email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Monday, September 3, 2007

Pembayaran Zakat melalui SMS

Perkembangan teknologi pada hari ini banyak memberikan kemudahan kepada pengguna untuk menjalani kehidupan seharian.Apabila menyebut khidmat pesanan ringkas SMS.Tidak terlintas dibenak pemikiran saya bahawa banyak fungsinya selaian dari menghantar massej.Kini SMS digunakan untuk menderma,pembayaran zakat,mengundi dan sebagainya.Justeru itu,tumpuan saya pada kali ini adalah pembayaran zakat melalui SMS.Perkara ini pernah menjadi isu apabila Kerajaan Terengganu ingin melaksanakan pembayaran zakat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai bulan Ramadan tahun lalu, sebagaimana yang tertera di tajuk-tajuk akhbar seperti "Terengganu tetap laksana zakat SMS mulai Ramadan" ( 31/07/2006)-Utusan dan "Kerajaan Pusat Sokong T'ganu Laksana Bayar Zakat Fitrah Guna SMS" -30 Julai, 2006 (bernama).

Secara afdhalnya,pemilik harta itu sendiri yang memberikan zakat kepada orang yang berhak menerimanya.kecuali beberapa masalah pada menyerahkan zakat kepada pemerintah.

Di dalam permasalahan ini (pembayaran zakat melalui SMS), syarikat telekomunikasi bertindak sebagai wakil pengguna untuk pembayaran zakat.


Persoalannya adakah boleh mewakilkan pembayaran zakat?


Menjawab persoalan ini Imam An-Nawawi menyatakan di dalam Kitab Al-Majmuk jilid ke-6 ms 138 pada pecahan masalah yang ke dua:


له أن يوكل فى صرف الزكاة التى له تفريقها بنفسه . فان شاء وكل فى الدفع الى الامام والساعى، وان شاء فى التفرقة على الأصناف وكلاهما جائز بلا خلاف،وانما جاز التوكيل فى ذلك مع أنها عبادة لأنها تشبه قضاء الديون،ولأنه قد تدعو الحاجة الى الوكالة لغيبة المال وغير ذلك.قال أصحابنا : سواءوكله فى دفعها من مال الموكل أو من مال الوكيل فهما جائزان بلا خلاف.قال البغوى فى أول باب نية الزكاة :ويجوز أن يوكل عبدا أو كافرا في اخراج الزكاة ،كما يجوز توكله فى ذبح الأضحية .

Maksudnya: Seseorang itu boleh mewakilkan pembayaran zakat yang sepatutnya dikeluarkan sendiri.(Seseorang itu) boleh memilih samada mewakilkan pembayaran itu kepada pemerintah ataupun sa'ie (amil).(Dia juga) boleh memilih untuk memberikan (wang zakat) kepada asnaf.Kedua-dua cara ini dibolehkan tanpa ada khilaf.(Dalil yang menunjukkan) boleh mewakilkan pembayaran zakat ini kerana ia merupakan suatu ibadah seperti (mewakilkan orang lain untuk) melangsaikan hutang.(Mewakilkan pembayaran zakat juga dibolehkan) kerana berkehendak kepada wakalah disebabkan ketiadaan wang dan yang seumpamanya.(Ashab -Assyafieah) mengatakan: samada mewakilkan untuk pembayaran zakat dari harta orang yang mewakilkan atau dari harta wakil.Kedua-dua cara ini dibolehkan tanpa ada khilaf. Imam Baghawi mengatakan pada awal bab niat zakat : Dibolehkan seseorang itu mewakilkan kepada hamba atau orang kafir pada mengeluarkan zakat sebagaimana boleh mewakilkan mereka pada penyembelihan korban.


Sebagai tambahan dari persoalan yang sama, saya nukilkan dari kitab Al-Feqh Al-Manhaji Jilid Pertama ms318 cetakan Dar Al-Qalam. Bolehkah pemilik mewakilkan orang lain untuk mengeluarkan zakat??

Ya, dia boleh berbuat demikian kerana zakat (tertakluk kepada)hak-hak harta,dan hak-hak harta boleh diwakilkan sewaktu menunaikannya seperti mewakilkan (orang lain untuk) membayar hutang dan harga barang, dan mengembalikan simpanan (harta wadiah) dan barangan pinjaman kepada pemiliknya.

Maka, boleh bagi pemiliknya mewakilkan sesiapa yang mampu melakukan perkara itu bagi pihak dirinya termasuklah orang kafir dan budak yang sudah mumayyiz tetapi disyaratkan apabila diwakilkan kepada orang kafir atau budak,dia hendaklah menentukan orang yang akan diserahkan zakat itu.

Bagaimana pula dengan niat zakat?

(dibawah ini saya sebutkan tentang niat zakat secara umum dan tidak tertumpu kepada tajuk pembayaran zakat melalui SMS kerana merasakan ianya perlu dan supaya ianya mudah difahami)


Imam Syirazi mengatakan pada matan kitab Al-Muhazzab
di dalam kitab Al-Majmuk jilid 6 ms 156


ولا يصح أداء الزكاة الا بالنية لقوله صلى الله عليه وسلم " انما الأعمال بالنيات ولكل امرئ ما نوى" ولأنها عبادة مخصمة فلم يصح من غير نية كالصلاة
.

Maksudnya : Tidak sah pembayaran zakat itu kecuali dengan niat sebagaimana sabda Baginda Nabi Muhammad s.a.w "Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat, dan bagi setiap individu itu dengan apa yang diniatkan" kerana niat itu merupakan sebahagian daripada ibadat.maka,tidak sah ibadat itu tanpa niat seperti (niat untuk menunaikan) solat.


Sebagai rumusan, sekali lagi saya nukilkan dari kitab yang sama dan ruangan yang sama di dalam kitab Al-Feqh Al-Manhaji Jilid Pertama ms318 cetakan Dar Al-Qalam di bawah tajuk "niat sewaktu penyerahan".


Diwajibkan (seseorang itu) berniat sewaktu mengeluarkan zakat untuk membezakan perbuatan tersebut dengan kaffarah dan sedekah berdasarkan hadis masyhur:

انما الأعمال بالنيات

"Sesungguhnya setiap amalam itu berdasarkan niat" (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Sekiranya (pemilik harta tersebut) sendiri yang menguruskan pengeluaran zakat,dia hendaklah berniat sewaktu menyerahkannya kepada orang yang berhak, ataupun sewaktu memisahkan jumlah yang mahu dikeluarkan zakat hartanya itu,iaitu berniat sewaktu memisahkan hartanya itu sesunguhnya jumlah ini merupakan wang zakat hartanya, ini sudah cukup dan tidak perlu berniat sekali lagi sewaktu menyerahkannya.

Sekiranya dia mewakilkannya,dia hendaklah berniat sewaktu menyerahkannya kepada wakil dan tidak wajib bagi wakil selepas itu menghadirkan niat (berniat) sewaktu menyerahkannya kepada orang yang berhak.Tetapi yang afdhalnya ialah wakil juga berniat sewaktu membahagikan harta kepada mereka.Jika pemilik harta tidak berniat sewaktu menyerahkan kepada wakil,maka niat wakil tidak cukup sewaktu menyerahkannya kepada orang yang berhak.Jika pemilik harta menyerahkan kepada pemerintah ataupun wakil pemerintah hendaklah dia berniat sewaktu penyerahan.Dan (perbuatan niat) ini sudah memadai kerana pemerintah adalah wakil kepada orang yang berhak,Maka niat sewaktu menyerahkannya adalah sama denga niat sewaktu menyerahkan kepada orang yang berhak.

Sekiranya pemilik tidak berniat sewaktu menyerahkan kepada pemerintah,niat pemerintah selepas itu tidak membawa faedah dan harta yang diserahkan itu tidak dianggap sebahagian dari pembayaran zakat.Ini disebabkan pemerintah -sebagaimana yang telah kami sebutkan-pemerintah sebagai wakil kepada orang yang berhak,dan bukanlah sebagai wakil bagi pemilik sebagaimana di dalam keadaan menyerahkannya kepada wakil.

Oleh yang demikian, tidak dikira niatnya bagi pihak diri pemilik.Tetapi niat wakil juga tidak cukup apabila pemilik yang mewakilkan tidak berniat sebagaimana yang kamu tahu (yang telah dijelaskan di atas).

Sifat Niat Zakat

Merujuk sifat niat pula Imam An-Nawawi mengatakan di dalam kitab Al-Majmuk pada muka surat 159 pecahan masalah kedua

قال أصحابنا صفة نية الزكاة أن ينوى : هذا فرض زكاة مالى أو فرض صدقة مالى أو زكاة مالى المفروضة.أو الصدقة المفروضة – فيتعرض- لفرض المال.

Maksudnya : Ulama As-Syafieah mengatakan sifat niat zakat hendaklah seseorang itu berniat : Ini adalah fardhu zakat hartaku, atau ini adalah fardhu sedekah hartaku atau ini adalah zakat hartaku yang fardhu ataupun ini adalah sedekah yang difardhukan –hendaklah mendatangkan- fardhu harta.

Justeru itu,pembayaran zakat melalui SMS dan sebagainya perlulah menghadirkan diri dengan niat fardhu zakat harta ketika mewakilkan pembayaran kepada syarikat telekomunikasi.

Dari sudut mengurusan pula, pihak syarikat telekomunikasi tersebut perlulah amanah dari sudut pengurusan wang zakat itu diserahkan kepada pemerintah atau wakilnya. Sekiranya pengguna meyakini bahawa syarikat tersebut tidak menguruskan wang tersebut dengan baik,maka pengguna tidak boleh mewakilkan pembayaran zakat melalui syarikat tersebut.




Wallahu A'lam

No comments: