email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Friday, March 28, 2008

Pergaulan Isteri dengan Suami ketika Haid


Sucinya wanita yang haid dan pergaulannya serta aktiviti hariannya di rumah


Saidina Anas r.a berkata :

Sesungguhnya orang-orang Yahudi apabila isteri mereka kedatangan haid, mereka tidak makan,minum dan tinggal bersama di dalam rumah dengan erti kata lain mereka tidak bergaul dan tidak tinggal serumah.Sahabat pun bertanya kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w tentang perkara ini.maka turunlah ayat ini [1]

و يسألونك عن المحيض قل هو أذى )[2])

Maknanya: Mereka bertanya kepadamu tentang haid.Katakanlah haid itu adalah kotoran

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:

( اصنعوا كل شىء إلا النكاح )[3]

Maknanya: Lakukanlah apa sahaja kecuali bersetubuh

Hadis Ini jelas untuk menerangkan Firman Allah :

( فاعتزلوا النساء في المحيض ولا تقربوهن حتى يطهرن )[4]

Maknanya: Oleh itu kamu hendaklah menjauhkan diri dari wanita diwaktu haid

Ayat di atas menunjukkan perintah untuk menjauhkan diri dari bersetubuh dan tidak mendekati persetubuhan ketika wanita sedang di dalam keaadaan haid. Namun selain daripada persetubuhan seperti makan,duduk,bergaul,dan tinggal bersama di dalam satu rumah ketika isteri dalam keadaan haid adalah dibolehkan. Tiada halangan untuk isteri melakukan khidmat kepada suami mereka seperti menyediakan makanan,minuman,aktiviti harian dan sebagainya ketika mereka dalam kedaan haid. Ketika ini mereka adalah bersih dan bukannya najis untuk dijauhi.[5]

Makan dan minum wanita yang haid bersama suaminya

1) Saidatina Aisyah r.a ummul mukminin berkata:

( كنت أشرب وأنا حائض ثم أناوله النبي صلى الله عليه وسلم‏ فيضع فاه على موضع فمي فيشرب,وتعرق العرق وأنا حائض ثم أناوله النبي صلى الله عليه وسلم‏ فيضع فاه على موضع فمي)[6]

Maknanya: : aku sedang minum ketika aku sedang haid, lalu Baginda Nabi s.a.w mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulut baginda s.a.w pada tempat aku meletakkan mulutku dan meminumnya dan bercampurlah bekas minuman dan ketika itu aku sedang haid, lalu Baginda Nabi s.a.w mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulut baginda s.a.w pada tempat aku meletakkan mulutku.

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa makan dan minum bersama suami ketika isteri sedang haid adalah dibolehkan. Haid itu tidak menjadikan wanita yang berada dalam keaadaan haid najis sehingga tidak boleh menyediakan makanan dan minuman untuk suaminya.

2) Dari Abdullah bin saad berkata :

(سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم‏ عن مؤاكلة الحائض فقال : (( واكلوها )) )[7]

Maknanya : Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang makanan yang disediakan oleh wanita yang haid maka Rasulullah s.a.w bersabda : makanlah

Wanita yang haid membasuh,menyikat kepala suaminya serta berkhidmat untuk suaminya.

Dari Saidatina Aisyah r.a berkata :

( كنت أغسل رأس رسول الله صلى الله عليه وسلم‏ وأنا حائض)[8]

Maknanya: Aku membasuh kepala Rasulullah s.a.w (ketika itu) aku dalam keadaan haid.

Diriwayatkan juga oleh muslim dari Saidatina Aisyah r.a berkata :


(كان رسول الله صلى الله عليه وسلم‏ يدني إليَ وأنا في حجرتي, فأرجل رأسه وأنا حائض)[9]

Maknanya:Rasulullah s.a.w mendekatkan kepala beliau kepadaku dan aku di dalam rumahku (ketika itu Nabi s.a.w sedang beriktikaf di dalam masjid), maka aku menyikat rambut beliau sedang aku dalam keadaan haid.

Daipada Saidatina Aisyah r.a juga berkata:

(قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم‏ (( ناولني الخمرة من المسجد فقلت: إني حائض و فقال: حيضتك ليست في يدك))[10]

Maknanya:Rasulullah s.a.w berkata kepadaku : Ambilkan aku الخمرة (kain yang digunakan untuk meletakkan muka ketika sujud) dari masjid lalu aku berkata : aku sedang haid. Rasulullah s.a.w bersabda : Haidmu itu bukan pada tanganmu.

Kesemua hadis di atas jelas menerangkan kepada kita bahawa wanita yang berada dalam keadaan haid tidak melarang mereka untuk memberi khidmat serta membantu kepada suami mereka untuk membasuh,menyikat,dan membersihkan suaminya mahupun apa sahaja yang diperintahkan oleh suami untuk melakukan sesuatu perkara.

Wanita yang haid mengambil baju yang bersih ketika haid

Dari Ummu Salamah r. a katanya

(بينما أنا مضطجعة مع رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏في الخميلة إذ حضت فانسللت فأخذت ثياب حيضتي فقال لي رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم‏ ‏أنفست ‏ ‏قلت نعم فدعاني فاضطجعت معه في ‏ ‏الخميلة)[11]

Maknanya:Ketika aku sedang berbaring bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut, tiba-tiba aku haid, lantas aku keluar secara perlahan-lahan untuk mengambil pakaian khas semasa haid. Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku: Apakah kamu sedang haid? Aku menjawab: Ya. Baginda memanggilku lalu aku berbaring lagi bersama baginda dalam satu selimut.

Hadis ini menunjukkan bahawa sunat bagi seseorang wanita mengambil pakaian yang khusus ketika haid selain dari pakaiannya yang biasa

Diharamkan ke atas suami menyetubuhi isterinya ketika haid

Ulama telah bersepakat tentang pengharaman terhadap suami menyetubuhi isterinya ketika haid dengan firman Allah :

( فاعتزلوا النساء في المحيض ولا تقربوهن حتى يطهرن )[12]

Maknanya: Oleh itu kamu hendaklah menjauhkan diri dari wanita diwaktu haid

الإعتزال bermaksud meninggalkan setubuh berpandukan dengan hadis

Abdullah bin Saad r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w :

( ما يحل لي من امرأتي وهي حائض ؟ قال (( لك ما فوق الإزار)) )[13]

Maknanya: Apakah yang dihalalkan ke atasku dengan isteriku yang sedang haid Rasulullah s.a.w bersabda:Engkau boleh berseronok dengannya apa yang di atas izar (kain yang menutupi dari pusat ke lutut)

Istimta` dengan apa yang di bawah izar akan mengundang kepada jimak maka ianya diharamkan

Hadis Nukman bin Basyir r. a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

...من حام حول الحمى يوشق أن يقع فيه))[14]))

Maknanya:seperti penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, maka kemungkinan besar binatangnya akan memasuki kawasan tersebut

Bersesuaian dengan kaedah feqhiah yang berbunyi:

الحريم له حكم ما هو حريم له[15]

Maknanya:

Kawasan larangan adalah dihukumkan apa yang menjadi kawasan larangan

: هو المحيط بالحرام الحريم

Termasuk dari kaedah ini ialah

وحرم الإستمتاع بما بين السرة والركبة في الحيض لحرمة الفرج

Haram istimta` di antara kawasan pusat dan lutut ketika haid kerana haramnya faraj ketika haid

Penjelasan : Berdasarkan hadis Nukman bin Basyir r.a itu tadi dengan mengambil kaedah di atas mengharamkan istimta` di antara kawasan pusat dan lutut sebagai mengambil langkah berhati-hati dikhuatiri dari terlanggar larangan untuk tidak boleh bersetubuh ketika haid

Dibolehkan suami istimta` dengn isterinya yang haid selain dari kemaluannya (faraj)

Walaupun suami diharamkan untuk menyetubuhi isterinya ketika haid namun mereka dibolehkan untuk istimta` (berseronok) dengan isteri mereka selain daripada menyetubuhinya.

Dari Saidatina Aisyah r.a berkata:

(وكان ‏صلى الله عليه وسلم يأمرني فأتزر,فيباشرني وأنا حائض)[16]

Maknanya: Rasulullah s.a.w menyuruhku untuk memakai izar kemudian aku memakainya lalu baginda menggauliku (tanpa jimak) dan aku ketika itu sedang haid

Imam Nawawi rahimahullah berkata[17] : Ulamak bersepakat bahawa halal menggauli isteri yang sedang haid dengan apa yang di atas pusat dan di bawah lutut sama ada dengan mencium, memeluk, menyentuh dan sebagainya

Manakala menggauli isteri yang sedang haid pada kawasan di antara pusat dan lutut selain dari faraj ada beberapa pendapat

Pertama: Haram

Kedua : Makruh yang ditegah, atau dibolehkan

Ketiga : Sekiranya suami tersebut mampu untuk mengawal dirinya dari menggauli kawasan faraj dan percaya pada dirinya yang akan menjauhi dari kawasan faraj sama ada suami tersebut tiada syahwatnya ketika itu ataupun kewarakannya maka ia dibolehkan.tetapi sekiranya tidak boleh berbuat demikian maka ia tidak dibenarkan.

Diantara ulama yang menyokongan dengan pendapat yang pertama adalah Imam Malik, Abu Hanifah , Said bin Musaiib dan kebanyakan daripada ulamak menyokongn pendapat ini.

Manakala mereka yang menyokong pendapat kedua ini adalah Saidina Ikrimah, Mujahid, Syukbi, Nakha`ie, As-sauri, Al-Auza`ie, Imam Ahmad bin Hambal, Muhammad bin Al-Hasan, Ishak bin Rohawieh, Abu Thur, dan Daud Az Zahiri.

Pendapat yang ketiga pula disokong oleh sebahagian dari As-syafi`eah diantaranya adalah Abu Al-Abbas Al-Basri

Pendapat kedua merupakan pendapat yang paling kuat berdasarkan dengan hadis yang telah kita sebut sebelum ini ketika turunnya ayat 222 dalam surah Al-Baqarah

Firman Allah s.w.t :

(و يسألونك عن المحيض قل هو أذى فاعتزلوا النساء في المحيض)[18]

Maknanya: : Mereka bertanya kepadamu tentang haid.Katakanlah haid itu adalah kotoran. Oleh itu kamu hendaklah menjauhkan diri dari wanita diwaktu haid

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda :

( اصنعوا كل شىء إلا النكاح )[19]

Maknanya: Lakukanlah apa sahaja kecuali bersetubuh

Manakala berhubung Nabi s.a.w mengurangkan atau menghadkan kawasan untuk menggauli isteri dengan apa yang di atas izar sahaja merupakan ihtimal bahawa perbuatan tersebut adalah sunat sahaja kerana Nabi s.a.w juga meninggalkan kawasan terebut. Begitu juga ketika Nabi s.a.w tidak memakan Ad Dhob sedangakan ianya boleh dimakan.Begitu juga baginda tidak memakan bawang tetapi tidak bermakna bawang tidak boleh dimakan.[20]

Kafarah bagi suami yang menyetubuhi isterinya yang sedang haid

Sebagaimana yang kita telah maklumi bahawa seorang suami tidak boleh menyetubuhi isterinya yang sedang haid.Persoalannya sekiranya berlaku persetubuhan ketika itu, adakah perlu seorang suami membayar kafarah?

Jumhur ulama seperti mazhab maliki, Hanafi, dan Syafi`e berpendapat bahawa tiada kafarah bagi suami yang menyetubuhi isterinya yang sedang haid tepi wajib keatas suami tersebut beristighfar dan bertaubat kerana pada asalnya adalah البراءة iaitu melepaskan.maka ianya tidak berubah kecuali terdapat hujjah. Hadis yang menunjukan perlunya kafarah adalah مضطرب oleh itu persetubuhan ketika itu haram untuk menghindarkan kan dari kotoran.Oleh yang sedemikian tidaklah dikenakan kafarah seperti halnya bersetubuh pada dubur.[21]

Manakala mazhab Hambali pula berpendapat bahawa wajib membayar kafarah bagi suami yang menyetubuhi isterinya ketika haid dan nifas.Diwajibkan juga kepada isteri untuk membayar kafarah sekiranya taat kepada suami untuk disetubuhi ketika haid seperti kafarah bersetubuh ketika dalam keadaan ihram, tetapi sekiranya isteri dipaksa juga untuk bersetubuh ketika haid maka isteri tersebut tidak perlu membayar kafarah. Kafarah Wajib di bayar walaupun persetubuhan itu berlaku kerana terlupa,dipaksa atau tidak mengetahui yang isterinya sedang haid atau tidak mengetahui (jahil) tentang pengharaman bersetubuh kertika haid ataupun kedua-duanya sekali.

Tidak diwajibkan membayar kafarah sekiranya bersetubuh setelah terputus haidnya.

Kafarahnya adalah boleh memilih sama ada satu dinar ataupun separuh dinar bernaskan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a dari Nabi s.a.w :


(في الذي يأتي امرأته وهي حائض : يتصدق بدنار أو نصف دينار)[22]


Maknanya : Bagi yang menyetubuhi isterinya yang sedang haid adalah dengan meyedekahkan (kafarah) satu dinar atau separuh dinar

Namun bergitu sebahagian ulama syafi`eah berpendapat bahawa sunat bagi sesiapa yang menyetubuhi isterinya ketika permulaan waktu haid dengan sedekah satu dinar,manakala bagi mereka yang menyetubuhi isterinya pada akhir waktu haid dengan membayar separuh dinar[23]. Hal ini berdasarkan sebagaimana hadis yang lepas dari Ibn Abbas dari At tirmizi

( إذا كان دما أحمر فدينار وإن كان دما أصفر فنصف دينار) [24]

Maknanya: sekiranya darah itu kemerahan maka dibayar dengan satu dinar manakala sekiranya darah itu warna kekuningan maka dibayar dengan separuh dinar

Suami boleh tidur bersama isterinya ketika haid

Suami dibolehkan untuk tidur bersama isterinya yang haid di atas satu katil

Berdasarkan hadis

Hadis Ummu Salamah r. a katanya:

(بينما أنا مضطجعة مع رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏في الخميلة إذ حضت فانسللت فأخذت ثياب حيضتي فقال لي رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم‏ ‏أنفست ‏ ‏قلت نعم فدعاني فاضطجعت معه في ‏ ‏الخميلة)[25]


Ketika aku sedang berbaring bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut, tiba-tiba aku haid, lantas aku keluar secara perlahan-lahan untuk mengambil pakaian khas semasa haid. Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku: Apakah kamu sedang haid? Aku menjawab: Ya. Baginda memanggilku lalu aku berbaring lagi bersama baginda dalam satu selimut.

Ibn Hajar Al Asqolani ketika mentklik hadis ini mengatakan bahawa hadis ini membolehkan suami tidur bersama isterinya yang haid pada bajunya (satu baju) dan berbaring bersamanya dalam satu selimut.[26]

Suami menyandar (berpangku) kepada isterinya yang haid

Dari Sadatina Aisyah r.a berkata:

(كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يتكىء في حجري وأنا حائضو فيقرأ القرأن)[27]


Maknanya: Baginda Rasulullah s.a.w berpangku kepadaku (meletakkan kepala baginda s.a.w dipangkuan saidatina Aisyah r.a) di bilikku sedangkan ketika itu aku sedang haid. Lalu baginda membaca Al-Quran

Imam Nawawi mentaklik hadis ini dengan mangatakan boleh seseorang itu membaca Al-Quran dipangkuan isterinya yang sedang haid.[28]

Wanita yang haid berhias dan membersihkan diri

Disunatkan bagi wanita yang haid untuk membersihkan dirinya dan juga berhias tidak kira sama ada menyikat rambutnya, berdandan dan sebagainya kerana ketika ini suami boleh menggaulinya selain daripada faraj sebagaimana yang telah kita katakan sebelum ini.

Hal ini bersandarkan dengan Hadis Saidatina Aisyah r.a apabila ditanya oleh seorang wanita :

(هل تختضب الحائض؟ فقالت عائشة : قد كنا عند النبي ونحن نختضب فلم يكن ينهانا منه)[29]

Maknanya: adakah boleh wanita yang haid berinai : maka Saidatina Aisyah r.a menjawab kami ketika bersama dengan Nabi s.a.w dan kami berinai dan Nabi s.a.w tidak melarang kami dari berinai.




[1] Rawai` bayan, Imam Ali As-Sobuni ms208

[2] Surah Al Baqarah ayat 222

[3] Soheh Muslim syarah Imam Nawawi j.3 ms 211, riwayat Ibn Majah j.1 ms 211

[4] Surah Al Baqarah ayat 222

[5] Syarah Imam Nawawi dalam Soheh Muslim j.3 ms 208,211 , Subulussalam j1 ms 144

[6] Soheh Muslim Syarah Imam Nawawi j 3 ms 210-211

[7] Sunan Ibn Majah j 1 ms 213

[8] Soheh Muslim j 3 ms 209

[9] Soheh Muslim j 3 ms 209

[10] Soheh Muslim j 3 ms 209

[11] Soheh Bukhari syarah Al Asqolani j 1 ms 402,422, Soheh Muslim j 3 ms 26

[12] Surah Al Baqarah ayat 222

[13] Riwayat Abu Daud, Nail Authar j 1 ms 277

[14] Soheh Bukhari hadis ke 50

[15] Asybah Wan Nazhoir ms 286

[16] Soheh Bukhari Syarah Al Asqolani j 1 ms 403-404

[17] Soheh Muslim Syarah Imam Nawawi j 3 ms 204-205, subulussalam j 1 ms 144 Al Mughni j 1 ms334

[18] Surah Al Baqarah ayat 222

[19] Soheh Muslim syarah Imam Nawawi j.3 ms 211, riwayat Ibn Majah j.1 ms 211

[20] Soheh Muslim Syarah Imam Nawawi j 3 ms 204-205, subulussalam j 1 ms 144 Al Mughni j 1 ms334

[21] Feqh Islami Wa Adillatuh Dr Wahbah Az Zuhaili j 1 ms 630

[22] Nail Authar j 1 ms 278

[23] Feqh Islami Wa Adillatuh Dr Wahbah Az Zuhaili j 1 ms 630

[24] Nail Authar j 1 ms 278

[25] Soheh Bukhari syarah Al Asqolani j 1 ms 402,422, Soheh Muslim j 3 ms 26

[26] Soheh Bukhari syarah Al Asqolani j 1 ms 403,422

[27] Soheh Muslim j 3 ms 211 Sunan Ibn Majah j 1 ms 208

[28] Soheh Muslim Syarah Imam Nawawi j 3 ms 211

[29] Sunan Ibn Majah j 1 ms 215


No comments: