email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Friday, April 18, 2008

Cukai Ke Atas Khamar (Arak) dan Khinzir (Babi)

Menjawab persoalan ini, saya nukilkan dari kitab Ahkam Az-Zimmiyyin wal Musta’manin fi Daril Islam karangan Dr Abdul Karim Zaidan cetakan Mu’assasah Ar-Risalah pada muka surat 155 dan 156

Menurut pendapat Hanafiah pada zahir Riwayat,diwajibkan cukai perniagaan ke atas arak ( tetapi) tidak diwajibkan cukai ke atas khinzir,(manakala) menurut (Imam) Abi Yusuf diwajibkan juga cukai terhadap khinzir.

Manakala (menurut) pendapat (Imam) Zafar,telah berlaku pertentangan yang disebutkan daripada beliau di dalam kitab-kitab mazhab Hanafiah.Maka di dalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir :

Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah Ta’ala “ Tidak dikenakan cukai arak dan (juga) tidak dikenakan cukai khinzir ”.Manakala di Dalam kitab Al-Hidayah : Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah ta’ala : Dikenakan cukai kedua-duanya (arak dan khinzir) untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai ) harta.

(*scene-r : Berlaku pertembungan perkataan Imam Zafar di dalam kitab-kitab mazhab Hanafiah sama ada dikenakan cukai ataupun tidak dikenakan cukai ke atas arak dan khinzir.Didalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir dinaqalkan bahawa Imam Zafar mengatakan: tidak dikenakan cukai arak dan babi manakala di dalam kitab Al-Hidayah pula menaqalkan bahawa Imam Zafar mengatakan: dikenakan cukai kedua-duanya)

Dan yang rajih menurutku (Dr.Abdul Karim Zaidan) perkataan (di dalam) kitab Al-Hidayah.Manakala apa yang terdapat di dalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir itu berkemungkinan tersalah cetak dengan penambahan kalimah ( لا) (tidak) pada kedua-dua tempat.Dan aku (Dr.Abdul Karim Zaidan) merajihkan ini (Kitab Al-Hidayah) kerana mengambil perkataan (Imam) Zafar : “Untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai ) harta di sisi mereka (Hanafiah) ” .Aku (Dr.Karim Zaidan) telah merujuk di dalam nuskhah yang lain daripada kitab Al-Hidayah (dari sudut adakah ada di sana) kesalahan dan percetakan (kemudian aku dapati) kesemuanya menyebutkan : Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah ta’ala : Dikenakan cukai kedua-duanya (arak dan khinzir) untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai) harta menurut mereka (Hanafiah).

Dan Hujjah (Imam) Zafar (yang mengatakan) pada wajib dikenakan cukai perniagaan ke atas arak dan khinzir ialah : Kedua-duanya itu merupakan harta Mutaqawwim pada hak ahli zimmah,oleh yang demikian akan dikenakan dhaman ke atas muslim yang merosakkannya.

(*scene-r : Sebentar tadi kita telah mengetahui bahawa pendapat Imam Zafar menyamakan arak dan khinzir pada pentakrifan arak dan khinzir itu di sebut sebagai harta yang mutaqawwim pada hak ahli zimmah.Sebentar lagi kita akan melihat pula pendapat Zahir Hanafiah yang tidak menyamakan atau kata lain membezakan antara arak dan khinzir itu daripada pentakrifan harta)

Dan wajah (gambaran) zahir riwayat (menurut pendapat Hanafiah) iaitu perbezaan antara arak dan khinzir seperti berikut :

PERTAMA : Apa yang diriwayatkan daripada (Saidina) Umar bin Al-Khattab r.a telah menghimpunkan Amil-amilnya pada Al-Musim (pengumpulan harta ).Berkata (Saidina) Umar r.a kepada mereka (amil-amilnya) : Apa yang kamu ambil daripada ahli zimmi daripada apa yang berlalu ke atas kamu daripada arak? (Apa yang kamu ambil daripada orang kafir zimmi daripada penghasilan perniagaan atau penjualan arak mereka?)

Mereka menjawab : Setengah daripada satu persepuluh ( 5% ) daripada nilainya (sebagai cukainya)

(Kemudian Saidina) Umar r.a berkata : Berikan tauliah untuk menjualnya dan ambil setengah daripada satu bersepuluh ( 5 % ) daripada nilainya (sebagai cukainya).

KEDUA : Sesunguhnya arak itu lebih hampir daripada (pentakrifan) harta (berbanding) daripada khinzir (bukan harta)kerana ia (arak) itu bagi kami merupakan harta pada permulaannya ketika diperah dan akan menjadi harta semula pada akhirnya (iaitu) selepas (arak itu) berubah (menjadi cuka).Manakala khinzir (pula) menurut kami bukanlah (ditakrifkan sebagai) harta pada permulaannya dan tidak pula akan berubah menjadi harta pada penghujungnya.

KETIGA : Sesungguhnya arak itu dari kategori Al-Amthal,mengambil nilai pada apa (benda) yang mempunyai contoh daripada sejenisnya, tidak akan berdiri menggantikan tempatnya (maka nilai itu tidak berdiri di atas benda itu),maka mengambil qimah (nilai) arak tidak disamakan dengan mengambil arak.Manakala khinzir pula dari kategori Al-Qiyam,dan qimah(nilai) pada benda yang tiada contoh sebandaingnya akan berdiri di atas tempat itu,maka mengambil qimah (nilai khinzir samalah) seperti mengambilnya (zat khinzir).Dan ini tidak dibolehkan untuk orang muslim.

(*scene-r : Arak termasuk daripada kategori Al-Amthal iaitu ada benda lain sejenisnya atau pun sebanding dengannya seperti anggur atau perahan anggur .Berbeza dengan khinzir yang termasuk daripada kategori Al-Qiyam iaitu tiada yang sejenis atau yang sebanding dengannya yang boleh menggantikan tempatnya maka mengambil nilai khinzir sama dengan mengambil khinzir)

KEEMPAT : Sesungguhnya hak pengambilan untuk daulah dengan sebab pemeliharaan (penjagaan),dan bagi muslim itu penjagaan arak pada keseluruhannya, oleh yang demikian sekiranya (seorang muslim itu) mewarisi arak maka orang muslim itu perlu menjaga arak tersebut daripada orang lain untuk membiarkannya berubah (menjadi cuka).Maka bagi orang muslim itu wilayah (boleh melantik orang lain untuk) penjagaan arak selain daripada dirinya.Berbeza dengan khinzir,tidak boleh bagi seorang muslim memelihara (menjaga) khinzir,sehingga sekiranya (seorang muallaf) yang masuk Islam memiliki banyak khinzir,maka ketika itu dia (muallaf) tidak boleh memeliharanya bahkan dia perlu meninggalkannya,(dia) tidak boleh wilayah (melantik orang lain untuk ) penjagaan khinzir selain daripada dirinya.(muallaf tersebut tidak boleh memelihara khinzir dan tidak boleh melantik orang lain untuk memelihara khinzir)

(*scene-r : kita telah sebutkan sebentar tadi hujjah-hujjah daripada zahir riwayat Hanafiah yang membezakan antara arak dan khinzir dari pentakrifan harta.Sebentar lagi Dr.Abdul Karim Zaidan akan membahas semula hujjah-hujjah yang di sebutkan tadi)

Sebenarnya hujjah-hujjah ini tidak terselamat daripada pertentangan.(I’tiradh)

Apa yang diriwayatkan oleh Saidina Umar r.a (pada hujjah pertama) itu bukanlah menunjukkan (bahawa) tidak wajib cukai perniaagaan ke atas khinzir dengan hujjah tidak disebutkan kecuali arak.

([scene-r] : Di dalam hujjah pertama tadi hanya menyebutkan arak tetapi tidak disebutkan khinzir.Oleh yang demikian bukan bermakna tidak diwajibkan cukai perniagaan khinzir kerana tidak disebutkan khinzir di dalam riwayat tersebut)

Kerana tidak menyebutkan sesuatu bukan dalil yang menunjukkan melarang sesuatu.

Manakala perkataan yang mengatakan bahawa arak itu lebih dekat dengan pentakrifan harta berbanding khinzir (hujjah ke dua) tidak memberi kesan pada (penyelesaian) masalah kerana arak bukanlah dikategorikan sebagai harta yang Mutaqawwim pada hak muslim begitu juga dengan khinzir.

