email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Sunday, April 6, 2008

Pengenalan asas konsep Kafalah

حديث- (مَن توفّى وعليه دَين فعليّ قضاؤه) – متفق عليه

Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesiapa yang meninggal dalam keadaan mempunyai hutang maka akulah yang akan membayarnya” (riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

بابُ الضَّمَان / كَفَالَة

Dhaman (jaminan kepada wangnya)

Kafalah (jaminan kepada orangnya)

DHAMAN

Dhaman (jaminan kepada wangnya)

Rukun Dhaman ada lima :

1) 1) Dhamin ( ضامن) -Penjamin

2) 2) Madhmun Lahu ( مضمون له ) (Sohibu Ad-Dain) – Pemiutang

3) 3) Madhmun Anhu (مضمون عنه) (Al-Madin) -Penghutang

4) 4) Madhmun (مضمون) (Ad-Dain) - Hutang

5) 5) Sighah (صيغة) - Bentuk jaminan

Contoh :

A: Assalamualaikum B. saya ada hajat sedikit

B: Waalaikumussalam.ya.Silakan.

A: Saya ingin meminjam duit kamu sebanyak RM1000

B : Boleh tetapi saya mahu jaminan terhadap wang saya itu.

A: Ada , ini rakan saya C sebagai penjamin

C: Ya , Saya menjamin hutang A kepada kamu

Dalam contoh di atas

A = Penghutang (Madhmun Anhu) (مضمون عنه)

B = Pemiutang (Madhmun Lahu) ( مضمون له )

C = Penjamin (Dhamin) ( ضامن)

Hutang (Madhmun) (مضمون) = RM1000

Contoh di atas adalah sighah (صيغة) (bentuk) jaminan


Sah Dhaman dengan siapa yang boleh tasaruf pada wangnya (waras,berakal,baligh dan boleh menguruskan harta dengan baik)

Maka tidak sah jaminan bayi, orang gila, orang bodoh, hamba yang tidak di izinkan oleh tuannya.

Sah jaminan itu daripada orang yang bankrup atau muflis dan dari hamba yang diizinkan oleh tuannya untuk membuat jaminan.

Di Syaratkan Madhmun lahu ( مضمون له ) (Pemiutang) mengetahui jaminan tersebut, tidak disyaratkan redha atau setuju daripada Madhmun Lahu ( مضمون له ) (Pemiutang) dan Madhmun Anhu (مضمون عنه) (Penghutang) dan juga tidak disyaratkan penghutang perlu mengetahui bahawa dia telah dijamin(penjamin memberi jaminan tanpa pengetahuan penghutang)

-Apabila penjamin memberi jaminan terhadap penghutang tanpa pengetahuan penghutang dengan membayar hutang si penghutang maka risikonya : Penjamin tidak boleh menuntut wang jaminan kepada penghutang.

Berbeza keadaan apabila penjamin memberi jaminan terhadap peghutang dengan izin penghutang

Apabila penjamin membayarkan hutang si penghutang dengan izin penghutang maka ketika itu Penjamin berhak menuntut penghutang untuk kembalikan wang jaminan yang telah diberikan kepada pemiutang

Syarat Madhmun (مضمون) (Hutang)

Disyaratkan Madhmun itu adalah hutang yang thabit.

-bermakna Tidak boleh memberikan jaminan sebelum ada hutang

Hutang itu perlulah diketahui.(sifat dan kuantiti)

Perlulah disertakan suatu ucapan atau lafaz yang bertujuan untuk memberikan bayaran kepada penghutang seperti lafaz “Aku jamin hutang kamu” atau yang seumpamanya.

Tidak boleh dengan lafaz takliq dengan syarat contohnya Apabila datang bulan Ramadhan aku jamin kamu” atau “Apabila En.A datang maka saya jamin kamu”.

Sah Dhaman darak selepas penyerahan atau penetapan harga.

Iaitu memberi jaminan kepada pembeli dengan sesuatu wang jaminan dalam keadaan sekiranya (pembeli itu khuatir bahawa) barang yang telah dibeli oleh pembeli itu tadi kepunyaan orang lain (penjual menjual barang yang bukan hak milik penjual) atau barang tersebut memiliki aib (kerosakan)

[pembeli meragui adakah barang yang ingin di jual oleh penjual merupakan milik penjual atau milik orang lain.Maka penjual boleh memberi suatu jaminan wang kepada pembeli]

Madhmun Lahu ( مضمون له ) (Pemiutang)

Pemiutang boleh menuntut wangnya sama ada daripada penghutang mahupun penjamin

Pemiutang boleh meminta jaminan lain kepada penjamin(mungkin disebabkan ada tanda-tanda bahawa penjamin itu akan muflis dsb) maka ketika itu boleh penjamin membuat seorang lagi penjamin.

Oleh itu pemiutang boleh menuntut wangnya sama ada daripada penghutang, penjamin, dan penjamin bagi penjamin.

Penjamin ( ضامن) (Dhamin)

Sekiranya penjamin di minta untuk melangsaikan hutang si penghutang maka si penjamin boleh menuntut wangnya semula daripada penghutang dengan syarat mendapat keizinan daripada penghutang ketika penjamin membuat jaminan sebagaimana yang telah kita di sebutkan di awal tadi.manakala sekiranya penjamin menjamin wang penghutang tanpa izin penghutang maka penjamin tidak boleh menuntut semula wang yang telah dijamin.

Penjamin boleh membayar hutang penghutang sama ada dengan izin penghutang atau tidak.

Tidak boleh memberi jaminan kepada barang seperti barang rampasan atau barang yang dipinjamkan.

KAFALAH

Kafalah (jaminan kepada orangnya)

Biasanya berlaku pada tahanan (ikat jamin)

Boleh memberikan jaminan kepada seseorang yang ada hutang (jaminan kepada orangnya iaitu penghutang bukan menjamin wangnya atau hutangnya)

Boleh juga memberi jaminan kepada seseorang yang akan dikenakan hukuman qisas.

-Contoh seorang pesalah yang boleh dikenakan hukuman qisas mahu pulang ke kampung halamannya.ketika itu ada penjamin yang menjamin pesalah tersebut untuk menghadirkan semula pesalah tepat pada waktu dan tarikh yang ditetapkan.Sekiranya yang dijamin (pesalah) itu hilang maka yang menjamin (penjamin) akan dipenjarakan.

Tidak boleh memberi jaminan kepada pesalah yang dikenakan hukuman Hudud

[Contoh seorang penjamin mengatakan :sekiranya pesalah ini tidak dihukum maka penjamin dihukum.Cara sebegini tidak dibolehkan]

Sekiranya kafalah itu telah disahkan secara itlaq sahaja maka pesalah boleh dituntut kembali atau ditangkap semula pada bila-bila masa sahaja

[contoh: Penjamin meminta supaya pesalah A dibebaskan (secara itlaq iaitu tidak menyatakan tempoh tertentu) maka pesalah tersebut boleh ditangkap semula pada bila-bila masa]

Manakala sekiranya penjamin meminta supaya pesalah di bebaskan dalam tempoh maka setelah tempoh barulah boleh menahan atau menangkap semula pesalah tersebut

contoh penjamin meminta supaya pesalah A dibebaskan dalam tempoh tiga hari maka setelah tiga hari barulah boleh ditangkap semula pesalah A.

Sekiranya pesalah tersebut tidak dapat dicari (menghilang) maka tidak dituntut penjamin untuk mendatangkan pesalah kecuali penjamin mengetahui di mana tempat persembunyian pesalah tersebut.Sekiranya penjamin mengetahui tempat persembunyian pesalah, maka berikan waktu pada penjamin untuk pergi ke tempat persembunyian pesalah dengan tujuan membawa pulang pesalah tersebut.

-Sekiranya penjamin tidak berjaya menghadirkan pesalah maka penjamin yang akan dipenjara tetapi tidak diwajibkan bagi penjamin untuk membayar hutang penyebab si pesalah itu dipenjarakan.

-Sekiranya pesalah (makful) itu mati maka gugurlah kafalah penjamin.

Tetapi sekiranya diminta bukti yang membuktikan bahawa pesalah (makful) benar-benar sudah mati,maka bolehlah penguasa atau polis menahan mayat pesalah sebelum dikuburkan untuk penyaksian bahawa pesalah tersebut benar-benar sudah mati.

-Rujukan:

Kitab Umdatu As-Salik Wa Uddatu An-Nasik lil Imam Syihabuddin Abi Al-Abbas Ahmad Ibnu Naqib

Friday, March 28, 2008

Pergaulan Isteri dengan Suami ketika Haid


Sucinya wanita yang haid dan pergaulannya serta aktiviti hariannya di rumah


Saidina Anas r.a berkata :

Sesungguhnya orang-orang Yahudi apabila isteri mereka kedatangan haid, mereka tidak makan,minum dan tinggal bersama di dalam rumah dengan erti kata lain mereka tidak bergaul dan tidak tinggal serumah.Sahabat pun bertanya kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w tentang perkara ini.maka turunlah ayat ini [1]

و يسألونك عن المحيض قل هو أذى )[2])

Maknanya: Mereka bertanya kepadamu tentang haid.Katakanlah haid itu adalah kotoran

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:

( اصنعوا كل شىء إلا النكاح )[3]

Maknanya: Lakukanlah apa sahaja kecuali bersetubuh

Hadis Ini jelas untuk menerangkan Firman Allah :

( فاعتزلوا النساء في المحيض ولا تقربوهن حتى يطهرن )[4]

Maknanya: Oleh itu kamu hendaklah menjauhkan diri dari wanita diwaktu haid

Ayat di atas menunjukkan perintah untuk menjauhkan diri dari bersetubuh dan tidak mendekati persetubuhan ketika wanita sedang di dalam keaadaan haid. Namun selain daripada persetubuhan seperti makan,duduk,bergaul,dan tinggal bersama di dalam satu rumah ketika isteri dalam keadaan haid adalah dibolehkan. Tiada halangan untuk isteri melakukan khidmat kepada suami mereka seperti menyediakan makanan,minuman,aktiviti harian dan sebagainya ketika mereka dalam kedaan haid. Ketika ini mereka adalah bersih dan bukannya najis untuk dijauhi.[5]

Makan dan minum wanita yang haid bersama suaminya

1) Saidatina Aisyah r.a ummul mukminin berkata:

( كنت أشرب وأنا حائض ثم أناوله النبي صلى الله عليه وسلم‏ فيضع فاه على موضع فمي فيشرب,وتعرق العرق وأنا حائض ثم أناوله النبي صلى الله عليه وسلم‏ فيضع فاه على موضع فمي)[6]

Maknanya: : aku sedang minum ketika aku sedang haid, lalu Baginda Nabi s.a.w mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulut baginda s.a.w pada tempat aku meletakkan mulutku dan meminumnya dan bercampurlah bekas minuman dan ketika itu aku sedang haid, lalu Baginda Nabi s.a.w mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulut baginda s.a.w pada tempat aku meletakkan mulutku.

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa makan dan minum bersama suami ketika isteri sedang haid adalah dibolehkan. Haid itu tidak menjadikan wanita yang berada dalam keaadaan haid najis sehingga tidak boleh menyediakan makanan dan minuman untuk suaminya.

2) Dari Abdullah bin saad berkata :

(سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم‏ عن مؤاكلة الحائض فقال : (( واكلوها )) )[7]

Maknanya : Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang makanan yang disediakan oleh wanita yang haid maka Rasulullah s.a.w bersabda : makanlah

Wanita yang haid membasuh,menyikat kepala suaminya serta berkhidmat untuk suaminya.

Dari Saidatina Aisyah r.a berkata :

( كنت أغسل رأس رسول الله صلى الله عليه وسلم‏ وأنا حائض)[8]

Maknanya: Aku membasuh kepala Rasulullah s.a.w (ketika itu) aku dalam keadaan haid.

Diriwayatkan juga oleh muslim dari Saidatina Aisyah r.a berkata :


(كان رسول الله صلى الله عليه وسلم‏ يدني إليَ وأنا في حجرتي, فأرجل رأسه وأنا حائض)[9]

Maknanya:Rasulullah s.a.w mendekatkan kepala beliau kepadaku dan aku di dalam rumahku (ketika itu Nabi s.a.w sedang beriktikaf di dalam masjid), maka aku menyikat rambut beliau sedang aku dalam keadaan haid.

Daipada Saidatina Aisyah r.a juga berkata:

(قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم‏ (( ناولني الخمرة من المسجد فقلت: إني حائض و فقال: حيضتك ليست في يدك))[10]

Maknanya:Rasulullah s.a.w berkata kepadaku : Ambilkan aku الخمرة (kain yang digunakan untuk meletakkan muka ketika sujud) dari masjid lalu aku berkata : aku sedang haid. Rasulullah s.a.w bersabda : Haidmu itu bukan pada tanganmu.

Kesemua hadis di atas jelas menerangkan kepada kita bahawa wanita yang berada dalam keadaan haid tidak melarang mereka untuk memberi khidmat serta membantu kepada suami mereka untuk membasuh,menyikat,dan membersihkan suaminya mahupun apa sahaja yang diperintahkan oleh suami untuk melakukan sesuatu perkara.

Wanita yang haid mengambil baju yang bersih ketika haid

Dari Ummu Salamah r. a katanya

(بينما أنا مضطجعة مع رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏في الخميلة إذ حضت فانسللت فأخذت ثياب حيضتي فقال لي رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم‏ ‏أنفست ‏ ‏قلت نعم فدعاني فاضطجعت معه في ‏ ‏الخميلة)[11]

Maknanya:Ketika aku sedang berbaring bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut, tiba-tiba aku haid, lantas aku keluar secara perlahan-lahan untuk mengambil pakaian khas semasa haid. Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku: Apakah kamu sedang haid? Aku menjawab: Ya. Baginda memanggilku lalu aku berbaring lagi bersama baginda dalam satu selimut.

Hadis ini menunjukkan bahawa sunat bagi seseorang wanita mengambil pakaian yang khusus ketika haid selain dari pakaiannya yang biasa

Diharamkan ke atas suami menyetubuhi isterinya ketika haid

Ulama telah bersepakat tentang pengharaman terhadap suami menyetubuhi isterinya ketika haid dengan firman Allah :

( فاعتزلوا النساء في المحيض ولا تقربوهن حتى يطهرن )[12]

Maknanya: Oleh itu kamu hendaklah menjauhkan diri dari wanita diwaktu haid

الإعتزال bermaksud meninggalkan setubuh berpandukan dengan hadis

Abdullah bin Saad r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w :

( ما يحل لي من امرأتي وهي حائض ؟ قال (( لك ما فوق الإزار)) )[13]

Maknanya: Apakah yang dihalalkan ke atasku dengan isteriku yang sedang haid Rasulullah s.a.w bersabda:Engkau boleh berseronok dengannya apa yang di atas izar (kain yang menutupi dari pusat ke lutut)

Istimta` dengan apa yang di bawah izar akan mengundang kepada jimak maka ianya diharamkan

Hadis Nukman bin Basyir r. a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

...من حام حول الحمى يوشق أن يقع فيه))[14]))

Maknanya:seperti penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, maka kemungkinan besar binatangnya akan memasuki kawasan tersebut

Bersesuaian dengan kaedah feqhiah yang berbunyi:

الحريم له حكم ما هو حريم له[15]

Maknanya:

Kawasan larangan adalah dihukumkan apa yang menjadi kawasan larangan

: هو المحيط بالحرام الحريم

Termasuk dari kaedah ini ialah

وحرم الإستمتاع بما بين السرة والركبة في الحيض لحرمة الفرج

Haram istimta` di antara kawasan pusat dan lutut ketika haid kerana haramnya faraj ketika haid

Penjelasan : Berdasarkan hadis Nukman bin Basyir r.a itu tadi dengan mengambil kaedah di atas mengharamkan istimta` di antara kawasan pusat dan lutut sebagai mengambil langkah berhati-hati dikhuatiri dari terlanggar larangan untuk tidak boleh bersetubuh ketika haid

Dibolehkan suami istimta` dengn isterinya yang haid selain dari kemaluannya (faraj)

Walaupun suami diharamkan untuk menyetubuhi isterinya ketika haid namun mereka dibolehkan untuk istimta` (berseronok) dengan isteri mereka selain daripada menyetubuhinya.

Dari Saidatina Aisyah r.a berkata:

(وكان ‏صلى الله عليه وسلم يأمرني فأتزر,فيباشرني وأنا حائض)[16]

Maknanya: Rasulullah s.a.w menyuruhku untuk memakai izar kemudian aku memakainya lalu baginda menggauliku (tanpa jimak) dan aku ketika itu sedang haid

Imam Nawawi rahimahullah berkata[17] : Ulamak bersepakat bahawa halal menggauli isteri yang sedang haid dengan apa yang di atas pusat dan di bawah lutut sama ada dengan mencium, memeluk, menyentuh dan sebagainya

Manakala menggauli isteri yang sedang haid pada kawasan di antara pusat dan lutut selain dari faraj ada beberapa pendapat

Pertama: Haram

Kedua : Makruh yang ditegah, atau dibolehkan

Ketiga : Sekiranya suami tersebut mampu untuk mengawal dirinya dari menggauli kawasan faraj dan percaya pada dirinya yang akan menjauhi dari kawasan faraj sama ada suami tersebut tiada syahwatnya ketika itu ataupun kewarakannya maka ia dibolehkan.tetapi sekiranya tidak boleh berbuat demikian maka ia tidak dibenarkan.

Diantara ulama yang menyokongan dengan pendapat yang pertama adalah Imam Malik, Abu Hanifah , Said bin Musaiib dan kebanyakan daripada ulamak menyokongn pendapat ini.

Manakala mereka yang menyokong pendapat kedua ini adalah Saidina Ikrimah, Mujahid, Syukbi, Nakha`ie, As-sauri, Al-Auza`ie, Imam Ahmad bin Hambal, Muhammad bin Al-Hasan, Ishak bin Rohawieh, Abu Thur, dan Daud Az Zahiri.

Pendapat yang ketiga pula disokong oleh sebahagian dari As-syafi`eah diantaranya adalah Abu Al-Abbas Al-Basri

Pendapat kedua merupakan pendapat yang paling kuat berdasarkan dengan hadis yang telah kita sebut sebelum ini ketika turunnya ayat 222 dalam surah Al-Baqarah

Firman Allah s.w.t :

(و يسألونك عن المحيض قل هو أذى فاعتزلوا النساء في المحيض)[18]

Maknanya: : Mereka bertanya kepadamu tentang haid.Katakanlah haid itu adalah kotoran. Oleh itu kamu hendaklah menjauhkan diri dari wanita diwaktu haid

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda :

( اصنعوا كل شىء إلا النكاح )[19]

Maknanya: Lakukanlah apa sahaja kecuali bersetubuh

Manakala berhubung Nabi s.a.w mengurangkan atau menghadkan kawasan untuk menggauli isteri dengan apa yang di atas izar sahaja merupakan ihtimal bahawa perbuatan tersebut adalah sunat sahaja kerana Nabi s.a.w juga meninggalkan kawasan terebut. Begitu juga ketika Nabi s.a.w tidak memakan Ad Dhob sedangakan ianya boleh dimakan.Begitu juga baginda tidak memakan bawang tetapi tidak bermakna bawang tidak boleh dimakan.[20]

Kafarah bagi suami yang menyetubuhi isterinya yang sedang haid

Sebagaimana yang kita telah maklumi bahawa seorang suami tidak boleh menyetubuhi isterinya yang sedang haid.Persoalannya sekiranya berlaku persetubuhan ketika itu, adakah perlu seorang suami membayar kafarah?

Jumhur ulama seperti mazhab maliki, Hanafi, dan Syafi`e berpendapat bahawa tiada kafarah bagi suami yang menyetubuhi isterinya yang sedang haid tepi wajib keatas suami tersebut beristighfar dan bertaubat kerana pada asalnya adalah البراءة iaitu melepaskan.maka ianya tidak berubah kecuali terdapat hujjah. Hadis yang menunjukan perlunya kafarah adalah مضطرب oleh itu persetubuhan ketika itu haram untuk menghindarkan kan dari kotoran.Oleh yang sedemikian tidaklah dikenakan kafarah seperti halnya bersetubuh pada dubur.[21]

Manakala mazhab Hambali pula berpendapat bahawa wajib membayar kafarah bagi suami yang menyetubuhi isterinya ketika haid dan nifas.Diwajibkan juga kepada isteri untuk membayar kafarah sekiranya taat kepada suami untuk disetubuhi ketika haid seperti kafarah bersetubuh ketika dalam keadaan ihram, tetapi sekiranya isteri dipaksa juga untuk bersetubuh ketika haid maka isteri tersebut tidak perlu membayar kafarah. Kafarah Wajib di bayar walaupun persetubuhan itu berlaku kerana terlupa,dipaksa atau tidak mengetahui yang isterinya sedang haid atau tidak mengetahui (jahil) tentang pengharaman bersetubuh kertika haid ataupun kedua-duanya sekali.

Tidak diwajibkan membayar kafarah sekiranya bersetubuh setelah terputus haidnya.

Kafarahnya adalah boleh memilih sama ada satu dinar ataupun separuh dinar bernaskan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a dari Nabi s.a.w :


(في الذي يأتي امرأته وهي حائض : يتصدق بدنار أو نصف دينار)[22]


Maknanya : Bagi yang menyetubuhi isterinya yang sedang haid adalah dengan meyedekahkan (kafarah) satu dinar atau separuh dinar

Namun bergitu sebahagian ulama syafi`eah berpendapat bahawa sunat bagi sesiapa yang menyetubuhi isterinya ketika permulaan waktu haid dengan sedekah satu dinar,manakala bagi mereka yang menyetubuhi isterinya pada akhir waktu haid dengan membayar separuh dinar[23]. Hal ini berdasarkan sebagaimana hadis yang lepas dari Ibn Abbas dari At tirmizi

( إذا كان دما أحمر فدينار وإن كان دما أصفر فنصف دينار) [24]

Maknanya: sekiranya darah itu kemerahan maka dibayar dengan satu dinar manakala sekiranya darah itu warna kekuningan maka dibayar dengan separuh dinar

Suami boleh tidur bersama isterinya ketika haid

Suami dibolehkan untuk tidur bersama isterinya yang haid di atas satu katil

Berdasarkan hadis

Hadis Ummu Salamah r. a katanya:

(بينما أنا مضطجعة مع رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏في الخميلة إذ حضت فانسللت فأخذت ثياب حيضتي فقال لي رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم‏ ‏أنفست ‏ ‏قلت نعم فدعاني فاضطجعت معه في ‏ ‏الخميلة)[25]


Ketika aku sedang berbaring bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut, tiba-tiba aku haid, lantas aku keluar secara perlahan-lahan untuk mengambil pakaian khas semasa haid. Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku: Apakah kamu sedang haid? Aku menjawab: Ya. Baginda memanggilku lalu aku berbaring lagi bersama baginda dalam satu selimut.

Ibn Hajar Al Asqolani ketika mentklik hadis ini mengatakan bahawa hadis ini membolehkan suami tidur bersama isterinya yang haid pada bajunya (satu baju) dan berbaring bersamanya dalam satu selimut.[26]

Suami menyandar (berpangku) kepada isterinya yang haid

Dari Sadatina Aisyah r.a berkata:

(كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يتكىء في حجري وأنا حائضو فيقرأ القرأن)[27]


Maknanya: Baginda Rasulullah s.a.w berpangku kepadaku (meletakkan kepala baginda s.a.w dipangkuan saidatina Aisyah r.a) di bilikku sedangkan ketika itu aku sedang haid. Lalu baginda membaca Al-Quran

Imam Nawawi mentaklik hadis ini dengan mangatakan boleh seseorang itu membaca Al-Quran dipangkuan isterinya yang sedang haid.[28]

Wanita yang haid berhias dan membersihkan diri

Disunatkan bagi wanita yang haid untuk membersihkan dirinya dan juga berhias tidak kira sama ada menyikat rambutnya, berdandan dan sebagainya kerana ketika ini suami boleh menggaulinya selain daripada faraj sebagaimana yang telah kita katakan sebelum ini.

Hal ini bersandarkan dengan Hadis Saidatina Aisyah r.a apabila ditanya oleh seorang wanita :

(هل تختضب الحائض؟ فقالت عائشة : قد كنا عند النبي ونحن نختضب فلم يكن ينهانا منه)[29]

Maknanya: adakah boleh wanita yang haid berinai : maka Saidatina Aisyah r.a menjawab kami ketika bersama dengan Nabi s.a.w dan kami berinai dan Nabi s.a.w tidak melarang kami dari berinai.




