email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Thursday, April 10, 2008

Pengenalan Asas Konsep Hawalah (الحَوالة)

Pendahuluan :

Hawalah menurut bahasa Arab adalah pemindahan atau perpindahan

Manakala menurut Syarak : Kontrak (akad) yang menyebabkan pemindahan hutang daripada satu tanggungan (pihak) kepada satu tanggungan (pihak ) yang lain.[1]

Dalil pensyariatan hawalah :

عن أبى هريرة رضى الله عنه،أنًّ رسول الله صلى الله عليه وسلَّم قال:

مَطل الغَنِيّ ظُلمٌ، فإذا أُتبع أحدُكم على مليءٍ فليتْبَع [2]

Maksudnya : Dari Abi Hurairah r.a , sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda :

Melambatkan pembayaran hutang oleh orang yang mampu (kaya) adalah zalim, Maka apabila salah seorang daripada kamu dibawa kepada orang kaya yang lain maka ikutlah.(Apabila salah seorang daripada kamu yang dipindahkan tuntutan hutangnya kepada pihak yang mampu membayarnya maka hendaklah dia mengikut pemindahan tersebut)

Dari riwayat yang lain dari Imam Ahmad :

وإذا أُحيلَ أحدُكُم على مَلِىء فَلْيَحتَل

Maksudnya : Dan apabila salah seorang di antara kamu yang dipindahkan kepada orang kaya yang lain maka berpindahlah.[3]

Rukun Kafalah ada enam :

1) Muhil ( محيل ) - Orang yang berhutang dengan Muhtal (penghutang muhtal)

2) Muhtal ( محتال ) - Pemiutang kepada Muhil

3) Muhal Alaih ( محال عليه ) – Penghutang Muhil

4) Hutang untuk Muhtal ke atas Muhil (ودين للمحتال على المحيل)

5) Hutang untuk Muhil ke atas Muhal Alaih (ودين للمحيل على المحال عليه)

6) Sighah (bentuk) (صيغة) –penawaran dan persetujuan

Nota penting :

-Muhil meminjam duit daripada Muhtal dan memberi pinjaman kepada Muhal Alaih.

-Muhtal sebagai pemiutang kepada Muhil.

-Muhal Alaih meminjam duit daripada Muhil

Klik sini untuk melihat transaksi yang berlaku dalam Hawalah

Contoh :

B (Muhil) berhutang dengan A (Muhtal) sebanyak RM 1000

C (Muhal Alaih) berhutang dengan B (Muhil )sebanyak RM 1000

B (Muhil) berkata kepada A (Muhtal) : Saya pindahkan hutang saya kepada C (Muhal Alaih)

Tanda persetujuan sekiranya A(Muhtal) mengatakan: Saya setuju atau saya terima

Disyaratkan redha Al-Muhil dan diterima oleh Al-Muhtal,tidak perlu redha Al-Muhal Alaih,

Tidak sah bagi sesiapa yang tiada hutang dengannya,

-Tidak boleh pemindahan hutang itu kepada orang yang tidak berhutang

Sah dengan hutang yang lazim ke atas hutang yang lazim (hutang yang telah berkuatkuasa seperti setelah tempoh khiar atau hampir berkuatkuasa seperti harga yang perlu dibayar ketika masih dalam tempoh khiar) dengan syarat,mengetahui apa yang dipindahkan, sama jenis dan kadarnya, segera (tunai) atau akan datang (bertangguh)

Setelah transaksi pemindahan hutang berlaku, maka terlepas tanggungjawab Muhil daripada hutang Muhtal,dan hutang Muhal Alaih daripada hutang Muhil.

-Tanggungan Muhil untuk membayar hutang digugurkan dan hutang tersebut berpindah menjadi tanggungan Muhal Alaih.

Berpindahlah hak Muhtal kepada zimmah (tanggungan) Muhal Alaih.

-pemindahan hutang daripada tanggungan ( ذمّة ) penanggung asal ( الأصيل ) (Muhil) kepada tanggungan pihak ketiga (Muhal Alaih)

Sekiranya Muhtal tidak boleh mengambil wangnya daripada Muhal Alaih dengan sebab Muhal Alaih itu muflis atau dengan sebab keengganan Muhal Alaih untuk membayar kepada Muhtal atau apapun sebab lain,(maka ketika itu) Muhtal tidak boleh kembali (menuntut wangnya) kepada Muhil.(walaupun pada asalnya Muhil berhutang dengan Muhtal)

- Rujukan Kitab Umdatu As-Salik Wa Uddatu An-Nasik,Imam Ibnu Naqib



[1] Rujuk Kitab Umdatu As-Salik Wa Uddatu An-Nasik,Imam Ibnu Naqib ,Taklik daripada Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.m.s 146

[2] Rujuk kitab Umdatul Ahkam ,Imam Al-Hafiz Abdul Ghani cet. Dar Salam m.s 141

[3] Kifayatul Akhyar,Imam Taqiyudin Ad-Dimasyqi cet. Dar Salam ms 343

No comments: