email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Friday, August 7, 2009

Apabila Imam sudah berdiri di atas mimbar

Jam menunjukkan pukul 1:05 petang.

Kedengaran azan jumaat berkumandang menerusi corong-corong pembesar suara Masjid Abu Bakar yang merupakan sebuah masjid negeri yang terletak bersebelahan dengan Maahad.

Dalam masa yang sama Ariff salah seorang pelajar Maahad Johor tampak segak bersongkok hitam, berbaju melayu putih teluk belanga bersamping sekolah berwarna ungu , sambil mengenakan minyak wangi jenis misk asfar dari mesir yang lembut aromanya bersiap-siap untuk ke masjid.

Dia terus bergegas keluar dari asrama setelah mendengar azan kedua berkumandang.Tidak seperti rakan-rakannya yang lain, Ariff terlewat sedikit akibat sakit perut kesan daripada termakan kuih bom berminyak pagi itu.

Sementara itu Ariff terserempak dengan jiran rumahnya yang baru turun dari teksi sedang membayar wang tambang di hadapan pintu masuk gerbang masjid.

“Assalamualaikum.Eh, makcik Bedah rupanya. Makcik buat apa kat sini?.” Ariff menyapa.

“Waalaikumussalam. Ini ha, makcik nak belikan cincau untuk Pak Mat kamu. Dia mengidam cincau pula.Itu yang makcik ke sini.” Ariff menganggukkan kepalanya.

Pak Mat merupakan suami kepada makcik Bedah yang ditimpa kemalangan jalan raya minggu lalu terlantar di Hospital Sultanah Aminah yang terletak tidak jauh dari masjid.

Seketika Ariff mengalihkan pandangannya melihat sekumpulan rombongan satu bas berhenti singgah untuk membeli minuman di sebuah van berwarna putih milik Mak Mah dan suaminya Pak Leman penjual minuman cendol dan cincau ais di penjuru pagar masjid.Turut kelihatan beberapa orang jemaah lain yang tidak ketinggalan sibuk beratur menunggu giliran untuk membeli air minuman Mak Mah dan Pak Leman yang sedap itu.

“Baiklah makcik, saya nak masuk ke dalam. Sudah lewat ni. Saya minta diri dulu.”

“Baiklah.” jawab makcik Bedah.

“Sampaikan salam saya pada Pak Mat. Syafahullah. Assalamualaikum “ sambil mengangkat tangan dan mengukir senyuman ke arah makcik Bedah Ariff terus beredar masuk ke masjid.

“Waalaikumusalam” jawab makcik Bedah.

-tamat-

Hadirin pengunjung scene-r yang dihormati,

Sebenarnya saya tidak bercadang untuk menulis cerpen apatah lagi membuat drama.Namun, apa yang saya cuba ketengahkan ialah beberapa hukum jual beli pada hari jumaat yang boleh di ambil menerusi cerita yang saya lakarkan sebentar tadi.

Para Ulama tidak berselisihan dalam pensyariatan azan sejurus selepas imam berdiri di atas mimbar. Malahan, azan inilah sebagai tanda larangan sebarang bentuk transaksi jual beli dan perintah untuk bersegera mengingati Allah s.w.t.

Sebagaimana Firman Allah s.w.t :

يا أيها الذين آمنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

Maksudnya : “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (pergi ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli .Yang demikian itu adalah baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9).

Azan pada zaman Rasulullah s.a.w ialah azan selepas Imam duduk di atas mimbar.

Terdapat perselisihan ulama dalam menentukan waktu larangan jual beli pada hari jumaat. Imam Ahmad berpendapat bahawa jual beli diharamkan bermula dari tergelincirnya matahari walaupun imam belum duduk di atas mimbar. Pendapat ini tidak diterima oleh sebahagian ulama kerana Allah s.w.t telah mengaitkan (ayat kewajipan bersegera itu) dengan seruan azan, bukanlah dengan waktu tergelincirnya matahari (rumusan Al-Mughni ms 162-163).

Melalui kisah yang saya paparkan sebentar tadi, Ariff keluar selepas azan kedua berkumandang menandakan imam telah duduk di atas mimbar.Ini bermakna, segala bentuk transaksi jual beli yang berlaku pada waktu itu adalah diharamkan.

Perlu kita ketahui bahawa larangan ataupun pengharaman jual beli ini hanyalah khusus kepada mereka yang diwajibkan jumaat keatasnya.

Persoalan : Jikalau begitu, siapakah yang tidak termasuk di dalam larangan jual beli tersebut?

Orang yang tidak termasuk di dalam larangan ini ialah mereka yang tidak diwajibkan jumaat seperti wanita, kanak-kanak, orang yang bermusafir dan orang yang sakit.

Melalui contoh cerita tadi, mereka yang tidak diwajibkan jumaat ialah : Makcik Bedah (wanita) , Pak Mat (orang yang sakit), sekumpulan rombongan yang bermusafir.

Persoalan : Bagaimana pula dengan Mak Mah. Bukankah Mak Mah juga wanita?

Sekiaranya Mak Mah menjual air kepada Makcik Bedah, sekumpulan orang yang bermusafir, kanak-kanak maka ia dibolehkan.

Manaka, sekiranya Mak Mah menjual kepada jemaah lain yang terdiri daripada mereka yang diwajibkan jumaat maka hukumnya adalah makruh bagi Mak Mah dan haram bagi pembeli. Namun, ada pendapat yang mengatakan kedua-dua transaksi jual beli antara Mak Mah dan jemaah yang diwajibkan jumaat adalah haram kerana membantu dalam membuat dosa.

Firman Allah s.w.t :

ولا تعاونوا على الإثم والعدوان
Maksudnya : “ Dan Janganlah kamu saling bantu membantu dalam membuat dosa dan permusuhan” (surah Al- Maidah :2).(rujukan Al-Mughni m.s 174, Al-Fiqh Islami m.s 1284)

Rumusan masalah ini :

1) Makruh atau haram bagi orang yang tidak diwajibkan jumaat berurusniaga dengan orang yang diwajibkan jumaat.

2) Harus orang yang tidak diwajibkan jumaat berurusniaga dengan orang yang tidak diwajibkan jumaat. Contohnya : wanita – wanita , wanita- musafir.

3) Haram bagi orang yang diwajibkan jumaat berurusniaga dengan sesiapa sahaja.

Persoalan : Jika berlaku juga transaksi jual beli tersebut setelah azan. Adakah jual beli ketika itu sah atau menjadi batil ?

Ulama berbeza pendapat dalam perkara ini antaranya :

Pendapat Hanafiah mengatakan : Jual beli tersebut sah tetapi makruh tahriman.

Manakala pendapat Syafieah: Jual beli tersebut sah tetapi haram.

Pendapat Malikiah pula mengatakan : Jual beli tersebut adalah fasid dan perlu difasakhkan dan

Pendapat Hanabilah mengatakan : Jual beli tersebut tidak sah. (ruj . Fiqh Islami m.s 1248)

Hadirin pengunjung yang dikasihi,

Perlu kita ketahui, terdapat akad lain selain daripada akad jual beli seperti akad sewa, nikah , suluh dan sebagainya.

Dalam cerita di atas, Makcik Bedah menyerahkan wang tambang kepada pemandu teksi merupakan akad ijarah (sewa).

Persoalan : Adakah akad sewa termasuk dalam larangan ini?. Bagaimana pula pemandu-pemandu teksi yang masih berurusniaga waktu itu?.

Ulama berbeza pendapat dalam perkara ini kepada beberapa pendapat :

Pendapat Hanafiah mengatakan : Makruh Tahriman

Jumhur Ulama mengatakan haram menyibukkan diri daripada menghadiri jumaat dengan (segala bentuk ) jual beli ataupun akad selainnya seperti sewa, nikah , suluh dan seluruh bentuk pekerjaan setelah disyariatkan azan. (ulama mengatakan haram kerana mengkiaskan akad jual beli dengan akad yang lain).