[1] Rawai` bayan, Imam Ali As-Sobuni ms208

[2] Surah Al Baqarah ayat 222

[3] Soheh Muslim syarah Imam Nawawi j.3 ms 211, riwayat Ibn Majah j.1 ms 211

[4] Surah Al Baqarah ayat 222

[5] Syarah Imam Nawawi dalam Soheh Muslim j.3 ms 208,211 , Subulussalam j1 ms 144

[6] Soheh Muslim Syarah Imam Nawawi j 3 ms 210-211

[7] Sunan Ibn Majah j 1 ms 213

[8] Soheh Muslim j 3 ms 209

[9] Soheh Muslim j 3 ms 209

[10] Soheh Muslim j 3 ms 209

[11] Soheh Bukhari syarah Al Asqolani j 1 ms 402,422, Soheh Muslim j 3 ms 26

[12] Surah Al Baqarah ayat 222

[13] Riwayat Abu Daud, Nail Authar j 1 ms 277

[14] Soheh Bukhari hadis ke 50

[15] Asybah Wan Nazhoir ms 286

[16] Soheh Bukhari Syarah Al Asqolani j 1 ms 403-404

[17] Soheh Muslim Syarah Imam Nawawi j 3 ms 204-205, subulussalam j 1 ms 144 Al Mughni j 1 ms334

[18] Surah Al Baqarah ayat 222

[19] Soheh Muslim syarah Imam Nawawi j.3 ms 211, riwayat Ibn Majah j.1 ms 211

[20] Soheh Muslim Syarah Imam Nawawi j 3 ms 204-205, subulussalam j 1 ms 144 Al Mughni j 1 ms334

[21] Feqh Islami Wa Adillatuh Dr Wahbah Az Zuhaili j 1 ms 630

[22] Nail Authar j 1 ms 278

[23] Feqh Islami Wa Adillatuh Dr Wahbah Az Zuhaili j 1 ms 630

[24] Nail Authar j 1 ms 278

[25] Soheh Bukhari syarah Al Asqolani j 1 ms 402,422, Soheh Muslim j 3 ms 26

[26] Soheh Bukhari syarah Al Asqolani j 1 ms 403,422

[27] Soheh Muslim j 3 ms 211 Sunan Ibn Majah j 1 ms 208

[28] Soheh Muslim Syarah Imam Nawawi j 3 ms 211

[29] Sunan Ibn Majah j 1 ms 215


Monday, September 3, 2007

Pembayaran Zakat melalui SMS

Perkembangan teknologi pada hari ini banyak memberikan kemudahan kepada pengguna untuk menjalani kehidupan seharian.Apabila menyebut khidmat pesanan ringkas SMS.Tidak terlintas dibenak pemikiran saya bahawa banyak fungsinya selaian dari menghantar massej.Kini SMS digunakan untuk menderma,pembayaran zakat,mengundi dan sebagainya.Justeru itu,tumpuan saya pada kali ini adalah pembayaran zakat melalui SMS.Perkara ini pernah menjadi isu apabila Kerajaan Terengganu ingin melaksanakan pembayaran zakat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai bulan Ramadan tahun lalu, sebagaimana yang tertera di tajuk-tajuk akhbar seperti "Terengganu tetap laksana zakat SMS mulai Ramadan" ( 31/07/2006)-Utusan dan "Kerajaan Pusat Sokong T'ganu Laksana Bayar Zakat Fitrah Guna SMS" -30 Julai, 2006 (bernama).

Secara afdhalnya,pemilik harta itu sendiri yang memberikan zakat kepada orang yang berhak menerimanya.kecuali beberapa masalah pada menyerahkan zakat kepada pemerintah.

Di dalam permasalahan ini (pembayaran zakat melalui SMS), syarikat telekomunikasi bertindak sebagai wakil pengguna untuk pembayaran zakat.


Persoalannya adakah boleh mewakilkan pembayaran zakat?


Menjawab persoalan ini Imam An-Nawawi menyatakan di dalam Kitab Al-Majmuk jilid ke-6 ms 138 pada pecahan masalah yang ke dua:


له أن يوكل فى صرف الزكاة التى له تفريقها بنفسه . فان شاء وكل فى الدفع الى الامام والساعى، وان شاء فى التفرقة على الأصناف وكلاهما جائز بلا خلاف،وانما جاز التوكيل فى ذلك مع أنها عبادة لأنها تشبه قضاء الديون،ولأنه قد تدعو الحاجة الى الوكالة لغيبة المال وغير ذلك.قال أصحابنا : سواءوكله فى دفعها من مال الموكل أو من مال الوكيل فهما جائزان بلا خلاف.قال البغوى فى أول باب نية الزكاة :ويجوز أن يوكل عبدا أو كافرا في اخراج الزكاة ،كما يجوز توكله فى ذبح الأضحية .

Maksudnya: Seseorang itu boleh mewakilkan pembayaran zakat yang sepatutnya dikeluarkan sendiri.(Seseorang itu) boleh memilih samada mewakilkan pembayaran itu kepada pemerintah ataupun sa'ie (amil).(Dia juga) boleh memilih untuk memberikan (wang zakat) kepada asnaf.Kedua-dua cara ini dibolehkan tanpa ada khilaf.(Dalil yang menunjukkan) boleh mewakilkan pembayaran zakat ini kerana ia merupakan suatu ibadah seperti (mewakilkan orang lain untuk) melangsaikan hutang.(Mewakilkan pembayaran zakat juga dibolehkan) kerana berkehendak kepada wakalah disebabkan ketiadaan wang dan yang seumpamanya.(Ashab -Assyafieah) mengatakan: samada mewakilkan untuk pembayaran zakat dari harta orang yang mewakilkan atau dari harta wakil.Kedua-dua cara ini dibolehkan tanpa ada khilaf. Imam Baghawi mengatakan pada awal bab niat zakat : Dibolehkan seseorang itu mewakilkan kepada hamba atau orang kafir pada mengeluarkan zakat sebagaimana boleh mewakilkan mereka pada penyembelihan korban.


Sebagai tambahan dari persoalan yang sama, saya nukilkan dari kitab Al-Feqh Al-Manhaji Jilid Pertama ms318 cetakan Dar Al-Qalam. Bolehkah pemilik mewakilkan orang lain untuk mengeluarkan zakat??

Ya, dia boleh berbuat demikian kerana zakat (tertakluk kepada)hak-hak harta,dan hak-hak harta boleh diwakilkan sewaktu menunaikannya seperti mewakilkan (orang lain untuk) membayar hutang dan harga barang, dan mengembalikan simpanan (harta wadiah) dan barangan pinjaman kepada pemiliknya.

Maka, boleh bagi pemiliknya mewakilkan sesiapa yang mampu melakukan perkara itu bagi pihak dirinya termasuklah orang kafir dan budak yang sudah mumayyiz tetapi disyaratkan apabila diwakilkan kepada orang kafir atau budak,dia hendaklah menentukan orang yang akan diserahkan zakat itu.

Bagaimana pula dengan niat zakat?

(dibawah ini saya sebutkan tentang niat zakat secara umum dan tidak tertumpu kepada tajuk pembayaran zakat melalui SMS kerana merasakan ianya perlu dan supaya ianya mudah difahami)


Imam Syirazi mengatakan pada matan kitab Al-Muhazzab
di dalam kitab Al-Majmuk jilid 6 ms 156


ولا يصح أداء الزكاة الا بالنية لقوله صلى الله عليه وسلم " انما الأعمال بالنيات ولكل امرئ ما نوى" ولأنها عبادة مخصمة فلم يصح من غير نية كالصلاة
.

Maksudnya : Tidak sah pembayaran zakat itu kecuali dengan niat sebagaimana sabda Baginda Nabi Muhammad s.a.w "Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat, dan bagi setiap individu itu dengan apa yang diniatkan" kerana niat itu merupakan sebahagian daripada ibadat.maka,tidak sah ibadat itu tanpa niat seperti (niat untuk menunaikan) solat.


Sebagai rumusan, sekali lagi saya nukilkan dari kitab yang sama dan ruangan yang sama di dalam kitab Al-Feqh Al-Manhaji Jilid Pertama ms318 cetakan Dar Al-Qalam di bawah tajuk "niat sewaktu penyerahan".


Diwajibkan (seseorang itu) berniat sewaktu mengeluarkan zakat untuk membezakan perbuatan tersebut dengan kaffarah dan sedekah berdasarkan hadis masyhur:

انما الأعمال بالنيات

"Sesungguhnya setiap amalam itu berdasarkan niat" (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Sekiranya (pemilik harta tersebut) sendiri yang menguruskan pengeluaran zakat,dia hendaklah berniat sewaktu menyerahkannya kepada orang yang berhak, ataupun sewaktu memisahkan jumlah yang mahu dikeluarkan zakat hartanya itu,iaitu berniat sewaktu memisahkan hartanya itu sesunguhnya jumlah ini merupakan wang zakat hartanya, ini sudah cukup dan tidak perlu berniat sekali lagi sewaktu menyerahkannya.

Sekiranya dia mewakilkannya,dia hendaklah berniat sewaktu menyerahkannya kepada wakil dan tidak wajib bagi wakil selepas itu menghadirkan niat (berniat) sewaktu menyerahkannya kepada orang yang berhak.Tetapi yang afdhalnya ialah wakil juga berniat sewaktu membahagikan harta kepada mereka.Jika pemilik harta tidak berniat sewaktu menyerahkan kepada wakil,maka niat wakil tidak cukup sewaktu menyerahkannya kepada orang yang berhak.Jika pemilik harta menyerahkan kepada pemerintah ataupun wakil pemerintah hendaklah dia berniat sewaktu penyerahan.Dan (perbuatan niat) ini sudah memadai kerana pemerintah adalah wakil kepada orang yang berhak,Maka niat sewaktu menyerahkannya adalah sama denga niat sewaktu menyerahkan kepada orang yang berhak.

Sekiranya pemilik tidak berniat sewaktu menyerahkan kepada pemerintah,niat pemerintah selepas itu tidak membawa faedah dan harta yang diserahkan itu tidak dianggap sebahagian dari pembayaran zakat.Ini disebabkan pemerintah -sebagaimana yang telah kami sebutkan-pemerintah sebagai wakil kepada orang yang berhak,dan bukanlah sebagai wakil bagi pemilik sebagaimana di dalam keadaan menyerahkannya kepada wakil.

Oleh yang demikian, tidak dikira niatnya bagi pihak diri pemilik.Tetapi niat wakil juga tidak cukup apabila pemilik yang mewakilkan tidak berniat sebagaimana yang kamu tahu (yang telah dijelaskan di atas).

Sifat Niat Zakat

Merujuk sifat niat pula Imam An-Nawawi mengatakan di dalam kitab Al-Majmuk pada muka surat 159 pecahan masalah kedua

قال أصحابنا صفة نية الزكاة أن ينوى : هذا فرض زكاة مالى أو فرض صدقة مالى أو زكاة مالى المفروضة.أو الصدقة المفروضة – فيتعرض- لفرض المال.

Maksudnya : Ulama As-Syafieah mengatakan sifat niat zakat hendaklah seseorang itu berniat : Ini adalah fardhu zakat hartaku, atau ini adalah fardhu sedekah hartaku atau ini adalah zakat hartaku yang fardhu ataupun ini adalah sedekah yang difardhukan –hendaklah mendatangkan- fardhu harta.

Justeru itu,pembayaran zakat melalui SMS dan sebagainya perlulah menghadirkan diri dengan niat fardhu zakat harta ketika mewakilkan pembayaran kepada syarikat telekomunikasi.

Dari sudut mengurusan pula, pihak syarikat telekomunikasi tersebut perlulah amanah dari sudut pengurusan wang zakat itu diserahkan kepada pemerintah atau wakilnya. Sekiranya pengguna meyakini bahawa syarikat tersebut tidak menguruskan wang tersebut dengan baik,maka pengguna tidak boleh mewakilkan pembayaran zakat melalui syarikat tersebut.




Wallahu A'lam

Friday, August 10, 2007

Waktu-waktu yang diharamkan solat

Pernah suatu ketika ingin pulang ke rumah, saya menahan satu teksi, sambil memberikan salam kepada rakan yang masih menunggu bas untuk pulang.Tidak beberapa lama, pemandu teksi itu menyuruh saya duduk ke hadapan kerana ingin bertanyakan soalan.Pelik!!! orang arab nak tanya aku soalan??? ..Diringkaskan cerita,sebenarnya dia ingin bertanyakan tentang waktu haram solat.

Baru-baru ini juga, seorang rakan dari Malaysia bertanyakan soalan yang hampir sama iaitu bolehkan solat hajat selepas solat subuh??,memandangkan perkara ini dilakukan di kampungnya.

