email : scene_r[at]yahoo.com Y!M ID : scene_r

 

Tuesday, July 31, 2007

Wanita hamil kerana zina berkahwin

Di dalam matan kitab Al Muhazzab Imam Al-Syirazi mengatakan :


ويجوز نكاح الحامل من الزنا لان حملها لا يلحق بأحد فكان وجوده كعدمه


Boleh menikahi wanita yang hamil di sebabkan zina kerana kehamilannya itu tidak di sandarkan (nasab) kepada sesiapa.Maka adanya (kehamilan itu ) seperti tiada.
Manakala di dalam furu' (pecahan) masalah di dalam kitab Al Majmuk syarah kitab Al- Muhazzab ada menyebut:


اذا زنت المرأة لم يجب عليها العدة ،سواء كانت حائلا أو حاملا ، فان كانت حائلا جاز للزانى ولغيره عقد نكاح عليها وان حملت من الزنا فيكره نكاحها قبل وضع الحمل،وهو أحد الروايتين عن أبى حنيفة رضى الله عنه وذهب ربيعة ومالك والثورى وأحمد واسحاق رضى الله عنهم الى أن الزانية يلزمها العدةكالموطوءة بشبهة فان كانت حائلا اعتدت ثلاثة أقراء،وان كانت حاملا اعتدت بوضع الحمل ولا يصح نكاحها قبل وضع الحمل


Apabila seseorang wanita berzina maka tidak diwajibkan ke atasnya iddah, sama ada (kesan perzinaanya itu menyebabkan) dia tidak hamil atau hamil.Sekiranya dia tidak hamil maka bolehlah bagi lelaki yang berzina dengannya atau lelaki lain berakad nikah dengannya.(Manakala ) sekiranya wanita tersebut hamil hasil dari perbuatan zina maka makruh bernikah dengannya sebelum perempuan tersebut bersalin.Dan ini merupakan salah satu riwayat dari Abi Hanifah r.a (dan merupakan pendapat mazhab Syafie)

Manakala Rabieah, Imam Malik, Imam Al- Thauri,dan Imam Ahmad serta Imam Ishak semoga Allah meredhai mereka berpendapat : Sesungguhnya wanita yang berzina itu perlu manjalani Iddah sebagaimana digauli secara syubhah (wati syubhah). Sekiranya wanita yang berzina itu tidak hamil maka iddahnya adalah tiga kali suci,Dan sekiranya wanita yang berzina itu hamil maka iddahnya adalah selepas bersalin dan tidak sah nikahnya sebelum bersalin.(rujuk kitab Al-Majmuk syarah Al-Muhazzab jilid 17 ms 348)


Dr.Wahbah Az-Zuhaili mengatakan di dalam Kitab Feqh Al-Islami Wa Adillatuhu jilid ke 9 ms 6648 :

Dibolehkan secara ittifak (sepakat ulama) bahawa boleh bagi penzina mengahwini dengan wanita yang dizinanya.Maka sekiranya lahirnya anak selepas cukup tempoh enam bulan daripada waktu akad nikah dengan wanita tersebut ,maka sabit (nasab) anak tersebut daripadanya, sekiranya anak itu lahir kurang dari tempoh enam bulan daripada waktu akad (maka) tidak dinasabkan kepadanya kecuali dia mengaku bahawa anak itu adalah daripadanya (hasil daripada nikah yang sah) dan dia tidak secara terang mengatakan anak tersebut daripada zina.Pengakuan sabit anak kepadanya kerana ihtimal (pertimbangan) akad sebelumnya atau kerana dukhul (jimak) dengan syubhah.


[edit 9/9/1429 Rumusan kalam Dr Wahbah Az-Zuhaili di atas :

-Pezina boleh mengahwini wanita yang dizinanya.


-Sekiranya anak hasil zina itu lahir selepas cukup tempoh 6 bulan daripada waktu akad nikah maka sabit nasab anak tersebut kepada lelaki. (pensabitan kepada lelaki tersebut boleh terlepas daripada hukum dunia walaupun pada hakikatnya anak tersebut perlu dinasabkan kepada ibunya)


-Sekiranya anak zina itu lahir kurang daripada tempoh 6 bulan daripada waktu akad maka tidak boleh dinasabkan kepada lelaki (anak hendaklah dinasabkan kepada ibunya). Kecuali dia mengaku bahawa anak itu adalah benar-benar daripadanya (hasil daripada nikah yang sah) dan dia tidak secara terang mengatakan anak tersebut daripada zina.[jika secara terang anak daripada zina maka jelas akan dinasabkan kepada ibunya namum jika tidak dia boleh terlepas daripada hukum dunia]

Tambahan edit 9/9/1429 Persoalan nasab anak zina yang terkeluar daripada tajuk “wanita hamil kerana zina berkahwin” memandangkan banyak persoalan nasab ini ditanyakan.


Sebab sabit nasab anak kepada ibunya adalah wiladah (bersalin) sama ada secara syarie atau tidak syarie.Manakala sebab sabit nasab kepada bapa [ruj Fiqh Islami 7256 jilid 10]:

1) 1) Nikah Soheh

2) 2) Nikah Fasid

3) 3) Watie Syubhah


Bermakna semua anak akan dinasabkan kepada ibu kemudian akan sabit kepada bapa dengan sebab nikah soheh, nikah fasid atau watie syubhah.


Anak zina akan dinasabkan kepada ibunya kerana tiada akad nikah yang soheh, bukan nikah fasid mahupun watie syubhah.


Masalah [rumusan masalah nasab oleh scene-r] :

Secara umumnya anak zina akan dinasabkan kepada ibunya sama ada wanita itu berkahwin dengan orang yang berzina dengannya atau dengan lelaki lain. Di bawah permasalahan nasab anak zina yang lahir sebelum dan selepas 6 bulan.

1) Sekiranya anak itu lahir selepas 6 bulan daripada tempoh akad perkahwinan.

a) Suami mengaku bahawa anak tersebut adalah daripada zina maka anak tersebut akan dinasabkan kepada ibunya.

b) Suami mengaku dengan cara menipu bahawa anak tersebut adalah hasil daripada nikah yang soheh maka lelaki tersebut boleh terlepas daripada undang-undang dunia,iaitu dakwaannya boleh diterima. .(dia boleh menang dengan penipuan di dalam dakwaan).[pada hakikatnya anak tersebut perlulah dinasabkan kepada ibunya]

Apabila sudah nasab kepada lelaki maka segala hukum berkaitan dengan nasab akan mengikuti lelaki

2) Sekiranya anak itu lahir kurang 6 bulan daripada tempoh akad perkahwinan.

a) Anak itu akan dinasabkan kepada ibunya.

Sekian itu sahaja,

Wallahu A'lam

Saturday, July 28, 2007

Percampuran jenazah muslimin dan kafir

Apabila berlaku sesuatu bencana yang melibatkan percampuran mangsa antara muslimin dan kafir,seperti berlaku kebakaran, kapal karam, banjir besar dan sebagainya sehingga tidak dapat membezakan di antara mayat muslimin dan kafir.Maka para ulama' telah membahaskan perkara tersebut.

Al-Imam Nawawi rahimahullah mengatakan di dalam kitab Al-Majmu' syarah Al-Muhazzab Imam Al-Syirazi pada jilid 5 ms 218 Bab Jenzah


اذا اختلط مسلمون بكفار،ولم يتميزوا ،فقال أصحابنا : يجب غسل جميعهم وتكفينهم والصلاة عليهم،ودفنهم ،ولا خلاف فى شيء من هذا،....

Maksudnya: Apabila bercampur muslimin dan kafir,dan tidak dapat dibezakan, maka mazhab syafieah mengatakan : Wajib dimandikan,dikafankan dan solat (jenazah) ke atas mereka (secara) keseluruhannya.

Tambahan dari beliau :


....ولا فرق عندنا أن يكون عدد المسلمين أكثر أو أقل حتى لو اختلط مسلم بمائة كافر وجب غسل الجميع وتكفينهم والصلاة عليهم ودفنهم ....


Maksudnya: Dan tiada beza menurut kami (mazhab syafieah), sama ada bilangan muslimin lebih banyak (berbanding kafir) atau (bilangan muslimin lebih) sedikit (berbanding kafir) sehingga, walaupun percampuran (jenazah) muslim dengan seratus (jenazah) kafir, (maka) wajib dimandikan, dikafankan dan solat ke atas mereka dan dikuburkan keseluruhannya.

Begitu juga dengan Imam Al-Imrani di dalam kitab Al Bayan dalam bab [solat ke atas mayat] pada masalah [tidak boleh solat ke atas orang kafir].Beliau mengatakan:


إذا مات كافر.. لم تجز الصلاة عليه،لقوله تعالى : ولا تصل على أحد منهم مات أبدا

ولأن الصلاة للرحمة والكافر لا يرحم

ويجوز غسله وكفنه ودفنه،لما ذكرناه من حديث علي رضي الله عنه وأرضاه في موت أبيه، ولأن النبي صلى الله عليه وسلم أعطى قميصه ، ليكفن فيه عبد الله بن أبي ،ابن سلول وكان منافقا،.....

Maksudnya: Apa bila mati seorang kafir…tidak boleh disolatkan ke atasnya sebagaimana firman Allah s.w.t : dan janganlah sesekali kamu solatkan (jenazah) seseorang yang mati di antara mereka.(surah at taubah ayat 84)

Kerana solat (ke atas jenazah itu bertujuan) untuk memohon rahmat kasih sayang dan orang kafir itu tidak dirahmati

Dan (jenazah kafir itu) boleh dimandikan,dikafankan dan dikuburkan, sebagaimana yang kami telah sebutkan daripada hadis saidina Ali r.a pada kematian bapanya.(Perkara ini dibolehkan) kerana Nabi Muhammad s.a.w telah memberikan baju baginda untuk mengkafankan Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan orang munafik

{[scene-r] Abdullah bin Ubai bin Salul bapa kepada seorang sahabat bernama Abdullah bin Abdullah bin Ubai.Abdullah bin Ubai merupakan seorang munafik yang mati pada zul qaedah tahun ke sembilan di Tabuk.Untuk mengetahui kisah pemberian qamis (baju) Baginda s.a.w untuk dijadikan kafan Abdullah bin Ubai boleh rujuk Kitab Soheh Bukhari bil1350,Kitab Nurul Yaqin,atau Kitab Jamie Li Ahkam Al-Quran Imam Qurtubi pada syarah surah At Taubah ayat 84}

Seterusnya Al-Imam Al-Imrani menyebutkan :

فإن اختلط موتى المسلمين بموتى الكفار،ولم يتميزوا..فإنه يصلي على واحد واحد ،وينوي الصلاة عليه إن كان مسلما،سواء كان المسلمون أكثر أو أقل،...

Maksudnya: Sekiranya bercampur jenazah muslimin dengan jenazah kafir,dan tidak dapat dibezakan , maka hendaklah solat ke atas mereka satu persatu,dan diniatkan solat jenazah ke atasnya sekiranya (jenazah ini) muslim,(tidak kira) samada jenazah muslim lebih banyak(dari jenazah kafir) atau lebih sedikit (dari jenazah kafir)

Perkara yang sama juga disebutkan di dalam Kitab Al-Mughni Ibnu Qudamah :

فإن اختلط موتى المسلمين بموتي المشركين‏,‏ فلم يميزوا صلى على جميعهم ينوي المسلمين قال أحمد‏:‏ ويجعلهم بينه وبين القبلة ثم يصلى عليهم وهذا قول مالك‏,‏ والشافعي وقال أبو حنيفة‏:‏ إن كان المسلمون أكثر صلى عليهم وإلا فلا ....

Maksudnya :Apabila bercampur jenazah muslim dengan jenazah musyrikin dan tidak dapat membezakan (antara muslim dan kafir) maka solat ke atas mereka secara keseluruhannya.Imam Ahmad berkata:dan (mereka menjadikan) antara mereka dengan qiblat kemudian solat ke atas mereka (mengerjakan solat jenazah).Ini juga (merupakan) qaul (pendapat) Imam Malik dan Imam Syafie.(Manakala) Imam Abu Hanifah mengatakan :Sekiranya jenazah muslimin itu lebih ramai dari jenazah kafr maka bolehlah disolatkan ke atas mereka tetapi sekiranya jenazah muslim itu lebih sedikit dari jenazah kafir maka tidak perlu disolatkan.

Dr Karim Zaidan mengatakan di dalam kitab Al Mufassal jilid pertama muka surat 285. Beliau menyebutkan:

Apabila bercampur jenazah muslimin dengan kafir dan tidak dapat membezakannya, maka jenazah dibuatkan saf (barisan) sebagaimana yang telah kami diterangkan(pada tajuk) sebelum ini(rujuk ms 284 dan 285) dalam keadaan jenazah satu jenis atau berlainan (lelaki atau perempuan).Kesemua jenazah tersebut di solatkan serentak. Imam dan makmum meniatkan solat ke atas muslimin daripada jenazah yang ada.

(imam dan makmum meniatkan solat ke atas muslimin sahaja di antara banyak-banyak jenazah yang disolatkan secara serentak itu kerana tidak boleh solat ke atas orang kafir [scene-r] )

Imam Nawawi mengatakan di dalam KitabAl Majmuk

قال أصحابنا رحمهم الله : وهو مخير في كيفية الصلاة،فان شاء أفرد كل واحد من الجميع بصلاة وينوى الصلاة عليه ان كان مسلما،وقال القاضى حسين والبغوى وغيرهما : ويقول في الدعاء :اللهم اغفر له ان كان مسلما،قال أصحابنا ويعذر فى تردد النية للضرورة،كمن نسي صلاة من الخمس يصليهن ويعذر في تردد النية وان شاء صلى على الجميع صلاة واحدة وينوى الصلاة علي المسلمين من هؤلاء،...

Maksudnya : Mazhab AsSyafieah rahumahumullah berkata : Boleh pilih bagaimana untuk melaksanakan solat (jenazah),Sekiranya hendak solat seorang demi seorang dan di niatkan solat ke atas jenazah sekiranya jenazah itu muslim.Imam Al-Qadhi Husain dan Imam Al-Baghawi dan selainnya mengatakan pada doa solat jenazah : Ya Allah, ampunilah dosanya sekiranya dia muslim. Mazhab As-Syafieah mengatakan: Dalam keadaan kesukaran (boleh) taraddud (syak) dalam niat kerana darurat,sebagaimana (boleh bagi ) sesiapa yang solat lima rakaat (syak niat) dalam keadaan kesukaran.Dan sekiranya ingin solat jenazah serentak (hendaklah) diniatkan solat jenazah ke atas muslimin daripada kesemua jenazah yang ada.

Wallahu A'lam

Wednesday, July 25, 2007

Nikah Kontrak

Nikah menurut syarak adalah sesuatu akad perjanjian yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan.(ruj Kitab Umdah As-Salik Wa Uddatu An-Nasik oleh Ibn Naqib bab nikah)

Kontrak adalah perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih.(Kamus Dewan)

Di antara syarat sah pernikahan ialah

Bentuk ijab dan qabul pernikahan hendaklah dibuat secara muabbadah (selamanya) dan bukanlah dalam bentuk muaqqatah (bertempoh).Sekiranya pernikahan itu (dibuat dengan syarat) bertempoh maka batallah pernikahan tersebut.(ruj Kitab Feqh Islami Wa Adillatuhu Dr Wahbah Az Zuhaili jilid.9 ms 6551)

Para ulama telah bersepakat bahawa sesuatu pernikahan yang dibuat dengan syarat bertempoh itu adalah tidak sah.Tidak kira sama ada pernikahan yang dibuat dengan syarat tempoh yang diketahui seperti lafaz"aku bernikah dengan engkau dalam tempoh setahun"atau syarat tempoh yang tidak diketahui seperti lafaz "aku bernikah dengan engkau sehingga aku selesai belajar atau selesai bekerja",begitu juga sama ada syarat pernikaan itu dibuat dengan syarat tempoh yang sekejap atau lama.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65)


Nikah kontrak termasuk di dalam pernikahan muaqqat (bertempoh):iaitu sesorang lelaki bernikah dengan wanita dalam tempoh sepuluh hari atau sebulan atau setahun.Perkahwinan ini adalah batil kerana ianya termasuk apa yang dikatakan nikah Mut'ah


Nikah mut'ah pula adalah sesuatu persetujuan atau persepakatan antara lelaki dan perempuan untuk tamatta'(berseronok) salah satu daripada kedua-duanya dengan tempoh yang tertentu kemudian ditinggalkan tanpa talaq.Pernikahan mut'ah adalah batil menurut persepakatan jumhur sahabat ,tabien,dan a'immah mazahib selain dari imamiah.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65)


عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن نكاح المتعة يوم خيبروعن لحوم الحمر الأهلية الأنسية

Maksudnya: Dari Saidina Ali bin Abi Thalib r.a bahwa Rasulullah SAW telah melarang nikah mut'ah dengan wanita pada perang Khaibar dan makan himar ahliyah. (HR Imam Al Bukhari ruj.kitab Umdatul Ahkam).

Rasulullah s.a.w bersabda :

يا أيها الناس،إني كنت أذنت لكم في الاستمتاع بالنساء،وإن الله قد حرم ذلك إلى يوم القيامة

Maksudnya : "Wahai manusia, dahulu aku mengizinkan kamuistimta dengan wanita( nikah mut'ah). Ketahuilah bahwa Allah SWT telah mengharamkannya sampai hari kiamat." (HR Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah).

Perbezaan nikah mut'ah dan muaqqat adalah pada lafaz tamatta' bagi nikah mut'ah dan lafaz zawaj (nikah) bagi nikah muaqqat.


Contoh lafaz bagi nikah mut'ah.

تمتعت بكِ يوما بدينار،فقالت قبلت المتعة

Aku bertamatta' (berseronok) dengan kamu untuk satu hari dengan satu dinar maka perempuan itu menjawab :Aku terima mut'ah tersebut.

Contoh lafaz bagi nikah muaqqat atau kontrak.

تزوجتك مدة كذا،كعشرة أيام مثلا على مهر قدره كذا فتقول:قبلت

Aku bernikah (berkahwin) dengan kamu dengan tempoh sekian,seperti sepuluh hari sebagai contoh (dan) dengan kadar mahar sekian.,kemudian perempuan itu menjawab Aku terima.

(ruj.kitab Al Mufassal Fi Al-Ahkam Al-Mar'ah Wa Bait Al-Muslim Dr. Karim Zaidan jilid 6 ms 162)

Bagaimana sekiranya pernikahan itu disyaratkan tempoh umur salah satu daripada suami atau isteri?

Sebagai contoh:Aku bernikah dengan kamu dengan tempoh umur kamu atau, aku bernikah dengan kamu dengan tempoh umurku.Kemudian, perempuan tersebut menjawab :Aku terima

Adakah pernikahan ini batal kerana diiringi dengan tempoh?

Al Imam Khatib As-Syirbini rahimahullah di dalam kitabnya Mughni Al-Muhtaj dan Al-Imam Al-Ramli rahimahullah dalam kitabnya Nihayah Al-Muhtaj.Kedua-dua kitab syarah Minhaj At-Thalibin karangan Imam Nawawi rahimahullah ini menyebutkan bahawa, batal pernikahan sekiranya nikah dengan (syarat) tempoh umur suami atau umur isterinya.

Di dalam mazhab As-syafieah telah mengatakan dengan jelas dalam bab jual beli.Sekiranya seseorang itu mengatakan:Aku menjual barang ini kepada kamu dengan tempoh hayat kamu.Jual beli seperti ini tidak sah.Maka (dalam) pernikahan lebih utama.(kalaulah jual beli dengan tempoh hayat sesorang sahaja batal apatah lagi nikah)

(rujuk Kitab Mughni Al-Muhtaj jilid 4 ms 239 dan Kitab Nihayah Al-Muhtaj jilid 6 ms 215)

Bagaimana sekiranya seseorang lelaki yang bernikah dengan niat akan talak perempuan tersebut tanpa menentukan waktu akan talak perempuan tersebut?

Mungkin beberapa kemungkinan yang boleh kita buat dari persoalan di atas.

-Sekiranya seseorang lelaki berniat akan talak isterinya setelah berkahwin,kemudian disampaikan niatnya kepada bakal isteri tersebut, atau pada walinya lalu dipersetujui. Maka jelaslah disini,perkahwinan tersebut adalah perkahwinan muaqqat (bertempoh) yang tidak diketahui.Ini bermakna perkahwinan tersebut adalah batal.

-Manakala sekiranya lelaki tersebut berniat akan talak isterinya setelah berkahwin tetapi hanya memendamkan niatnya tanpa makluman bakal isteri atau walinya, mungkin perkahwinan yang ingin dilaksanakan itu kerana dendam atau sesuatu kepentingan peribadi maka nikahnya adalah sah tetapi berdosa.

Mazhab Maliki Hanbali dan Syafie mengatakan :sekiranya seseorang lelaki menikahi perempuan tanpa syarat tetapi di dalam hatinya sudah berniat untuk mentalak perempuan tersebut setelah tempoh sebulan (perkahwinan),atau setelah sempurna keinginannya di negara tersebut maka nikah tersebut adalah sah.(ruj Kitab Al- Usrah Al-Muslimah Fi Al-Alam Al-Muasir Dr Wahbah Az Zuhaili ms 65/ Kitab Al Mughni)

Bagaimana nasab anak hasil daripada hubungan perkahwinan kontrak?

Penentuan nikah kontrak sama ada batil atau fasid memberi kesan pada nasab anak.Apa yang saya dapati, kebanyakan ulama mengakatan nikah Muaqqat adalah batil.Justeru itu, untuk kepastian, bagi menjawab persoalan ini, saya telah menghantarkan khidmat pesanan ringkas (sms) kepada Al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki hafizahullah melalui telefon bimbit rakan saya,

Beliau menjawab :Di nasabkan kepada ibunya sebab nikah itu batil, tidak sah,hubungan mereka itu zina.

[scene-r] Kalau begitu apakah contoh nikah fasid sebab saya tidak dapat bezakan nikah fasid dan batil

[Syaikh] Nikah muhallil,nikah kontrak,nikah syagar ni contoh nikah fasid

[scene-r] Mungkin soalan ana yang terakhir.ana musykil.bukankah sabit nasab itu pada nikah soheh,nikah fasid dan watie syubhah.

Nikah kontrak termasuk dalam nikah fasid.Mengapa tidak sabit nasab pada nikah kontrak malah pada ibu sedangkan rosaknya nikah kontrak pada syarat sah nikah bukan pada rukun.Mohon bimbingan dari syaikh.Jazakumullah Khairan

[Syaikh] Fasid fi haqiqatil amri sementara pasangan tidak tahu- seperti dinikahkan oleh wali atau saksi yang fasik sedangkan mereka tidak tahu.

Kalau mereka tahu maka mereka tidak boleh berkumpul -kalau kontrak, mereka tahu dan semua tahu hukumnya batil. (messeges send 25/6/1428)

Wallahu A'lam.

Sebarang teguran dipersilakan.

Tuesday, July 17, 2007

Wanita Bujang Susukan Anak Angkat siri ke-2

Merujuk matan kitab Minhaj At-Thalibin karangan Imam An-Nawawi rahumahullah (631-676h) di dalam
(كتاب الرضاع)

إنما يثبت بلبن امرأة حيّة بلغت تسع سنين

Maksudny: Di sabitkan penyusuan itu dengan susu wanita yang hidup (yang) sudah sampai umurnya sembilan tahun.

(إنما يثبت بلبن امرأة)
Di sabitkan penyusuan itu dengan susu wanita

Maka selain (terkeluar) daripada susu wanita adalah :

-Tidak disabitkan penyusuan dengan susu lelaki kerana susu itu tidak dijadikan sebagai makanan untuk bayi, maka (disitu) tidak berlaku at-tahrim(haram berkahwin) sama seperti air lain.


-Begitu juga penyusuan dengan khunsa musykil, mazhab As-Syafie memerincikan perkara ini,sekiranya khunsa tersebut jelas sifat kewanitaannya maka berlaku hurim(haram berkahwin) dan sekiranya tidak jelas sifat kewanitaanya maka tidak berlaku hurim

-Manakala penyusuan dengan bahimah (haiwan),sekiranya dua orang bayi ,seorang lelakidan seorang perempuan,meminum susu dari seekor kambing yang sama,maka tidak disabitkan penyusuan(saudara sesusuan) kepada kedua-dua bayi tersebut,Oleh yang demikian mereka ini boleh berkahwin.(rujuk kitab Mughni Al-Muhtaj)

(حيّة)
(disabitkan penyusuan itu dengan susu wanita)yang hidup

Selain(terkeluar) dari wanita yang hidup adalah wanita yang mati.Sekiranya bayi meminum susu dari wanita yang mati maka tidak berlaku hurmah (menurut mazhab as syafie dan di sini terdapat khilaf ulama )

( بلغت تسع سنين)
(Di sabitkan penyusuan itu dengan susu wanita yang hidup yang) sudah sampai umurnya sembilan tahun.