Walauagaimanapun, Ulama Hanabilah berpendapat : tidak haram selain daripada akad jual beli seperti sewa,suluh dan nikah kerana larangan hanya dikhusukan untuk jual beli sahaja.

(ruj .Fiqh Islami m.s 1283, Al-Mughni m.s 164 , Mughni Muhtaj m.s 651)

Hadirin sekalian,

Sampai bilakah pengharaman jual beli ini?

Pengharaman jual beli kepada mereka yang wajib jumaat hanyalah sehingga selesai solat jumaat sahaja. Pengharaman ini tidaklah berterusan sampai ke malam.

Firman Allah s.w.t :

فإذا قضيت الصلاة فانتشروا في الأرض وابتغوا من فضل الله واذكروا الله كثيرا لعلكم تفلحون
Maksudnya : “Apabila kamu telah selesai menunaikan solat (Jumaat) maka bertebaranlah kamu di permukaan bumi dan carilah kurnia Allah serta ingatlah Allah sebanyaknya,semoga kamu mendapat kejayaan". (Al-Jumuah :10)

Cukuplah sekadar itu paparan untuk kali ini.

Apabila Imam sudah berdiri di atas mimbar
Diperintah diam bukan tidur
Apatah lagi sampai berdengkur
Dengarlah dengan khusyuk bertafakkur
Ta`ammul dan tadabbur.

Wallahu a`lam.

Sunday, August 2, 2009

Sudah ditakdirkan dia lahir berkepala dua


Assalamualaikum,

Sidang pengunjung sekalian,

Tatkala saya membaca akhbar bertajuk “Lagi bayi dua kepala dilahirkan” yang disiarkan di layar http://www.kosmo.com.my 30 Julai lalu membuatkan saya terkenang suatu ketika dahulu tentang pengajian berkenaan wudhuk bagi manusia berkepala dua.Allah s.w.t Maha Berkuasa menciptakan sesuatu dengan kehendakNya.

Ulama silam telah membahaskan permasalahan wudhuk bagi manusia berkepala dua atau berwajah dua dsb yang berkemungkinan masalah ini wujud pada zaman mereka ataupun suatu andaian ia berlaku di zaman kita seperti yang kita lihat kewujudannya silih berganti sebagaimana yang dilaporkan di dada akhbar tersebut.

 “Selepas bayi dua kepala meninggal dunia di Pekanbaru, Indonesia kini muncul bayi yang sama tetapi dilahirkan di Filipina kelmarin. Secara kebetulan, bayi dua kepala di Filipina itu lahir pada hari kematian bayi berkepala dua lelaki di Indonesia”.

Baiklah,
Berbalik kepada permasalahan wudhuk untuk mereka yang ditakdirkan lahir sebegini.Mari kita buka bersama kitab Muqaddimah Hadhramiah di dalamnya, kita akan menemukan nas

“Apabila di ciptakan seseorang itu berwajah dua maka perlulah dibasuh kedua-dua wajahnya ataupun seseorang yang diciptakan berkepala dua maka perlulah diusap salah satu daripada kedua-dua kepala tersebut kerana kedua-duanya itu disebut sebagai wajah dan kepala”

Di sini kita menemukan beberapa permaslahan :

Pertama : membasuh muka bagi seseorang berwajah dua –tidak kira sama ada seseorang itu memiliki satu kepala dan dua wajah ataupun dua kepala dan dua wajah dalam satu jasad.

Kedua : membasuh kepala bagi seseorang yang berkepala dua.

Untuk merungkai nas di atas, saya cuba merumuskan daripada kitab Al-Hawasyi Al-Madaniyyah halaman 65.


Sebahagian ulama membezakan di antara wajib membasuh kedua-dua wajah dan memadai dengan mengusap salah satu daripada kepala.Tiada beza pada (wajib basuhan pada wajah) sama ada kedua-dua wajah itu adalah wajah asal ataupun salah satunya wajah asal dan yang satu lagi adalah wajah tambahan walaupun wajah itu terbentuk.

Rumusan pendapat ini : untuk basuhan muka, wajib membasuh keseluruh wajah sama ada wajah itu ada dua ataupun salah satunya wajah asal dan satu lagi adalah wajah tambahan,walaupun tambahan itu berbentuk wajah.Wajib basuh keseluruhan apa yang dinamakan sebagai wajah termasuk wajah tambahan.

Sebagai contoh : Di andaikan seseorang yang memiliki satu kepala dan dua wajah maka wajib ke atasnya membasuh kesemua wajahnya termasuk wajah tambahan. Begitu juga seseorang yang memiliki dua kepala dan dua wajah maka wajib ke atasnya membasuh kedua-dua wajahnya.

Berbeza dengan pendapat Imam Al-Jamal Ar-Ramli yang mengatakan:

“Sekiranya seseorang itu diciptakan dua wajah dan salah satu daripadanya adalah wajah tambahan tetapi dapat dibezakan (antara wajah asli dan wajah tambahan) maka wajib membasuh wajah yang asli sahaja (tidak wajib membasuh wajah tambahan).Manakala sekiranya wajah tambahan itu serupa dengan wajah yang asli maka wajib membasuh kedua-dua wajah tersebut (wajib membasuh wajah asli dan wajah tambahan)”

Sebagai tambahan pecahan masalah.

Sekiranya seseorang itu diciptakan dua wajah; salah satunya menghadap hadapan manakala wajah satu lagi menghadap belakangnya.

Imam Asy-Syihab Ar-Ramli memfatwakan bahawa yang wajib dibasuh adalah wajah yang menghadap hadapan.

Namun , ulama berikutnya memperincikan lagi nas ini dengan menambah :benar, itu sekiranya wajah tersebut merupakan pancaindera yang tidak berderia atau tidak berfungsi manakala sekiranya pancaindera wajah tersebut berfungsi maka wajib membasuhnya.

Rumusan;
Kebanyakan pendapat Ulama mengatakan wajib membasuh kesemua yang disebutkan sebagai wajah

Sebagaimana firman Allah s.w.t 
“Apabila kamu ingin mendirikan solat maka basuhlah wajah kamu”

Bermakna, seseorang yang memiliki satu kepala dan dua wajah ataupun dua kepala dan satu wajah maka wajib keatasnya membasuh kedua-dua wajahnya.

Berbeza dengan usapan kepala kerana usapan kepada memadai dengan mengusap salah satu daripada dua kepala kerana ia disebut kepala.

Sebagaimana firman Allah s.w.t 

“….dan usaplah kepala kamu ”

Perbezaannya jika berwajah dua : kedua-duanya disebut sebagai wajah manakala kepala, memadai dengan satu kepala kerana ia disebut kepala (salah satunya kepala dan satu lagi juga kepala).Namun untuk mendapatkan sunnah usaplah keseluruhan kepala kerana ia akan bersinar (scene-r) pada hari kiamat.Baginda Rasulullah s.a.w akan mengenal umatnya pada hari kiamat dengan tanda ”Ghurrun Muhajjalun” kesan daripada basuhan wudhuk.

Cukuplah sekadar itu perkongsian tentang tatacara basuhan wudhuk wajib kepada manusia berkepala dua atau berwajah dua.

Terfikir juga bagaimana mereka yang berkepala dua ini mungkin berlaku satu melihat di sini satu melihat di sana, satu makan satu minum, sama-sama bersembang dengan dirinya atau dengan orang yang berasingan.Mungkin ada mudahnya masa-masa peperiksaan tatkala kesuntukan waktu satu membacaa muka surat sebelah satu lagi membaca muka berikutnya.Maklumlah ada dua kepala dua otak,empat mata dan kelebihan-kelebihan yang lain.Allah sahaja Maha mengetahui hikmah di sebalik ciptaanNya.

Wallahu A’lam.