Perkara ini pernah disebutkan di dalam hadis :

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن صلاة بعد العصر حتى تغرب الشمس ، وبعد الصبح حتى تطلع الشمس

Maksudnya : Dari Abi Hurairah r.a :Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang dari mengerjakan solat selepas asar sehingga terbenam matahari dan solat selepas subuh sehingga terbit matahari.[hadis riwayat Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Abu Dawud,Imam Tirmizi,Imam Nasaie dan Imam Ahmad

Untuk rumusannya saya nukilkan dari kitab At taqrirat as sadidah fi Al masail mufidah Syaikh Muhammad bin Ahmad Hasan Al Kaaf.cetakan Dar Al Mirath An Nabawi ms 192 -194 di dalam tajuk Al Auqat Allati Tahrumu Fiha As Solah

Waktu-waktu yang diharamkan solat

Sebahagian As-Sayafieah mengiktibar sebagai (waktu-waktu yang dimakruhkan untuk solat) iaitu tegahan karahah tahrim[Karahah tahrim adalah apa yang di sabitkan haramnya itu dengan dalil yang ihtimal dan perlu kepada takwil]

Waktu yang diharamkan untuk solat ada lima :Tiga berhubung dengan waktu dan dua berhubung dengan perbuatan


Waktu waktu yang diharamkan solat yang berhubung dengan waktu

1) Dari terbit matahari sehingga tegak dengan kadar tombak dengan pandangan mata iaitu bersamaan 16 minit.(dalam tempoh 16 minit setelah matahari terbit)


Kadar tombak adalah 4 darjah

Satu darjah bersamaan 4 minit


2) Dari istiwa (pembahagi dua) matahari sehingga zawal (gelincir).Tempohnya terlalu singkat,diharamkan solat ketika ini.


Istiwa adalah : matahari berada di tengah-tengah langit

Zawal adalah : Condongan matahari di tengah-tengah langit


3)Dari langit kelihatan kekuning-kuningan sehingga maghrib.


Waktu-waktu yang diharamkan utuk solat yang berhubung dengan perbuatan

1) Selepas melaksanakan solat subuh sehingga terbit matahari

2) Selepas melaksanakan solat asar sehingga terbenam matahari

Solat-solat yang diharamkan pada waktu yang diharamkan untuk solat,( waktu yang lima) terbahagi kepada dua:

1) Solat-solat sunat kerana sabab muta'akkhir (sebab terkemudian) .Ia terbahagi kepada enam:

a) Solat sunat ihram

b) Solat sunat istikharah

c) Solat sunat keluar dari rumah

d) Solat sunat musafir

e) Solat sunat Qatl

f) Solat sunat hajat


2) Solat sunat mutlak,iaitu solat yang tanpa sebab dan tiada waktunya,seperti solat tasbih dan sebagainya yang tiada waktu yang khusus untuk melaksanakannya.

Waktu-waktu yang terkecuali daripada waktu yang haram iaitu berhubung dengan tempat dan waktu.

1) Tempat : Tanah Haram mekah : iaitu di dalam masjid haram dan kawasan-kawasan tanah haram di mekah,maka dibolehkan solat di kawasan ini pada bila bila waktu tanpa ada waktu yang diharamkan.

2) Waktu : Dari waktu istiwa sehingga zawal pada hari jumaat

Tidak diharamkan untuk melaksanakan qada solat pada waktu-waktu yang diharamkan untuk solat. (boleh melaksanakan qada solat pada bila bila waktu tanpa ada waktu tahrim)

Begitu juga dengan solat-solat sunat kerana sabab mutaqaddim (sebab terdahulu) seperti sola sunat wudhu dan solat sunat tahiyat masjid,ataupun kerana sabab muqaran (sebab bergandingan) seperti solat gerhana matahari dan bulan.

Hukum solat ketika khutbah jumaat

Apabila khatib sedang berkhutbah di atas mimbar,maka diharamkan untuk solat walaupun solat itu adalah solat qada kecuali solat sunat tahiyat masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyat masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain dari solat tahiyat masjid yang tadi.

Thursday, August 9, 2007

Sihaq (lesbian) / سحاق

Sihaq bermaksud ketidakwajaran hubungan jenis diantara dua orang wanita (iaitu kata berlawanan bagi lelaki : liwat) – Al-Mu'jam Al-Arabi Al-Asasi

Sihaq pada bahasa adalah sihaq dan musahaqah
Manakala sihaq pada istilah adalah : perbuatan wanita antara satu sama lain, dan begitu juga perbuatan orang yang majbub(terpotong seluruh kemaluan lelaki) dengan wanita juga disebut sebagai sihaq.

Perbezaan antara zina dan sihaq adalah:

Sihaq tidak memasukkan kadar hasyafah (kemaluan lelaki) ke dalam faraj(kemaluan wanita) manakala zina sebaliknya.-(rujuk kitab Al-Mustalahat wa Al-Fadzh Al-Feqhiyyah Dr.Mahmud Abd Rahman Abd Mun'im cet. Dar.Alfadhilah jilid 2 ms 234)

Manakala Dr.Wahbah Az –Zuhaili mendefinisikan sihaq sebagai :Perbuatan wanita antara satu sama lain juga merupakan perbuatan yang haram ,dan di takzir bagi pelaku perbuatan sihaq ini walaupun (perbuatan sihaq) diantara lelaki dan wanita, atau (perbuatan sihaq) diantara dua orang lelaki.(rujuk kitab Feqh Islami Wa Adillatuhu Dr.Wahbah Az-Zuhaili jilid 7 ms 5346)

Dalil pengharaman sihaq

Firman Allah s.w.t :

والذين هم لفروجهم حافظون،إلا على أزواجهم أو ما ملكت أيمانهم فإنهم غير ملومين،فمن ابتغى وراء ذالك فأولئك هم العادون
Maksudnya: Dan orang-orang yang menjaga kemaluan mereka,kecuali terhadap isteri mereka ataupun orang yang mereka miliki (hasil dari peperangan dengan orang kafir), maka sesungguhnya mereka dalam keadaan ini tidak tercela.Sesiapa yang mencari yang sebalik dari itu (melalui jalan zina,homoseksual dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.(Surah Al-Mu'minun ayat 6-7 )

Lafaz farj di dalam ayat لفروجهم membawa maksud : aurat lelaki atau wanita yang meliputi qubul dan dubur. - Al-Mu'jam Al-Arabi Al-Asasi pada makna farjul insan.

Dalil ini menunjukkan bahawa umum ayat meliputi lelaki atau wanita pada wajib memelihara kemaluannya kecuali pada suami atau isteri sahaja.Justeru itu, perbuatan sihaq merupakan perbuatan maksiat yang tidak menjaga kemaluannya daripada orang yang sepatutnya dijaga.

Diriwayatkan dari Imam Al-Baihaqi dari Abi Musa Al Asy'ari r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda :
إذا أتى الرجل الرجل فهما زانيان ،وإذا أتت المرأة المرأةفهما زانيتان
Maksudnya :Apabila seorang lelaki mendatangi lelaki maka mereka berdua berbuat zina,dan apabila seorang wanita mendatangi wanita maka mereka berdua berbuat zina

Sabda Rasulullah s.a.w lagi
سحاق النساء بينهن زنا
Maksudnya:Sihaq diantara wanita itu adalah zina (rujuk kitab Feqh Islami Wa Adillatuhu Dr.Wahbah Az-Zuhaili jilid 7 ms 5346)

Para ulama telah berselisih pendapat pada persoalan adakah diwajibkan uqubah (hukuman) ataupun tidak keatas pelaku sihaq kepada tiga pendapat.

Pendapat pertama :Wajib dihukum bagi kedua-dua pelaku sihaq dari wanita dengan sebatan seratus kali sebatan.

Pendapat kedua : Mereka melakukan perbuatan haram dan tidak dikenakan hukuman had,tetapi dikenakan hukuman takzir.

Pendapat ketiga : Tiada hukuman secara mutlak,tiada had dan tiada takzir keatasnya.(pendapat Zahiriah yang diambil dari kitab Al-Muhalla)

Pendapat yang rajih merupakan pendapat yang mengatakan tiada hukuman had

(rujuk nota kaki kitab Qadhaya Feqhiyah Muasirah tahun satu 2003/2004 Universiti Al-Azhar,Kaherah ms 31-32)

Di dalam furu (pecahan) masalah yang saya nukilkan dari kitab Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab jilid 22 ms 64 ada menyatakan
ويحرم اتيان المرأة المرأة لقوله صلى الله عليه وسلم :" إذا أتت المرأة المرأة فهما زانيتان"وقد مضى تخريجه ،فان ساحقت المرأة لم يجب عليهما الحد، وقال مالك : يجب على كل واحد منهما الحد وهو مائة جلدة.دليلنا أنها مباشرة لا ايلاج فيها فلم يجب فيها الحد ،كما لو باشر الرجل المرأة فيما دون الفرج ، ويعزران لأنها معصية لا حد فيها ولا كفارة
Maksudnya : Dan diharamkan wanita mendatangi wanita sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w : " Apabila wanita mendatangi wanita maka mereka berdua berbuat zina" dan telah disebutkan dari mana hadis ini dikeluarkan sebelum ini.Sekiranya wanita mengauli wanita maka tidak diwajibkan ke atas mereka hukuman had.Dan Imam Malik rahimahullah berkata :Diwajibkan ke atas setiap mereka itu hukuman had iaitu seratus kali sebatan.Dalil kami (as-syafieah): Sesungguhnya wanita tersebut menggauli secara langsung tanpa ilaj (memasukkan hasyafah kedalam faraj wanita) maka tidak diwajibkan hukuman keatasnya had.(Begitu juga) Sebagaimana jika seorang lelaki menggauli secara langsung dengan seorang wanita tanpa (memasukkan hasyafah kedalam faraj),mereka itu di takzir kerana perbuatan itu merupakan sesuatu perbuatan maksiat yang tidak dikenakan hukuman had dan kafarah keatasnya.

Perkara yang sama juga diperkatakan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam Kitab Al-Mughni ms 350
وإن تدالكت امرأتان‏,‏ فهما زانيتان ملعونتان لما روى عن النبي صلى الله عليه وسلم - أنه قال‏:"‏‏إذا أتت المرأة المرأة فهما زانيتان"ولا حد عليهما لأنه لا يتضمن إيلاجا فأشبه المباشرة دون الفرج‏، وعليهما التعزير لأنه زنى لا حد فيه، فأشبه مباشرة الرجل المرأة من غير جماع ولو باشر الرجل المرأة،و استمتع بها فيما دون الفرج‏،‏ فلا حد عليه
Maksudnya :Apabila dua orang wanita yang saling bergosok,maka meraka berdua melakukan zina dan dilaknat sebagaimana yang diriwayatkan dari Nabi s.a.w, sesunguhnya Baginda s.a.w bersabda : Apabila seorang wanita mendatangi wanita maka mereka berdua berbuat zina dan tidak dikenakan hukumanhad keatas mereka kerana tiada ilaj(memasukkan hasyafah ke dalam faraj wanita).Umpama menggauli secara langsung (tanpa memasukkan hasyafah kedalam faraj).Mereka berdua perlu di takzir kerana ia merupakan perbuatan zina yang tidak dikenakan hukuman had. Umpama seorang lelaki menggauli wanita secara langsung tanpa jimak walaupun yang menggauli itu lelaki dan wanita.dan berseronok antara mereka tanpa (memasukkan hasyafah kedalam faraj) maka mereka tidak dikenakan hukuman had.

Imam Nawawi rahimahullah menyatakan di dalam Kitab Raudhah At-Thalibin ms 310

Dan wanita yang mendatangi wanita ,mereka itu tidak dikenakan hukuman had, walaupun kita dapati lelaki dan wanita ajnabi yang berada dalam satu selimut,dan tidak diketahui selain dari keadaan itu,kita tidak menjatuhkan hukuman had ke atas mereka ,dengan gambaran ini diwajibkan keatas mereka itu takzir .

Rumusan.

Hukuman takzir merupakan : Suatu hukuman yang dikenakan kepada pesalah bertujuan untuk mengajar (mendidik),celaan,mencegah dan menegur.

Manakala menurut syarak adalah sebagai pengajaran (mendidik) daripada melakukan dosa.Hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah, yang tidak dikenakan hukuman had dan kafarah ke atasnya.Takzir juga disyariatkan bagi setiap maksiat yang tidak sampai ke tahap hukuman had yang disyariatkan ( rujuk kitab Al-Bayan Imam Imrani jilid 12 ms .532 )

Perbuatan Sihaq tidak dikenakan hukuman had tetapi dikenakan hukuman takzir oleh pemerintah.Perbuatan sihaq bukanlah perbuatan zina menurut istilah feqh.Justeru itu, ia merupakan sesuatu perbuatan maksiat sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Mu'minun 6-7 diatas)

Wallahu A'lam.