Selain(terkeluar) dari wanita yang sudah sampai umur sembilan tahun adalah kurang sembilan tahun(qamariah) kerana, budak perempuan yang kurang umurnya sembilan tahun, diandaikan tidak boleh melahirkan dan menyusukan.(rujuk tahqiq kitab Minhaj At-Thalibin oleh Dr.Ahmad bin Abd Aziz Al Haddad).

Oleh yang demikian,jika syarat pada sumber susu itu hendaklah dari susu wanita, maka adakah di syaratkan wanita tersebut sudah berkahwin dan telah disetubuhi atau tidak?

Mazhab Hambali,Syafie,dan Hanafi mengatakan :Tidak disyaratkan wanita yang menyusukan bayi itu mestilah sudah berkahwin dan telah disetubuhi.Maka sekiranya wanita dara yang tidak pernah disetubuhi dengan nikah atau wanita pelacur yang terdapat susu di buah dadanya, maka susu tersebut akan menjadikan mereka mahram (di haramkan berkahwin) jika susu tersebut (wanita dara atau pelacur tadi ) disusukan kepada bayi.(rujuk kitab Al-Mufassal fi ahkam Al-Mar'ah Wa Bait Al-Muslim Dr.Karim Zaidan jilid 6 ms 246 masalah 5513 maktabah Muassasah Al-Risalah Beirut)
Wallahu A'lam

Sunday, July 15, 2007

Pelaburan (Investment)

Dua perkataan yang perlu berhati-hati sebelum seseorang itu membuat sebarang pelaburan,tidak kira apa sahaja bentuk pelaburan sama ada pelaburan internet , hartanah dan sebagainya iaitu perkataan"jamin dan tetap"atau perkataan yang seumpamanya, atau seerti dengannya, atau yang membawa maksud kedua-duanya.

Dan dari perkataan jamin itu anda akan jumpa perkataan"Menjamin pulangan, pelaburan terjamin, keuntungan dijamin" atau yang seumpama maknanya seperti "janji untung" dan "tanpa risiko".

Manakala dari perkataan tetap itu anda akan jumpa perkataan "keuntungan tetap" ataupun yang seumpama dengan perkataan tetap iaitu "pendapatan mingguan, bulanan,dan tahunan".

Kesemua bentuk pelaburan yang menjaminkan keuntungan tertentu ataupun keuntungan tetap seperti ini membatalkan akad pelaburan menurut perspektif Islam.

Teori ini hanyalah rekaan saya untuk memandang sekali imbas dan cepat samada pelaburan tersebut batal atau tidak mengikut kebiasaan perkataan ini digunakan semasa promosi pelaburan dibuat.

Contoh yang di ambil dari beberapa laman web sila perhatikan perkataan di bawah ini:

Contoh 1

1)

Bulan 1 - RM4,600++ (dijamin dapat)
Bulan 2 - RM10,288++
Bulan 3 - RM36,800++

2) Tiada risiko

Rujuk " http://fuyooh.blogspot.com/2007/04/program-usahawan-jutawan-terbilang.html"

Contoh 2

1)

Kaedah Pelaburan Untung Bulanan Tanpa Modal dan Tanpa Berhadapan Dengan Sebarang Risiko

2) Anda boleh melabur lebih dari satu rumah...! Lihat contoh keuntungan bulanan dari pelaburan... tanpa bekerja, tanpa modal.

Tahun Pelaburan ke

Jumlah Rumah

Ansuran Bulanan RM

Bayaran Diterima Sebulan

Untung Sebulan RM

1

1

1,100

1,600

500

2

2

2,200

3,200

1,000

3

4

4,400

6,400

2,000

4

7

7,700

11,200

3,500

5

11

12,100

17,600

5,500

Rujuk " www.angelfire.com/ex2/ejen4/a-pelaburan.htm"

Contoh 3

Tidak, untuk melabur dalam hartanah dengan ZERO risk, land development adalah bidangnya

Rujuk " http://www.saifulsham.com/rahsiahartanah2.html"

Contoh 4

* Minimum Index Code Purchse is $ 20

Code Types

Value

Percentage

Days

Total Percentage

Index20 Code

$ 20

1.8 % per day

100

180 %

Index1000 Code

$ 1,000

2.0 per day

100

200 %

Index5000 Code

$ 5,000

2.3 % per day

100

230 %

"EAINDEX Plans are designed to simplify the investment process by providing easy calculation values of $ 20, $ 1000 and $ 5000. Each index code provides a FIXED RETURN for period of 100 days from inception"

Fixed return = Pulangan tetap

Rujuk " http://www.eaindex.com/index.php" web ini telah disekat aksesnya

KUALA LUMPUR 10 Julai – Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini menyekat akses dua lagi laman web iaitu www.eaindex.com dan www.winlifund.com yang menawarkan skim pelaburan tidak sah kepada orang ramai (utusan online 11 Julai 2007/ 25 Jamadil Akhir 1428)

Contoh pertanyaan dari rakan group zaharuddin.com yang saya terima melalui email :

Salam
Ada seorang saudara telah menawarkan peluang pelaburan didalam syarikat rakan beliau yang telah lama stabil berniaga berkenaan tumbuhan.Jika pelaburan dibuat 10K saudara saya akan bagi
3K setiap bulan dlm 3xbayaran memandangkan katanya prestasi sykt yang baik, dan tiada bayaran atau(kurang dari 3K) jika sykt tidak dapat mengeluarkan hasil terutama musim hujan atau sebagainya (bulan 11-12). Modal boleh dikeluarkan semula jika diberi tempoh secukupnya berdasarkan prestasi sykt yang teguh.soalan saya apakah bentuk pelaburan ini dibolehkan.Dan peranan saudara saya sebagai orang tengah

sekian terima
diaz

Di sini saya sertakan syarat keuntungan menurut perpektif Islam adalah:

1) Hendaklah keuntungan itu diketahui kadarnya,iaitu kadar yang telah diketahui oleh setiap orang yang berakad (pelabur dan syarikat).Sekiranya keuntungan tersebut tidak diketahui (qadarnya) maka akad tersebut menjadi fasid,kerana jahalah (tidak ketahui qadar) itu merosakkan akad

2)Hendaklah keuntungan tersebut merupakan bahagian perolehan yang bersifat terbuka(tanpa ditentukan dengan jumlah tertentu, bukan ditetapkan) dan keuntungan itu bukan dari modal:iaitu nisbah perpuluhan atau peratus ,Sekiranya keuntungan tersebut ditetapkan (ditentukan dengan jumlah tertentu) seperti mensyaratkan akan terima seseuatu keuntungan yang tetap,syarat tersebut tidak sah,Maka pelaburan tersebut menjadi rosak (fasid).Dengan andaian bahawa Mudharib (syarikat atau pengusaha) tidak peroleh sebarang keuntungan kecuali pada kadar yang telah ditentukan tadi.(rujuk Kitab Muamalah Al-Maliah Al-Muasirah Dr Wahbah Az Zuhaili ms :111)

Sebagai tambahan

Kontrak pelaburan tidak sah sekiranya keuntungan diperolehi oleh salah satu pihak samada dari pelabur atau pengusaha ditentukan dengan kadar jumlah tertentu,Contohnya syarat itu menyatakan salah satu pihak (pelabur atau pengusaha) akan menerima RM 1000 daripada keuntungan atau jumlah tertentu.(rujuk Feqh Al Manhaji cet. Dar Al Qalam ms:234)

(ini bermakna jaminan keuntungan terhadap pelabur atau pengusaha akan menerima RM1000 sebagai jumlah yang telah ditentukan)

Contoh pelaburan yang dibenarkan di dalam syarak:

Seseorang melaburkan RM 1000 kepada sebuah syarikat yang menjanjikan untung 10% daripada keuntungan yang diperolehi akan diberikan kepada pelabur.

Keuntungan = Jualan – kos pengurusan dan modal

Setelah syarikat tersebut menjalankan perniagaan dan mereka memperoleh keuntungan.

Sekiranya keuntungan tersebut RM1500 maka untung yang diperolehi oleh pelabur adalah sebanyak RM150 (RM1500 x 10%)

Sekiranya keuntungan tersebut RM 1000 maka untung yang diperolehi oleh pelabur adalah sebanyak RM 100 (RM 1000x 10%)

Sekiranya keuntungan tersebut RM 50 maka untung yang diperolehi oleh pelabur adalah sebanyak RM 5 (RM 50 x 10%)

Sekiranya tiada keuntungan maka tiada keuntungan bagi pelabur

Sebarang kerugian akan ditanggung oleh pelabur itu sendiri kecuali kerugian itu berpunca daripada kecuaian pengusaha maka pengusaha akan dikenakan gantirugi

Contoh pelaburan yang diharamkan oleh syarak:

-Seseorang melaburkan RM 1000 kepada sebuah syarikat yang menjanjikan keuntungan 10% akan diperolehi dari modal tersebut.iaitu untung sebanyak RM100 (RM1000x10%) selepas beberapa tempoh (keuntungan telah dijamin)

-Sekiranya pelabur melaburkan RM 2000 kepada sebuah syarikat yang menjanjikan keuntungan 25% akan diperolehi dari modal tersebut iaitu untung sebanyak RM 500 (RM 2000 x 25%) selepas beberapa tempoh (keuntungan telah dijamin)

-Sekiranya pelabur melaburkan RM 5000 kepada sebuah syarikat yang menjanjikan pulangan RM 7000 selepas beberapa tempoh.(nilai untung dengan kadar jumlah RM7000 itu telah ditetapkan)

-Seseorang pelabur melaburkan RM1000 kepada sebuah syarikat yang menjanjikan pulangan RM 500 mingguan.(nilai untung dengan kadar jumlah RM500 itu telah ditetapkan)

Kesemua akad ini di haramkan kerana akad pelaburan seperti ini telah terbatal dan bukan lagi sebagai pelaburan, malah sebagai pinjaman wang kepada pengusaha dengan janji bayar balik daripada modal yang dipinjamkan daripada pelabur. (Pengusaha berhutang dengan pelabur dan janji bayar balik dengan lebihan).Hal ini adalah Riba yang diharamkan di dalam Islam.

Wallahu A'lam.

Sebarang teguran di alu-alukan.

Saturday, July 14, 2007

Kupon

Teringat saya masa di sekolah rendah dahulu,ada satu Festival Jubli Emas sempena ulang tahun penubuhan sekolah tersebut yang ke 50-tahun.Masa itu,guru kelas saya mengingatkan kepada sesiapa yang ingin membeli barangan pada hari tersebut hendaklah dengan menggunakan kupon yang telah disediakan oleh pihak sekolah sahaja.Kupon itu boleh didapatkan daripada guru kelas.

Kebiasaanya,apabila festival seperti ini dijalankan di sekolah-sekolah, akan berlaku masalah pemulangan wang kecil kepada pelanggan. Justeru itu,mungkin dengan penggunaan kupon seperti ini bertujuan untuk memudahkan urusan jual beli pembeli dan peniaga sepanjang festival berlangsung.

Baiklah,mari kita tinjau urusan jual beli yang berlaku melibatkan kupon seperti ini.

Sebagai contoh:Sebuah sekolah mengadakan festival pada 25 hingga 30 Jun 2007 dengan menjual kupon bernilai RM10.Di dalam kupon tersebut terdapat beberapa helaian kupon bernilai RM2 tiga helai,RM1 dua helai dan lima puluh sen (RM0.50) empat helai.Jumlah keseluruhannya juga RM10.

RM 10 = (RM2 x 3 = RM 6) + (RM1x2 =RM 2) dan (RM0.50x 4 =RM 2)

Kupon ini hanya sah lakunya pada tarikh tersebut sahaja (25 hingga 30 Jun 2007)

Beberapa persoalan yang saya cuba timbulkan sebelum festival berlangsung di sini antaranya:

1)Adakah kedudukan kupon ini sama dengan kedudukan wang ?

Ya,kedudukan kupon kini sama dengan kedudukan wang kerana nilai kupon yang disandarkan itu adalah nilai wang negara.(illahnya adalah jenis nuqud atau duit)

Sebelum pergi ke persoalan ke dua,terlebih dahulu saya menerangkan secara ringkas apa yang dimaksudkan dengan riba an-nasi'ah.

Riba an- nasi'ah ialah riba jahiliah iaitu menjual sesuatu dengan sesuatu daripada jenisnya atau dengan jenis selainnya dengan tempoh.(rujuk kitab al muamalat almaliah al muasirah Dr.Wahbah Az-Zuhaily ms:48)

Hadis dari saidina Umar al Khattab r.a berkata Nabi s.a.w bersabda:

الذهب بالورق ربا إلا هاء وهاء،...


