email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Sunday, August 2, 2009

Sudah ditakdirkan dia lahir berkepala dua


Assalamualaikum,

Sidang pengunjung sekalian,

Tatkala saya membaca akhbar bertajuk “Lagi bayi dua kepala dilahirkan” yang disiarkan di layar http://www.kosmo.com.my 30 Julai lalu membuatkan saya terkenang suatu ketika dahulu tentang pengajian berkenaan wudhuk bagi manusia berkepala dua.Allah s.w.t Maha Berkuasa menciptakan sesuatu dengan kehendakNya.

Ulama silam telah membahaskan permasalahan wudhuk bagi manusia berkepala dua atau berwajah dua dsb yang berkemungkinan masalah ini wujud pada zaman mereka ataupun suatu andaian ia berlaku di zaman kita seperti yang kita lihat kewujudannya silih berganti sebagaimana yang dilaporkan di dada akhbar tersebut.

 “Selepas bayi dua kepala meninggal dunia di Pekanbaru, Indonesia kini muncul bayi yang sama tetapi dilahirkan di Filipina kelmarin. Secara kebetulan, bayi dua kepala di Filipina itu lahir pada hari kematian bayi berkepala dua lelaki di Indonesia”.

Baiklah,
Berbalik kepada permasalahan wudhuk untuk mereka yang ditakdirkan lahir sebegini.Mari kita buka bersama kitab Muqaddimah Hadhramiah di dalamnya, kita akan menemukan nas

“Apabila di ciptakan seseorang itu berwajah dua maka perlulah dibasuh kedua-dua wajahnya ataupun seseorang yang diciptakan berkepala dua maka perlulah diusap salah satu daripada kedua-dua kepala tersebut kerana kedua-duanya itu disebut sebagai wajah dan kepala”

Di sini kita menemukan beberapa permaslahan :

Pertama : membasuh muka bagi seseorang berwajah dua –tidak kira sama ada seseorang itu memiliki satu kepala dan dua wajah ataupun dua kepala dan dua wajah dalam satu jasad.

Kedua : membasuh kepala bagi seseorang yang berkepala dua.

Untuk merungkai nas di atas, saya cuba merumuskan daripada kitab Al-Hawasyi Al-Madaniyyah halaman 65.


Sebahagian ulama membezakan di antara wajib membasuh kedua-dua wajah dan memadai dengan mengusap salah satu daripada kepala.Tiada beza pada (wajib basuhan pada wajah) sama ada kedua-dua wajah itu adalah wajah asal ataupun salah satunya wajah asal dan yang satu lagi adalah wajah tambahan walaupun wajah itu terbentuk.

Rumusan pendapat ini : untuk basuhan muka, wajib membasuh keseluruh wajah sama ada wajah itu ada dua ataupun salah satunya wajah asal dan satu lagi adalah wajah tambahan,walaupun tambahan itu berbentuk wajah.Wajib basuh keseluruhan apa yang dinamakan sebagai wajah termasuk wajah tambahan.

Sebagai contoh : Di andaikan seseorang yang memiliki satu kepala dan dua wajah maka wajib ke atasnya membasuh kesemua wajahnya termasuk wajah tambahan. Begitu juga seseorang yang memiliki dua kepala dan dua wajah maka wajib ke atasnya membasuh kedua-dua wajahnya.

Berbeza dengan pendapat Imam Al-Jamal Ar-Ramli yang mengatakan:

“Sekiranya seseorang itu diciptakan dua wajah dan salah satu daripadanya adalah wajah tambahan tetapi dapat dibezakan (antara wajah asli dan wajah tambahan) maka wajib membasuh wajah yang asli sahaja (tidak wajib membasuh wajah tambahan).Manakala sekiranya wajah tambahan itu serupa dengan wajah yang asli maka wajib membasuh kedua-dua wajah tersebut (wajib membasuh wajah asli dan wajah tambahan)”

Sebagai tambahan pecahan masalah.

Sekiranya seseorang itu diciptakan dua wajah; salah satunya menghadap hadapan manakala wajah satu lagi menghadap belakangnya.

Imam Asy-Syihab Ar-Ramli memfatwakan bahawa yang wajib dibasuh adalah wajah yang menghadap hadapan.

Namun , ulama berikutnya memperincikan lagi nas ini dengan menambah :benar, itu sekiranya wajah tersebut merupakan pancaindera yang tidak berderia atau tidak berfungsi manakala sekiranya pancaindera wajah tersebut berfungsi maka wajib membasuhnya.

Rumusan;
Kebanyakan pendapat Ulama mengatakan wajib membasuh kesemua yang disebutkan sebagai wajah

Sebagaimana firman Allah s.w.t 
“Apabila kamu ingin mendirikan solat maka basuhlah wajah kamu”

Bermakna, seseorang yang memiliki satu kepala dan dua wajah ataupun dua kepala dan satu wajah maka wajib keatasnya membasuh kedua-dua wajahnya.

Berbeza dengan usapan kepala kerana usapan kepada memadai dengan mengusap salah satu daripada dua kepala kerana ia disebut kepala.

Sebagaimana firman Allah s.w.t 

“….dan usaplah kepala kamu ”

Perbezaannya jika berwajah dua : kedua-duanya disebut sebagai wajah manakala kepala, memadai dengan satu kepala kerana ia disebut kepala (salah satunya kepala dan satu lagi juga kepala).Namun untuk mendapatkan sunnah usaplah keseluruhan kepala kerana ia akan bersinar (scene-r) pada hari kiamat.Baginda Rasulullah s.a.w akan mengenal umatnya pada hari kiamat dengan tanda ”Ghurrun Muhajjalun” kesan daripada basuhan wudhuk.

Cukuplah sekadar itu perkongsian tentang tatacara basuhan wudhuk wajib kepada manusia berkepala dua atau berwajah dua.

Terfikir juga bagaimana mereka yang berkepala dua ini mungkin berlaku satu melihat di sini satu melihat di sana, satu makan satu minum, sama-sama bersembang dengan dirinya atau dengan orang yang berasingan.Mungkin ada mudahnya masa-masa peperiksaan tatkala kesuntukan waktu satu membacaa muka surat sebelah satu lagi membaca muka berikutnya.Maklumlah ada dua kepala dua otak,empat mata dan kelebihan-kelebihan yang lain.Allah sahaja Maha mengetahui hikmah di sebalik ciptaanNya.

Wallahu A’lam.

No comments: