mari kita bezakan di antara batil dan fasid menurut Syafieah:

Batil : Apa yang rosak pada rukunnya.

[rukun nikah : Sighah,suami,isteri,wali,dan dua orang saksi]

Fasid : Apa yang rosak pada syaratnya.

Dan hukum kedua-duanya (batil dan fasid) menurut Syafieah adalah sama pada kebiasaanya.Iaitu tidak berlaku ke atas salah seorang daripada suami dan isteri kesan daripada kesan-kesan pernikahan yang soheh,tiada mahar,tiada nafkah,tiada pengharaman kerana musoharah (perkahwinan) dan tiada pensabitan nasab dan tiada iddah.

(rujuk jenis-jenis nikah yang batil menurut Syafieah Kitab Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu Dr. Wahbah Az-Zuhaili jilid 10 m.s 6612)

[sebagai imbasan Nikah batil : Nikah Syaghar,nikah mut’ah,nikah dalam keadaan ihram,berbilangan suami,nikah wanita yang berada dalam keadaan iddah,nikah wanita hamil sebelum habis iddahnya,nikah antara muslim dengan kafirah selain kitabiah,pertukaran agama kepada agama yang lain,perkahwinan wanita muslim dengan lelaki kafir dan perkahwinan dengan orang yang murtad]

Setelah kita mengetahui bahawa nikah fasid berlaku disebabkan rosak pada syarat dan kadang kala fasid dan batil itu adalah sama menurut Syafieah.Oleh itu mari kita melihat apakah syarat sah nikah yang apabila ianya tidak dipenuhi akan menjadikan sesuatu nikah itu menjadi fasid.

Syarat sah nikah antaranya :

1) Wanita itu merpukan wanita yang halal dinikahi (bukan daripada kerabat,bukan daripada sesusuan, dan bukan daripada musoharah sama ada haram mu’aqat seperti menghimpunkan dua adik beradik sebagai isteri ataupun muabbad seperti haram bernikah dengan ummahat atau ibu-ibu)

2) Tidak di dalam keadaan berihram

3) Tidaklah pernikahan itu bertempoh (syarat pada sighah)

4) Sekufu’

5) Hadir dua orang saksi

6) Redha (tiada paksaan)

7) Menentukan wanita yang ingin dinikahi (syarat pada isteri)

[*untuk selebihnya sila rujuk syarat-syarat bagi setiap rukun nikah iaitu syarat pada sighah,syarat pada suami,syarat pada isteri,syarat pada wali,dan syarat pada dua orang saksi]

Baiklah,setelah kita mengetahui kedudukan nikah fasid,barulah kita melihat pula apakah implikasi nikah fasid menurut syarak.

Sidang pengunjung yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,

Saya tidak bercadang untuk mengulas dengan lebih terperinci,cukup sekadar rumusan yang saya buat daripada tajuk akad nikah yang tidak sah Kitab Al-Mufassal fi Ahkam Al-Mar’ah wa Bait Al-Muslim fi Syariah Al-Islamiah Dr. Abdul Karim Zaidan jilid 7 perbahasan 7018 sehingga 7033 seperti berikut :

Kesan akad nikah yang tidak sah mewajibkan pasangan suami isteri itu perlu dipisahkan,tidak wajib membayar mahar sekiranya tafriq (pemisahan) itu dibuat sebelum dukhul (jimak) dan tidak sabit haram kerana musoharah (perkahwinan), tidak wajib membayar nafkah, dan tidak saling mewarisi di antara suami dan isteri.Di sana terdapat beberapa kesan ke atas nikah yang tidak sah yang terhasil apa bila berlaku setelah dukhul (jimak)

PERTAMA : Wajib tafriq (dipisahkan)

Apabila terakad perkahwinan yang tidak sah maka ia tidak di kira sebagai suami isteri.Lelaki dan wanita tersebut perlu dipisahkan,sekiranya tidak dipisahkan maka wajib ke atas qadhi (pemerintah) untuk memisahkan kedua-dua mereka.

Menurut Hanabilah- Tidak boleh diteruskan pernikahan yang tidak sah sehingga di talaq atau di fasakh pernikahan mereka berdua oleh qadhi (pemerintah)

Manakala menurut Syafieah berpendapat bahawa tidak perlu pada fasakh dan talaq kerana nikah itu tidak terakad samalah seperti nikah dalam keadaan iddah.

Menurut Hanafiah :Sesungguhnya talaq pada nikah fasid merupakan mutarakah iaitu peninggalan dan tidak mengurangkan jumlah talaq.Mutarakah pada akad fasid selepas dukhul (jimak) tidak berlaku melainkan dengan lafaz : aku tinggalkan kamu

KEDUA : Tiada mahar untuk wanita yang ditafriq (dipisahkan) sebelum dukhul (jimak)

Apabila qadhi (pemerintah) memisahkan antara suami dan isteri pada nikah fasid sebelum dukhul (jimak) maka wanita tersebut tidak berhak mendapat mahar sama ada mahar yang telah disebutkan di dalam nikah fasid atau tidak disebutkan secara jelas (ketika akad nikah fasid berlangsung) menurut pendapat Hanabilah.Di dalam kitab Al-Mughni li Ibni Qudamah beliau mengatakan : sekiranya qadhi memfaraq (memisahkan) antara kedua-duanya sebelum dukhul (jimak) maka tiada mahar buat wanita tersebut kerana akad fasid tidak bersambung dan tidak diterima,oleh yang demikian tidak diwajibkan iwadh (pertukaran)(wanita dengan mahar) seperti (begitu juga tidak diwajibkan pertukaran di dalam) jual beli yang fasid.

Di dalam fiqh Hanafiah daripada kitab Al Fatawa Hindiah menyatakan : Apabila berlaku nikah fasid maka qadhi perlu memisahkan antara suami dan isteri,sekiranya belum di dukhul (jimak) maka tiada mahar bagi wanita tersebut dan tiada iddah.

KETIGA : Wajib mahar selepas dukhul (jimak)

Apabila berlaku dukhul (jimak) pada akad fasid maka diwajibkan mahar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Maka bagi lelaki itu mahar dengan apa yang di halalkan daripada kemaluan wanita.Wajib untuk wanita tersebut menerima mahar misil,ini menurut Hanabilah dan juga merupakan perkataan daripada Imam Zafar daripada Hanafiah.Manakala menurut Imam Hanafi dan pengikutnya Abu Yusuf dan Muhammad : maharnya adalah kurang daripada mahar misil dan mahar musamma.

*seterusnya terdapat hujjah-hujjah daripada Imam Zafar,Imam Abu Hanifah dan daipada Hanabilah.tidak saya rumuskan

Dan pendapat yang paling rajih adalah :

Wanita yang berakad dengan nikah fasid kemudian sudah didukhul (jimak) berhak mendapatkan mahar misil yang sempurna sama ada di sebut atau tidak ketika akad nikah fasid itu berlangsung kerana hak wanita tersebut mendapatkan mahar adalah disebabkan dukhul (jimak) bukan kerana akad.

KEEMPAT:Haram musoharah

Haram musoharah tidak sabit dalam akad nikah fasid ke atas mereka yang disabitkan haram musoharah pada nikah soheh seperti contoh ibu isteri/ibu mertua suami (haram musoharah di dalam nikah soheh tetapi tidak menjadi haram musoharah di dalam nikah fasid).Manakala akan menjadi haram musoharah melalui nikah fasid apabila berlaku dukhul.

- Haram musoharah berlaku setelah dukhul dan tidak berlaku sebelum dukhul

KELIMA :Tidak wajib member nafkah

Tidak diwajibkan untuk membayar nafkah pada nikah fasid kerana diwajibkan fasakh.

KEENAM: Sabit nasab

Sabit nasab pada nikah fasid setelah dukhul (jimak)

KETUJUH : Wajib iddah

Apabila berlaku tafriq (pemisahan) selepas dukhul pada nikah fasid maka diwajibkan iddah ke atas wanita sebagaimana yang dijelaskan oleh Hanafiah dan Hanabilah

KELAPAN :Tidak saling mewarisi pada nikah fasid

Tidak saling mewarisi antara suami dan isteri pada nikah fasid,maka tidak mewarisi daripada yang hidup daripada siapa yang meninggal sebelumnya.sama ada meninggalnya sebelum dukhul atau selepasnya.Sebab mirath itu adalah nikah yang soheh bukan daripada nikah yang fasid.Oleh yang demikian nikah soheh sabit ikatan suami isteri yang diiktiraf oleh syarak untuk menerima kesan- kesan syariah yang telah di tetapkan oleh syarak itu sendiri.Antaranya saling mewarisi antara suami dan isteri.