Dan mereka katakan sekiranya pengambilan – ataupun mengambil cukai – dengan sebab pemeliharaan, Seorang muslim baginya menjaga arak dengan keseluruhannya berbeza dengan khinzir,dan (untuk)menolak pendapat ini bahawa khinzir itu selagi ia merupakan harta yang mutaqawwim pada hak zimmi (samalah) seperti kambing (yang merupakan harta mutaqawwim) pada hak kita,sebagaimana pendapat Hanafiah,maka semestinya memasukkan pada pemeliharaan ,seperti (sebagai contoh) memasukkan arak pada pemeliharaannya dengan mengiktibarkannya sebagai harta yang mutaqawwim bagi (hak) zimmi.

Oleh yang demikian rajih menurutku (Dr.Abdul Karim Zaidan) adalah pendapat (Imam) Abi Yusuf dan (Imam) Zafar.(mengenakan cukai pada ke dua-dua perniagaan arak dan khinzir)

Manakala menurut Hanabilah dan Syafieah : Tidak dikenakan cukai arak dan khinzir, juga tidak dikenakan nilai kedua-duanya kerana kedua-duanya itu (arak dan khinzir)bukanlah (dikategorikan sebagai) harta pada asalnya –Sesungguhnya (cukai) hanya di ambil daripada harta yang Mutaqawwim.

Rumusan :

Pendapat Hanafiah : Dikenakan cukai pada arak sahaja dan tidak dikenakan pada khinzir

Mankala pendapat Imam Abi Yusuf dan Imam Zafar daripada ulama Hanafiah berpendapat : Dikenakan cukai pada arak dan khinzir.

Pendapat Hanabilah dan Syafieah : Tidak dikenakan cukai arak dan khinzir.

[scene-r ] :Bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan harta yang mutaqawwim Dr.Abdul Karim Zaidan meletakkan nota kaki di dalam kitab yang sama pada muka surat 156 sebagaimana berikut :

Harta yang mutaqawwim itu merupakan apa yang terpelihara secara perbuatan (atau praktikal)nya dan boleh dimanfaatkan secara kebiasaan menurut syarak secara diusahakan atau secara ikhtiar (pilihan).

Manakala harta yang bukan mutaqawwim pula iaitu apa yang bukan dimiliki oleh seseorang atau, ia dimiliki secara perbuatan tetapi tidak boleh dimanfaatkan secara kebiasaan yang diterima oleh syarak dan dibolehkan secara diusahakan dan secara pilihan seperti (contoh) arak dan khinzir (merupakan harta yang bukan mutaqawwim) bagi orang muslim.

Manakala arak dan khinzir bagi orang bukan muslim merupakan harta yang mutaqawwim selagi mereka berpegang bahawa sah bermuamalat dan mendapat manfaat dengannya secara kebiasaan,kerana syarak menyuruh kita membiarkan ahli zimmah dengan apa yang mereka anuti (menurut kepercayaan mereka) dan wajib bagi kita memberitahu mereka bahawa arak dan khinzir merupakan harta yang mutaqawwim bagi mereka(tetapi bukan harta yang mutaqawwim bagi kita).(Dr.Abdul Karim Zaidan merujuk dari Kitab Al-Fiqh Al-Islami Ustaznya Muhammad Salam Madkur ms 167)

[scene-r]:Harta Mutaqawwim bagi orang muslim merupakan apa sahaja yang dikira sebagai harta menurut syarak (suci,bermanfaat dsb sama ada diusahakan atau secara ikhtiar).Manakala harta yang bukan mutaqawwim bagi orang muslim adalah sesuatu yang tidak dikira sebagai harta yang boleh dimiliki (seperti khinzir tidak dikira sebagai harta menurut kita) atau ia dimiliki secara perbuatan (seperti contoh anggur boleh dimiliki dan dikategorikan sebagai harta) tetapi tidak boleh dimanfaatkan (seperti sudah diperah menjadi arak).

Manakala harta yang mutaqawwim bagi kafir zimmi merupakan apa sahaja yang menurut kepercayaan mereka dibenarkan bermuamalat dengannya dan menurut mereka harta tersebut adalah bermanfaat.Sekiranya mereka mengatakan bahawa khinzir itu dibenarkan oleh kepercayaan mereka maka khinzir merupakan harta yang mutaqawwim bagi mereka.

Apabila dikategorikan sebagai harta yang mutaqawwim bagi hak kafir zimmi maka kita tidak boleh merosakkannya,jika dilakukan juga akan dikenakan dhaman atau ganti rugi bagi orang yang merosakkannya.

Berbeza jika mereka mengatakan bahawa khinzir itu tidak bermanfaat menurut kepercayaan mereka;maka ketika itu khinzir adalah bukan harta mutaqawwim begitu juga kita boleh contohkan dengan arak pada mengklasifikasikan arak itu sebagai harta yang muatqawwim ataupun bukan.

Segalanya perlu merujuk kepercayaan mereka.Adakah kepercayaan mereka itu membolehkan atau tidak.Jika kepercayaan mereka membolehkan maka harta itu adalah harta mutaqawwim bagi hak mereka.Manakala, jika kepercayaan mereka juga tidak membenarkan maka harta itu bukan dikategorikan sebagai harta mutaqawwim.

Sebagai tambahan telah berkata Khalifah Umar Abdul Aziz :

الخمر لا يعشرها مسلم

Maksudnya : Arak itu tidak dikenakan cukai (ke atas perniagaan) oleh orang Muslim.(Rujuk Al-Mughni li Ibnu Qudamah jilid 13 ms 232 cet.Dar Alam Al-Kutub)

Seterusnya berkata Abu Ubaid : dan Makna perkataan Saidina Umar r.a :

ولُّوهم بيعها ، وخذوا أنتم من الثمن . أن المسلمين كانوا يأخذون من أهل الذمّة الخمر والخنازير من جزيتهم ، وخَراج أرضِهم بقيمَتِهما ،ثم يتولَّى المسلمون بيعها ، فأنكره عمر ، ثم رخَّصَ لهم أن يأخذوا من أثمانها ، إذا كان أهل الذمّة المتولِّين بيعَها، و روى بإسناده عن سويد بن غفلة ، أن بلالا قال لعمر : إن عمالك يأخذون الخمر والخنازير فى الخراج . فقال :لا تأخذوها منهم ، ولكن ولُّوهم بيعها ، وخذوا أنتم من الثمن.

Maksudnya: Tauliahkan kepada mereka untuk menjual,dan kamu ambillah daripada cukainya. Sesungguhnya orang-orang muslimin itu mengambil daripada ahli zimmah daripada cukai (yang dikenakan keatas) meraka,dan pengeluaran hasil bumi dengan nilainya.Kemudian orang-orang muslimin mentauliahkan untuk menjualnya,maka Saidina Umar r.a mengingkarinya kemudian merukhsahkan (meringankan atau membolehkan) untuk mereka mengambil nilainya,(dengan syarat) sekiranya ahli zimmi itu ditauliahkan untuk menjualnya.Dan diriwayatkan dengan sanadnya dari Suaid bin Ghaflah r.a, sesungguhnya Saidina Bilal r.a berkata pada Saidina Umar r.a :Sesungguhnya Ummal (amil-amil) kamu mengambil arak dan khinzir sebagai pengeluaran.Maka Saidina Umar r.a berkata : Janganlah kamu mengambil daripada mereka tetapi berikanlah tauliah kepada mereka dan ambillah cukainya. .(Rujuk Al-Mughni li Ibnu Qudamah jilid 13 ms 232/233 cet.Dar Alam Al-Kutub)

Berkata Imam Ibnu Qudamah pada muka surat 233

فصل : ويجوز أخذ ثمن الخمر والخنزير منهم عن جزية رءوسهم ، وخراج أرضهم، احتجاجا بقول عمر هذا : ولأنها من اموالهم التى نقرهم على اقتنائها والتصرف فيها ، فجاز أخذأثمانها منهم كثيابهم.

Maksudnya: Fasal : Dan dibolehkan mengambil nilai (cukai) arak dan khinzir daripada mereka melalui cukai kepala mereka, dan pengeluaran tanaman mereka,berhujjah dengan perkataan daripada Saidina Umar r.a ini : kerana ia merupakan daripada harta mereka yang kita tetapkan ke atas mereka (bahawa harta tersebut) menjadi miliknya dan boleh belanjakan (atau tasaruf jual beli) maka bolehlah mengambil nilainya (cukai) daripada mereka seperti baju-baju mereka (yang boleh dijual belikan).

[scene-r] : Mungkin boleh kita katakan pentauliahan kepada kafir zimmi sekarang ini dengan cara memberi lesen kepada mereka.Bagaimana lesen ini boleh diberikan kepada mereka itu terpulang kepada pemerintah untuk meletakkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh kafir zimmi, seperti contoh; Diberikan lesen kepada mereka yang menjual arak dengan syarat tidak boleh secara terbuka dan menetapkan kuantitinya begitu juga dengan ladang khinzir.Kemungkinan boleh di syaratkan untuk penternak khinzir menjaga kebersihan dan tidak membuat pencemaran serta menghadkan kuantiti ternakan atau apa sahaja syarat yang dilihat oleh pemimpin mengikut penilaian dan pertimbangan mereka.Manakala sekiranya ahli zimmi ini gagal memenuhi syarat maka boleh sahaja lesen itu ditarik balik ataupun sekiranya di dapati bahawa arak atau khinzir itu juga bukan harta mutaqawwim bagi ahli zimmi maka ketika itu tidak lagi dibolehkan untuk membiar dan membenarkan mereka menjalankan aktiviti penjualan arak atau khinzir.

Wallahu A’lam

1 comment:

Komiti Mini Pavilion said...

Babi Yang Diternak Oleh Orang Kafir

Keharaman babi ke atas orang Islam sudah pun jelas, tidak kiralah sama ada dagingnya, lemaknya, kulitnya atau sebagainya, termasuklah juga aktiviti menternak, memelihara, memperjualbelikan atau mengambil apa jua keuntungan dari binatang najis ini, keharamannya sudah tidak perlu dipertikaikan lagi. Yang masih menjadi kekeliruan atau persoalan kepada sebahagian dari umat Islam adalah ketentuan berkaitan hukum babi ini ke atas orang kafir, khususnya aktiviti menternak atau memperjualbelikannya. Sebelum menjelaskan hukum-hakam yang berkaitan, marilah kita sama-sama melihat bagaimana pemimpin-pemimpin Islam terdahulu yang jauh lebih mulia dari pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, menangani masalah binatang haram ini dalam pemerintahan mereka.

Abu Umamah meriwayatkan bahawasanya Khalifah Umar Al-Khattab ra pernah berkata, “Berlatihlah ketangkasan berkuda, berhati-hatilah dan jangan kamu berakhlak seperti orang-orang ‘ajam (orang bukan Isam), jangan mendekati khinzir atau menegakkan salib di antara orang-orang Muslim”. Laits bin Abi Sulaim meriwayatkan bahawasanya Khalifah Umar ra pernah menulis surat kepada penguasa daerah dan memerintahkan mereka supaya membunuh khinzir dan membayar ganti rugi dengan mengurangkan pembayaran jizyah (bayaran yang wajib dibayar oleh kafir zimmi kepada Daulah Islam). Semuanya itu menunjukkan bahawa kaum Muslimin mahupun kafir zimmi dilarang memelihara atau pun melakukan perdagangan babi baik di dalam negeri mahupun dengan pihak luar negara. Diriwayatkan juga bahawa Khalifah Umar Al-Khatab mengecam Samurah bin Jundub yang mahu menerima pembayaran kharaj dan jizyah dari kafir zimmi yang berupa hasil penjualan arak dan khinzir. Ketika itu Khalifah Umar berkata dengan tegas, “Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuk Samurah iaitu pegawai kami di Iraq kerana dia mencampurkan harga arak dan khinzir ke dalam belanjawan hak kaum Muslimin itu. Arak dan khinzir adalah haram dan hasilnya juga adalah haram!” (Lihat kitab Musannaf, Abdurrazzaq Jilid VI halaman 75 dan jilid X halaman 196). Lebih jauh dari itu Khalifah Umar berkata, “Tidak halal berjualbeli sesuatu yang tidak dihalalkan memakan dan meminumnya” [Sunan Al-Baihaqi 6/14].