Maksudnya: Emas ditukar dengan perak adalah riba kecuali diserahkan dan diterima pada waktu yang sama… (rujuk kitab umdatul ahkam)


Begitu juga hadis dari Abi Said Al-Khudriy r. a: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

لا تبيعوا الذهب بالذهب إلا مثلا بمثل، ولا تشفوابعضها على بعض،و لا تبيعوا الورق بالورق إلا مثلا بمثل، ولا تشفوابعضها على بعض،ولا تبيعوا منها غائبا بناجز

Maksudnya: Janganlah kamu menjual emas dengan emas (mata wang) kecuali sama jumlahnya serta janganlah melebihkan sebahagiannya. Kemudian janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali sama jumlahnya serta jangan melebihkan sebahagiannya dan janganlah menjualnya dengan cara sebahagian secara tunai dan sebahagian lagi ditangguhkan (rujuk kitab umdatul ahkam)

Daripada hadis di atas boleh kita simpulkan bawaha syarat penukaran wang adalah sama jumlahnya dan hendaklah berlaku pertukaran itu secara taqabuth (serah dan terima) segera dan tidak boleh ditangguhkan

2)Adakah berlaku riba nasi'ah kerana membeli kupon yang belum boleh membuat sebarang jual beli kecuali pada 25 hingga 30 jun?(Duit sudah ditukarkan dengan kupon tetapi kuponnya masih belum sah laku.Adakah ia termasuk menangguh atau melewatkan pertukaran wang dengan wang? )

Saya kiaskan masalah ini samalah halnya jika seseorang rakyat Malaysia yang ingin membeli wang Egypt (Pound) dengan wang Malaysia (RM).Wang Egypt ini hanya laku di negara tersebut dan tidak laku di Malaysia.

(Duit Malaysia sudah ditukar dengan duit Egypt tetapi duit Egypt masih belum boleh membuat sebarang jual beli kecuali di negara tersebut).

[Saya kiaskan negara Egypt sebagai Festival dan duit Egypt sebagai kupon yang hanya sah lakunya pada negara tersebut(hari festival)]

Ini bermakna kelewatan yang dikatakan riba an nasi'ah itu bukan pada sah lakunya sesuatu wang tetapi pada kelewatan atau penangguhan taqabuth (serah dan terima) pertukaran wang tersebut. Oleh yang demikian kupon yang akan sah lakunya pada 25 hingga 30 Jun itu tidak termasuk melewatkan pertukaran wang dengan wang

3) Jika demikian, adakah berlaku riba an- nasi'ah sekiranya melewatkan penyerahan antara wang dengan kupon?.

Ya,memandangkan tugas kupon adalah sebagai wang maka syaratnya hendaklah pertukaran wang dengan kupon itu dibuat secara serah dan terima dan tidak boleh secara tangguh, kerana penangguhan serah dan terima di dalam pertukaran wang dengan wang termasuk riba an-nasiah.

4)Apa salahnya melewat bayaran wang dengan kupon?Bukankah kupon tersebut telah disandarkan dengan nilai wang negara?

Untuk menjawab persoalan ini suka saya tunjukkan contoh riba an-nasi'ah yang saya nukilkan dari kitab buhus feqh muamalat dirasah muqaranah Jami'ah Al Azhar bagi tahun 1425h/2004m ms. 44

a)Pertukaran emas dengan emas dengan melewatkan pertukaran atau salah satu daripadanya.Pada contoh ini adalah satu jenis pertukaran (emas tukar dengan emas) dengan illah yang sama (nuqud)tetapi berlaku penangguhan,maka ia termasuk riba an nasi'ah.Begitu juga halnya sekiranya pertukaran perak dengan perak.

b)Pertukaran emas dengan perak dengan tempoh maka pada contoh ini,illah yang sama(nuqud) tetapi berbeza pada jenisnya(emas dan perak).dan berlaku penangguhan maka ia termasuk riba an-nasiah.Begitu juga halnya sekiranya menukar perak dengan emas.

Disini jelas bahawa illah wang dan kupon adalah sama iaitu sebagai nuqud (duit) tetapi jenis yang berbeza.sekiranya berlaku penangguhan maka ia termasuk riba an -nasi'ah.

Baiklah,sekarang ita beralih kepada kupon selepas festival berlangsung.

Di andaikan,sekolah tersebut tidak akan memulangkan mana mana kupon setelah tamat hari festival (30 Jun 2007).Ini bermakna,kupon yang masih lagi di tangan pembeli akan hapus tiada nilai seperti kertas kosong.Tidakkah di sana berlaku penindasan terhadap pembeli?

Jika perkara ini telah diberitahu terlebih awal.Setelah festival itu tamat,maka si pembeli tersebut sengaja memilih untuk menjadikan kuponnya tidak bernilai.

Samalah juga halnya sekiranya sesebuah negara sebagai contoh Malaysia mengatakan duit syiling RM1 akan tiada nilai pada akhir tahun 2007.Maka Seluruh rakyat di dalam atau luar negara atau siapa sahaja yang memiliki wang syiling RM 1 perlulah menukar atau menggantikan wang tersebut sebelum akhir tahun.Sekiranya gagal berbuat demikian maka pemilik syiling RM1 itu sengaja membiarkannya menjadi tiada nilai seperti besi buruk.

Manakala jika tidak diberitahu terlebih dahulu,Maka di situ barulah berlakunya penindasan kepada pembeli.

Cukuplah sekadar itu sahaja, sebenarnya banyak lagi persoalan tentang kupon kalau ingin di timbulkan satu persatu.Persoalan-persoalan di atas itu bukanlah dari sesiapa tetapi sengaja saya timbulkan dan cuba menjawabnya.Justeru itu,sebarang kesilapan hendaklah ditegur dengan hikmah dan bijaksana.

Wallahu A'lam

Monday, July 9, 2007

Harta yang haram

Islam tidak melarang seseorang itu dari mencari penghasilan malah Agama Islam menitik beratkan pencarian itu hendaklah dari sumber yang halal.

Firman Allah s.w.t

يأيها الناس كلوا مما فى الأرض حلالا طيبا ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين

Maksudnya: Wahai sekalian manusia,makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu

(Surah Al Baqarah :168)

Firman Allah s.w.t

يأيها الذين ءامنوا لا تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل إلا أن تكون تجارة عن تراض منكم

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil,kecuali dengan jalan yang berlaku dengan redha sama redha di antara kamu

(Surah An Nisa': 29)

Firman Allah s.w.t

وكلوا مما رزقكم الله حلالا طيبا واتقوا الله الذى أنتم به مؤمنون

Maksudnya:Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah s.w.t telah berikan rezeki kepada kamu,dan bertakwalah kepada Allah s.w.t yang kamu beriman kepadaNya.

(Surah Al Maidah:88)


Namun pelbagai ancaman yang telah Allah s.w.t janjikan kepada mereka yang memperoleh hasil daripada wang yang haram.

-Ayat ancaman daripada Allah s.w.t pencipta sekelian alam kepada pemakan riba di rakamkan menerusi FirmanNya:

فإن لم تفعلوا فأذنوا بحرب من الله ورسوله

Maksudnya:“Jika kamu sekalian tidak mengerjakan(meninggalkan sisa riba), maka izinkanlah dengan peperangan dari Allah dan RasulNya.”
(Surah Al-Baqarah: 279)

Manakala banyak hadis ancaman kepada mereka yang meperoleh hasil daripada harta yang haram

Sabda Baginda Nabi Muhammad s.a.w:

لا يدخل الجنة لحم نبت من سٌحت

Maksudnya:"Tidak masuk syurga bagi daging yang tumbuh dari harta yang diusahakan dengan jalan yang haram" [hadis riwayat Ibn Hibban]

Sabda Baginda s.a.w lagi :

كل لحم نبت من سحت فالنار أولى به

Maksudnya:“Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih utama baginya.”[hadis riwayat Tirmizi]

Dan banyak lagi hadis ancaman kepada mereka yang memperoleh hasil daripada harta yang haram.Justeru itu tumpuan saya pada kali ini adalah:

Bagaimana caranya seseorang yang ingin bertaubat daripada penghasilan harta yang haram??


Penghasilan yang haram itu tidak kira sama ada harta hasil daripada jual beli yang diharamkan, ataupun pembayaran manfaat yang diharamkan, mahupun memakan harta orang ramai secara batil seperti wang hasil daripada penjualan arak, mayat, khinzir, penzinaan, bai gharar , mulamasah. munabazah, rampasan, mencuri, penipuan, rasuah, riba, perjudian dan sebagainya.


Persoalan yang mungkin kita timbulkan adalah

- Adakah dengan cara memusnahkan harta tersebut kerana harta itu adalah harta yang haram??

- Adakah dengan cara membelanjakannya sebagaimana wang yang lain sehingga habis kemudian bertaubat??


Menjawab persoalan ini saya nukilkan kalam Imam Al Ghazali yang saya ambil dari kitab Al Majmuk karangan Imam Nawawi rahimahullah.(ms 428 Cet. Maktabah Al-Irsyad jilid 9)


إذا كان معه مال حرام وأراد التوبة والبراءة منه – فان كان مالك معين – وجب صرفه إليه أو إلى وكيله،فان كان مييتا وجب دفعه إلى وارثه،وإن كان لمالك لا يعرفه ويئس من معرفته فينبغى أن يصرفه فى مصالح المسلمين العامة،كالقناطر والربط والمساجد ومصالح طريق مكة،ونحو ذلك مما يشترك المسلمون فيه،وإلا فيتصدق به على فقير أو فقراء.....


Maksudnya:Sekiranya terdapat pada seseorang itu harta yang haram dan ingin bertaubat dan melepaskan dirinya daripada harta haram tersebut – Maka sekiranya harta tersebut ada pemilik tertentu – Wajib di pulangkan kepadanya atau kepada wakilnya,manakala sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia wajib wang tersebut diserahkan kepada warisnya,dan sekiranya harta tersebut adalah milik orang yang tidak dikenali dan sukar untuk mengenalnya maka hendaklah wang tersebut di berikan untuk maslahah kepentingan muslimin secara keseluruhannya,seperti membina jambatan, kubu, masjid,dan membetulkan jalan-jalan di Mekah,dan yang seumpamanya untuk dikongsi bersama oleh kaum muslimin dengan benda tersebut,dan sekiranya tidak berbuat demikian maka hendaklah disedekahkan kepada faqir atau miskin….

Tambahan daripada itu Imam Nawawi rahimahullah mengatakan:

أنه لا يجوز إتلاف هذا المال ورميه فى البحر،فلم يبق إلا صرفه فى مصالح المسلمين

Maksudnya :Sesungguhnya tidak boleh dimusnahkan harta yang haram tersebut dan dicampakkanya ke dalam laut,maka tidak lah tinggal kecuali dibelanjakan untuk kepentingan muslimin.

Apa yang boleh kita simpulkan disini adalah:

Sekiranya seseorang yang ingin bertaubat dan mahu membersihkan dirinya daripada penghasilan harta yang haram apakah yang harus dilakukan?

-Jika harta tersebut diketahui pemiliknya maka hendaklah dipulangkan kepadanya atau melalui wakilnya.Sekirnya pemilik harta tersebut berada di tempat lain bolehlah harta tersebut disimpan atau dikirimkan kepada wakilnya.

-Sekiranya pemilik tersebut sudah meninggal dunia hendaklah harta tersebut diserahkan kepada warisnya.

-Sekiranya harta tersebut tidak diketahui pemiliknya hendaklah di belanjakan untuk kepentingan muslimin bersama seperti membina jambatan,sekolah,masjid dan sebagainya.

Sebelum saya mengakhiri posting kali ini.Saya ingin menyatakan sebenarnya tajuk ini terlalu besar dan luas untuk dibahaskan.Banyak persoalan akan timbul dari tajuk ini antaranya:

-Bagaimana sekiranya harta tersebut bercambah atau ada hasilnya??
-Bagaimana pula sekiranya harta tersebut adalah berbentuk benda seperti rumah,kereta dan sebagainya??

-Seseorang muallaf yang hasil pencariannya sebelum ini adalah dari perjudian 100% bagaimana wang yang ada pada dirinya??

-Seseorang muallaf memiliki kilang arak dan ladang ternakan babi,bagaimana pengurusan harta dan baki penghasilannya??

-Apakah yang harus dilakukan oleh anak sekiranya dia tahu bahawa penghasilan orang tuanya adalah dari sumber yang haram??

Dan banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan dari pengurusan harta haram ini.Bak kata orang "Boleh buat satu buku".Namun,sebenarnya fokus saya kali ini adalah kalam Imam Ghazali dan kalam Imam Nawawi rahimahumullah tentang masalah ini.

Sekian posting untuk kali ini..teguran anda saya hargai

Wallahu A'lam