Oleh kerana itulah, kita dapati bahawa Khalifah Umar ra menetapkan syarat bagi kafir zimmi agar tidak membiarkan khinzir milik mereka berkeliaran di jalan-jalan tempat lalu lintas kaum Muslimin. Kemudian beliau mengambil tindakan yang lebih keras lagi iaitu memerintahkan pembunuhan khinzir yang ada pada kafir zimmi dan membayar penggantian harganya dengan dipotong dari jizyah yang wajib mereka bayar kepada Daulah. Semua yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khatab ra memperkuatkan lagi mafhum ayat tentang keharaman segala jenis aktiviti yang terkait dengan khinzir, termasuk penternakan. Dalam suratnya yang dikirimkan kepada pemerintah-pemerintah daerah, beliau mengatakan antara lainnya “Jangan ada seekor khinzir yang berdekatan dengan kamu, jangan ada orang-orang Nasrani di antara kamu yang menegakkan salib-salibnya dan jangan menghadiri jamuan makan yang di dalamnya ada orang yang minum arak. Berlatihlah menunggang kuda dan belajarlah memanah”. Apa yang diperintah oleh Khalifah Umar itu tidak dibantah oleh seorang sahabat pun. Mereka sepakat bersetuju dengan tindakan Umar yang melarang penternakan khinzir dan tidak membolehkan seorang Muslim ataupun kafir zimmi memelihara khinzir di dalam Daulah Islam.

Ibnu Abbas berpendapat bahawa kafir zimmi mesti dilarang memiliki, memelihara dan memperjual-belikan khinzir. Sebuah riwayat yang berasal dari Ibnu Abbas sendiri menerangkan ketika dia ditanya tentang orang ‘ajam (orang kafir non-Arab), “Apakah mereka boleh membangunkan kuil dan gereja di daerah-daerah/bandar yang dibangunkan oleh orang-orang Arab (Islam)? (jawabnya) ‘Mereka tidak dibolehkan membangunkan kuil atau gereja, tidak boleh memperlihatkan arak dan tidak boleh memelihara khinzir”. Ibnu Abbas berpendapat kafir zimmi yang bermukim di daerah-daerah kaum Muslimin dilarang memelihara khinzir, samalah dengan pendapat Khalifah Umar Al-Khatab ra. Kedua-dua pendapat mereka ini telah dipersetujui para sahabat dan kita perlu faham bahawa adalah sesuatu yang mustahil bagi para sahabat (secara ijmak) bersetuju/bersepakat di atas ketentuan sesuatu hukum kecuali setelah mereka mengetahui dan memahami dalil syar’i yang berasal dari Al-Quran atau pun dari ucapan, perbuatan mahu pun taqrir Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dengan penjelasan di atas maka adalah jelas bahawa secara amnya memelihara atau menternak khinzir adalah diharamkan bagi kaum Muslimin, Nasrani, Yahudi dan kaum musyrikin serta atheis yang ada di dalam Negara Islam. Oleh kerana itu penternakan dan perdagangan khinzir di Negara Islam, baik yang dilakukan oleh kaum Muslimin mahupun kafir adalah dilarang tetapi dibenarkan bagi orang kafir untuk kegunaan mereka sendiri sahaja dan dalam kuantiti yang terbatas. Mereka dibenarkan memakan (termasuk berjual beli - sesama mereka sahaja) atau memelihara binatang najis ini (untuk kegunaan sendiri), tetapi dalam jumlah yang kecil sahaja dan langsung tidak dibenarkan ke atas mereka menternak atau memperdagangkan benda haram ini dalam skala yang sederhana mahupun besar (sebagaimana berlaku sekarang). Dalam hal ini kita perlu faham bahawa, meskipun orang kafir memandang yang meminum arak dan makan babi dibolehkan oleh agama mereka, tetapi ia tetap tertakluk kepada undang-undang Islam yang merupakan ‘undang-undang negara’ tempat mereka hidup/tinggal. Perintah Khalifah wajib mereka taati. Negara Islam adalah negara yang mana hukum Allah wajib diberlakukan di dalamnya, termasuklah ke atas orang-orang kafir sekalipun. Kafir zimmi dan mana-mana orang kafir yang dibenarkan tinggal di dalam Daulah adalah golongan yang wajib tunduk kepada semua hukum Allah yang menjadi hukum (undang-undang) Daulah Islam, kecuali beberapa perkara yang dibenarkan oleh Islam ke atas mereka sahaja.

sumber: http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=9298

Camna lak ni ustaz?